--------------------------------------------------------------------------------
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 11 Mac: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan memulakan kempen 'Bukan Pinda, Tapi Mansuh ISA' bermula hari ini. Ianya sebagai gesaan terhadap Kerajaan agar menghentikan cadangan pindaan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dijangka dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang yang akan bermula 15 Mac ini. Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh memberitahu demikian pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini. Terdahulu, pertubuhan itu mengadakan pertemuan dengan wakil parti politik dari PAS, PKR dan DAP termasuk wakil NGO yang menyokong perjuangan memansuhkan akta tersebut. Parti politik serta NGO tersebut diajak bersama menjayakan aktiviti kempen ini ke seluruh negara yang akan dimaklumkan kemudian. Antara program yang dirancang sepanjang kempen ini jelas Syed Ibrahim, termasuk dialog dengan Ahli Parlimen, pelancaran logo kempen, pengedaran risalah, majlis dialog dan forum. GMI yang dianggotai lebih daripada 80 buah organisasi terdiri daripada NGO, parti-parti politik, badan hak asasi manusia, wanita mahasiswa, majlis peguam, dan pertubuhan pekerja, berpandangan ISA harus dimansuhkan terus daripada dipinda, berdasarkan beberapa faktor. Lembaga Penasihat jelasnya tidak boleh dianggap badan perbicaraan kerana tidak bersifat bebas. Perbicaraan pula dijalankan secara tertutup tanpa pendedahan dokumen kepada peguam pembela tahanan manakala keputusan Lembaga Penasihat pula tertakluk kepada persetujuan badan Eksekutif. "Lembaga Penasihat juga bersidang setelah tahanan dilanjutkan penahaanan di bawah seksyen 8 ISA. Tiada ruang perbicaraan terhadap tuduhan ke atas tahanan ketika mereka ditahan untuk tempoh 60 hari pertama di bawah seksyen 73 ISA," katanya. 28 januari lepas, GMI dan NGO lain telah menghadiri sesi pertemuan awam dengan Kementerian Dalam Negeri berkaitan kajian pindaan ISA. "Pihak kementerian turut memaklumkan lima elemen yang akan diambil kira dalam pindaan iaitu kuasa-kuasa menteri, tempoh penahanan, hak dan layanan kepada tahanan, penahanan tanpa bicara, dan persepsi umum pelaksanaan akta. Syed Ibrahim berkata, meskipun GMI mengakui empat daripada elemen tersebut kecuali persepsi umum pelaksanaan akta adalah perkara asas, tetapi sesebuah undang-undang perlu dilihat secara total. "Undang-undang sedia ada yang tidak melanggar prinsip-prinsip di atas, sudah mencukupi untuk menangani ancaman yang dikatakan sebagai ancaman keselamatan negara," katanya. GMI juga memperakui tanggungjawab kerajaan untuk mempertahankan warganegaranya daripada serangan pengganas dan membawa mereka ke muka pengadilan tetapi apa yang dipertikaikan kerajaan masih tidak dapat membuktikan dan meyakinkan bahawa mereka yang ditahan benar-nbenar terlibat dengan tuduhan yang dibuat. "GMI menggesa kerajaan patuh kepda piagam hak asasi manusia antarabangsa dan soal berkaitan dengan aktiviti anti-pangganas dan melakar pelan jangka masa panjang untuknegara dalam membangun mekanisme untuk menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan," katanya. Sementara itu, Ketua Muslimat PAS, Nuridah Salleh memberi jaminan bahawa PAS akan terus bersama GMI untuk menuntut ISA dimansuhkan dan tidak bersetuju dengan kandungan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Salah seorang bekas tahanan yang ditahan di Kamunting pada 2001 sehingga 2006, Ahmad Fauzi Darman pula berkata, penahanan itu ternyata bercanggah dengan keadilan yang dianjurkan dalam Islam apaila kesemua tahannan diperlakukan sesuka hati tanpa mengambil kira maruah dan hak asasi mereka. "Maruah kami sewaktu dalam tahanan dipermainkan. Kami diperlakukan sesuka hati, didera mental dengan cukup hebat. Kami diminta menceritakan perjalanan hidup kami daripada kecil sehinggalah kami ditahan dan daripada cerita itu, mereka cipta pertuduhan terhadap kami. "Saya nak mengingatkan pihak pemerintah bahawa apa yang dilakukan terhadap kami melibatkan dosa dan pahala. Mereka bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan tehadap kami," katanya yang ditahan kerana didakwa terlibat dengan kumpulan militan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan