Khamis, Mac 11, 2010

Mazlan Aliman direman dan dibebaskan pada hari ini! Pengurus Felda pula tunggu giliran?

 
 
Mazlan ditahan reman hingga esok       (10/3/2010)
Basiron & Hashim Abdullah  

TEMERLOH, 10 Mac: Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman ditahan satu hari atas untuk siasatan kerana dakwaan menceroboh Felda Lembah

Klau. Difahamkan Mazlan membuat lawatan ke Felda berkenaan untuk menziarahi tiga peneroka yang ditahan polis sebelum ini atas dakwaan menceroboh kawasan Empangan Krau serta mengadakan dialog dengan generasi kedua di Felda berkenaan.  Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub petang semalam ketika membuat laporan polis berikutan tindakan pengurusan Felda bekenaan yang cuba menahannya.

Pagi tadi, Mazlan dibawa ke Mahkamah Majistret di hadapan Siti Hajar Mustaffa untuk proses tahanan reman.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani kelihatan turut berada di mahkamah bagi memberikan sokongan kepada Mazlan.

Yang Dipetua PAS Kawasan Raub, Dr Mohd Nilam Manaf ketika dihubungi mengesahkan Mazlan ditahan selama satu hari untuk siasatan dan esok sekali lagi akan dihadapkan ke mahkamah yang sama.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Roslan Zainal menyeru penyokong Pakatan Rakyat terutamanya ahli PAS hadir beramai-ramai di mahkamah pagi esok  bagi memberikan sokongan kepada Mazlan.
www.harakahdaily.net
------------------------------------------

Mazlan Aliman dibebaskan (11/3/2010)
Hashim Abdullah  

RAUB, 11 Mac: Pengerusi Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman pagi ini telah dibebaskan dibebaskan dengan bon polis RM3,000 dengan seorang penjamin berhubung isu dialog bersama peneroka Felda Lembah Klau, Selasa lepas.

Mazlan yang tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Raub sekitar jam 10.30 pagi seterusnya dibebaskan pula oleh mahkamah setengah jam kemudian.

Selepas itu, Mazlan dibawa semula ke Ibu pejabat Polis Daerah Raub dipercayai bagi urusan dokumentasi dan pembebasan sepenuhnya.

Peguamnya, Haris Abdullah memberitahu satu sidang media khas akan diadakan di pejabatnya bagi memperjelaskan kedudukan kes Mazlan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS didakwa mengikut Seksyen 441 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan dan didenda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Selasa lalu, difahamkan Mazlan membuat lawatan ke Felda Lembah Klau untuk menziarahi tiga peneroka yang ditahan polis sebelum ini atas dakwaan menceroboh kawasan Empangan Krau serta mengadakan dialog dengan generasi kedua di Felda berkenaan.

Beliau ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub petang itu ketika membuat laporan polis berikutan tindakan pengurusan Felda bekenaan yang cuba menahannya.

www.harakahdaily.net
---------------------------
----------------
Mazlan ada asas kuat saman malu pengurus Felda 
- peguam
Hashim Abdullah & Ismail Hashim  
RAUB, 11 Mac: Peguam Mohd Harris Abdullah menyatakan ada asas yang kuat bagi membolehkan saman malu dikenakan terhadap pengurus Felda Lembah Klau berhubung isu menahan

Mazlan Aliman daripada mengadakan dailog bersama peneroka.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Akhbar Khas yang diadakan di Pejabat PAS kawasan di sini selepas Mazlan dibebaskan dengan bon polis RM3,000 oleh Mahkamah

Majistret Raub tanpa sebarang pertuduhan.

“Saman malu boleh dkenakan. Ada asas yang kuat untuk berbuat demikian kerana tuduhan terhadap Mazlan menceroboh masuk kawasan Felda tidak tepat. Menceroboh mesti dijelaskan dengan maksud berlakunya unsur jenayah tetapi ia tidak berlaku dalam kes ini.

”Sebagai orang yang mempunyai nama besar dan telah dimalukan, Mazlan ada asas untuk membuat saman malu,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mazlan Aliman sendiri tidak menolak kemungkinan menyaman pihak terbabit.

”Kita akan saman pengurus Felda terbabit. Dia bertindak di luar batasan yang sepatutnya,” kata mereka.

Sementara itu, Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) menafikan tangkapan terhadapnya ekoran dakwaan mengeluarkan kenyataan pekerja

Felda makan duit haram, merompak duit peneroka dan sebagainya di dalam satu majlis ceramah di Johor.

"Tidak ada kena mengena," tegas Mazlan lagi menafikan dakwaan sebuah persatuan yang difahamkan mempunyai kaitan dengan Felda.

Kenyataan persatuan yang menyebutkan perkara itu disiarkan dalam satu siaran berita radio awal petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Mazlan telah dibebaskan setelah ditahan selama dua malam di Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub, Pahang.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika dihubungi baru sebentar berkata, beliau dalam perjalanan pulang ke Johor.

Menurutnya, beliau ditahan selepas menyertai majlis dialog di sebelah petang di Felda Lembah Klau pada 9 Mac lalu.

Katanya, selama dua malam itu, beliau ditahan di bawah Kanun Keseksaan Akta 441 ekoran didakwa kesalahan pencerobohan.

Insiden itu berlaku selepas Mazlan mengadakan satu majlis dialog di rumah sebuah peneroka di Felda berkenaan lalu ada seorang pegawai Felda datang menghalang kerana kononnya tidak mempunyai permit.

Peguam Haris Abdullah berkata, berlaku sedikit kekecohan ekoran tindakan pegawai Felda itu sedangkan tuan rumah telah membenarkan Mazlan berdialog dengan peneroka di situ.

"Mazlan ditahan pada kira-kira jam 11.30 malam selepas membuat satu laporan polis di balai yang sama," katanya lagi.

Haris berkata, Mazlan membuat laporan berhubung satu kekecohan yang berlaku di tempat beliau mengadakan dialog dengan peneroka Felda Lembah Klau.

Beliau yang sudah berbelas tahun bergerak aktif di dalam memperjuangkan nasib peneroka Felda seluruh negara dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Raub sekitar jam 11 pagi tadi dengan bon polis RM3,000 dengan seorang penjamin.

www.harakahdaily.net
--------------------------------------------------
PAS Kutuk Penahanan Mazlan, Felda Talian Hayat Umno
(11/3/2010)
Idris Ahmad  

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk penahanan Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman. Penahanan beliau yang juga Ahli Jawatankuasa

PAS Pusat di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub petang semalam merupakan penahanan politik.

PAS melihat bahawa beliau menjadi mangsa atas daya usahanya yang memimpin peneroka Felda dalam Persatuan Anak yang berjuang untuk mempertahankan hak para peneroka.

Penahan ini juga dilihat sebagai usaha untuk menakut-nakutkan para peneroka lain agar tidak memberikan kerjasama atau menyertai Anak ini.

Felda-Talian Hayat Umno

Felda sebenarnya menjadi 'anak emas' Presiden Umno yang kini menjadi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Dengan mempunyai  lebih dari 113,000 orang

peneroka (Tidak termasuk keluarga mereka), Felda merupakan talian hayat terakhir bagi Umno dibeberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada Pilihanraya lalu.

PAS berjaya menembusi Pahang di DUN Semantan dan Berserah, dimana kedua-duanya bukanlah kawasan Felda dan Umno masih boleh menang selesa di Pahang kerana bantuan pengurusan Felda yang menyekat masyarakat Felda menerima informasi yang betul.

Kezaliman Felda

Felda yang dulunya adalah satu projek perladangan untuk menjana ekonomi rakyat dibawah program DEB kini diuruskan oleh Syarikat milik Kerajaan iaitu FELDA Holdings yang memiliki lebih 60 buah anak syarikat yang beroperasi di dalam dan luar negara. Pada tahun 2008 jumlah hasil perniagaannya mencecah jumlah RM15.4 bilion.

Walaupun pendapatan Felda Holding begitu besar, namun peneroka menjadi mangsa bila mana Peneroka tidak dibenarkan menanam semula sendiri kelapa sawit. Mereka diberikan hutang untuk membayar semua kerja ini yang diswastakan kepada anak syarikat Felda Holding iaitu Technoplant.

Selain itu, Felda melakukan pelbagai strategi bagi memaksa peneroka menyerahkan tanah mereka. Felda Plantations menawarkan mereka untuk menjadi pemegang saham dengan kadar bayaran pulangan bulanan adalah RM 1,500-RM 2,100 tanpa perlu bersusah payah bekerja diladang seperti dahulu. Namun mereka yang bersetuju dipaksa membuat pinjaman kos menanam semula kebun dan membina rumah baru. Jumlah hutang ini sekitar RM70,000-RM 90,000 sedangkan mereka yang menolak masih mampu hidup tanpa hutang dengan hasil sekitar RM 4,000-RM 7,000 sebulan.

Itu adalah sebahagian kecil fakta yang menjadi rintihan peneroka Felda. Namun, usaha membongkar lebih banyak penindas semakin cuba dihalang. Umno juga dilihat mempergunakan sentimen Melayu bagi menghasut peneroka menolak Anak, walhal Pengerusinya sanggup ke penjara untuk perjuangkan masa depan mereka.

PAS menyokong perjuangan Anak dibebaskan dan mahu hak peneroka Felda untuk bersuara tidak disekat. Peneroka Felda bukan banduan, mereka adalah rakyat yang merdeka dan berhak untuk bertemu sesiapa yang mereka suka. Jadi tidak ada salahnya jika Mazlan ingin bertemu mereka. Dan sebagai Pengerusi Anak, beliau berhak untuk meninjau ahli-ahlinya disemua kawasan kerana hak untuk berpersatuan dijamin oleh perlembagaan negara ini.

Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat


www.harakahdaily.net

-----------------------
yusz : alhamdulillah.. mudahan2 beliau akan bersama warga Tawau pada 16 Mac 2010 nanti- ceramah di Merotai Besar, Tawau...

Tiada ulasan: