Perintah darurat di Mindanao
|
|
MANILA 24 Nov. - Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo meletakkan dua wilayah di Mindanao iaitu Sultan Kudarat dan Maguindanao di bawah perintah darurat hari ini.
Perintah itu bagi membolehkan pasukan keselamatan kebebasan untuk memburu kumpulan bersenjata yang telah membunuh sekurang-kurangnya 46 orang dalam insiden pembunuhan pilihan raya yang terburuk negara ini.
Langkah tersebut termasuk mengadakan pos kawalan dan pencarian rambang oleh pihak berkuasa, akan diteruskan sehinggalah Arroyo merasakan undang-undang dan keamanan telah ditegakkan di kawasan tersebut, kata jurucakap beliau, Cerge Remonde.
Serangan ke atas konvoi kenderaan yang membawa penyokong calon gabenor bersama saudara-mara, termasuk isterinya dan beberapa wartawan berlaku semalam.
Calon tersebut, Ismael Mangudadatu yang tidak turut serta dalam konvoi tersebut menuduh pesaing politik beliau sebagai dalang pembunuhan.
Pegawai-pegawai masih cuba mengesahkan bilangan peserta konvoi berkenaan semasa mereka dipintas kira-kira 100 lelaki bersenjata dan dibawa ke kawasan pedalaman di pergunungan, kata Setiausaha Dalam Negeri, Ronaldo Puno."Kami berharap ada yang dapat melarikan diri dan kami dapat menemui mereka dalam keadaan masih hidup," katanya lagi.
Polis berkata, konvoi yang disertai kira-kira 40 orang itu sedang dalam perjalanan untuk mendaftarkan Ismael untuk bertanding merebut jawatan gabenor wilayah.
Askar dan polis kemudian menemui 46 mayat termasuk isteri kepada Ismael, Genalyn dan dua dua adik perempuannya, bergelimpangan di atas tanah atau terkulai dalam kenderaan kira-kira lima kilometer dari tempat mereka diserang hendap, kata jurucakap polis, Leonardo Espina.
Sementara itu, pegawai tertinggi polis di wilayah terbabit telah dipecat dan ditahan selepas tiga orang bawahannya dikatakan terlibat dengan pembunuhan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan