Khamis, Mac 04, 2010

Pas akan memerintah Sabah? Kenapa, apa masalahnya?

PAS SABAH SEDIA TANDING 24 KERUSI DI SABAH


Written by Admin   
Monday, 01 March 2010 21:47

BADAN Perhubungan PAS Negeri Sabah dalam satu mesyuarat di Keningau telah  memutuskan PAS Sabah telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pilihanraya yang akan diadakan pada bila-bila masa. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pesuruhjaya PAS Sabah, Muhamad Abdullah, keputusan mesyuarat tersebut menyebut PAS Sabah telah sebulat suara untuk bertanding di 9 kerusi parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah pada pilihanraya ke-13 nanti. 

Tanpa menamakan kerusi-kerusi yang akan ditandingi, PAS dijangka akan mengekalkan kerusi tradisi seperti Merotai dan Sukau di samping Karambunai, Tanjong Aru, Pantai Manis, Gum-Gum, Sekong, Tanjong Batu, Balung dan beberapa lagi kerusi yang akan dinyatakan kemudian. PAS juga dijangka akan bertanding di parlimen Kalabakan, Batu Sapi, Kota Belud serta beberapa kerusi parlimen yang lain. 

Badan Perhubungan PAS Sabah juga telah mengenalpasti calon-calon berpotensi yang mempunyai pelbagai latarbelakang profesionalisme serta kemantapan ilmu agama yang boleh diterima masyarakat dan rakyat negeri ini. 

PAS Sabah berpendapat bahawa kriteria penting dalam pemilihan calon akan dilihat dari sudut kefahaman dan kemantapan ilmu agama kerana ia mampu membendung gejala lompat parti jika seseorang calon tersebut terpilih memenangi sesuatu kerusi yang ditandinginya.  

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah berkata PAS tidak mahu melihat trend melompat parti sebagaimana yang menjadi budaya yang telah berakar umbi di kalangan beberapa wakil rakyat negeri ini dan di negeri-negeri tertentu di Semenanjung sehingga mengucar-kacirkan pentadbiran sesebuah kerajaan, serta mengkhianati amanah rakyat, merebak dan menjalar ke dalam PAS.  

"Sebab itu PAS meletakkan syarat berbaiah iaitu untuk tidak mengkhianati Allah dan Rasulnya sebelum seseorang dipilih untuk menjadi calon dalam mana-mana pilihanraya yang ditandingi oleh PAS," katanya.  

Beliau selanjutnya berkata, "kita bersyukur kepada Allah kerana semua wakil rakyat dari PAS tidak mudah dipengaruhi dengan pujukan pihak-pihak yang tidak beretika untuk melompat ke parti lawan".

Badan Perhubungan PAS Sabah juga sedang dalam rangka membentuk jawatankuasa kajian manifesto. Banyak isu-isu penting serta dokumen yang bernilai bakal dipersembahkan kepada rakyat negeri ini untuk dipertimbangkan supaya tidak berbelah bagi dalam menyokong perjuangan PAS.  

Apa yang penting ialah rakyat menilai manifesto PAS yang meletakkan hak dan warisan  mereka yang semakin terhakis sebagai fokus utama dalam menentukan undi mereka pada pilihanraya ke-13 ini.  

PAS akan berjuang unntk mengembalikan tanah-tanah adat yang telah dirampas dan dibolot oleh kroni-kroni Barisan Nasional. PAS juga akan memastikan supaya kampung-kampung tradisi dikekalkan dan diberikan hakmilik geran kampung.

Walaupun PAS menyedari bahawa Pakatan Rakyat semestinya mempunyai satu manifesto bersama, tetapi PAS juga akan memperjelaskan kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat tentang rasional di sebalik manifesto tambahan itu.
----------------------------
yusz : dalam B/Harian pun keluar isu ni.. alhamdulillah.. nampak Pas berani ke depan.. :)

Tiada ulasan: