Wan Nik Yussof Ngah |
PENDAPAT : Pakatan Rakyat adalah satu kerjasama politik yang dibina melalui ikatan persetujuan atas prinsip perjuangan bersama ke arah mencapai kuasa pemerintahan. Kerjasama ini adalah suatu gagasan rakyat yang prihatin dengan perjuangan politik yang menyanggahi (pengimbal) kepada Barisan Nasional, sang tampuk pemerintahan sejak merdeka lagi. Ia juga suatu gagasan kesinambungan Barisan Alternatif yang diasaskan tahun 1999. Barisan Alternatif telah bertukar kepada Pakatan Rakyat selepas mencapai kejayaan 82 daripada 222 kerusi Parlimen dan 198 daripada 505 kerusi Dun. Ia juga adalah penerusan beberapa gagasan rakyat sebelumnya yang tidak bersetuju dengan amalan pemerintahan BN. Sesungguhnya kemenangan besar Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008 lalu adalah suatu prestasi cemerlang dan mengatasi kejayaan pilihan raya umum 1999. Pada tahun 1999, gagasan pembangkang atas nama Barisan Alternatif hanya berjaya meraih 45 (termasuk 3 PBS) daripada 193 kerusi Parlimen dan 113 daripada 394 kerusi Dun. Namun, kejayaan era Pakatan Rakyat terlebih politis disebabkan kejayaan menafikan kuasa dua pertiga dominasi BN di parlimen, dan berjaya merampas tampuk pemerintahan di negeri Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang, di samping mengekal serta meraih kemenangan besar di Kelantan. Susahnya mengurus kemenangan Mungkin perkataan "susahnya menjaga kemenangan" boleh disebut juga menggunakan laras bahasa pengurusan iaitu "susahnya mengurus kemenangan." Sementara ungkapan "susah" pula adalah suatu nilaian atas banyak perkara yang bersifat konflik dan krisis. Sifat konflik dan krisis itu pula adalah suatu paparan yang bersifat fakta dan figur. Bersifat fakta adalah kerana banyak peristiwa politik berlaku dan terpaksa dihadapi mahupun diselesaikan sepanjang PR berada di pentas politik nasional yang sudah berwajah baharu, politik baharu. Antara nilai politik baru ialah munculnya persetujuan dari segi persepsi politik itu telah merentasi pandangan politik lama, terjemahan dan tindakan politik tidak lagi berteraskan nilai-nilai tradisi perkauman dan berlaku kesedaran yang menggerakkan tingkah laku ke arah pemerkasaan asas-asas kesejagatan dan kebersamaan kalangan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan adat tradisi. Diikuti dengan muncul gerakan sivil yang menyokong parti-parti politik baru di dalam perjuangan mencapai tuntutan hak, keadilan dan ketelusan serta kebebasan. Bersifat figur pula adalah kerana sifat politik baru tidak lagi berbau retorika, tempelan, pewarnaan, mahupun ungkapan kata-kata semata-mata. Malah kesemua figur Pakatan Rakyat itu hendaklah menyantuni persepsi, memenuhi pengharapan, melayani kehendak dan menyentuhi psikologi semua lapisan rakyat. Justeru itu, pengalaman Pakatan Rakyat yang telah hampir dua tahun melalui pasca pilihan raya umum 2008, ternyata banyak rencah figur politik baru yang sudah dilalui. Paling ketara bagaimana munculnya pelbagai serangan media dan salah gambaran pihak Barisan Nasional sehingga terpapar figur negatif di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Berdepan hegemoni Barisan Nasional Segala-galanya berpunca daripada angkara BN yang sudah "keberangan" dengan perkembangan dan penerimaan rakyat terhadap nilai-nilai politik baharu. Barisan Nasional yang masih menguasai segala-gala kekuatan kerajaan pusat telah bertindak mengukuhkan segala aparatus hegemoni � media, jentera kerajaan dan kewangan negara (media-machinery-money) untuk mencetuskan pelbagai persepsi buruk ke atas maruah dan prestasi kerajaan negeri, pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat. Lantas, tindakan BN ialah menggambarkan tiada lagi eloknya persepsi rakyat ke atas maruah dan prestasi PR. Lebih-lebih lagi apabila ada segelintir rakyat yang menilai fakta dan figur prestasi PR itu menggunakan dacing BN. Mencipta persepsi sebenar Pakatan Rakyat Pihak PR secara amnya tidak wajar membiarkan perjuangan berasaskan denyut nadi dan citarasa serta warna-warni kehidupan rakyat terbiar dan terperangkap dengan "keberangan" Barisan Nasional. Di sinilah tindakan perimbangan hegemoni (counterhegemony) amat penting dilakukan demi menguruskan kemenangan Pakatan Rakyat di setiap negeri yang dikuasainya. PR kini memiliki kuasa di empat negeri (selepas Perak dirampas BN), Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Dua negeri (Kelantan dan Kedah) sudah mewakili jalur kemelayuan, sementara dua lagi (Selangor dan Pulau Pinang) adalah mewakili jalur campuran rakyat. Ia sudah cukup kukuh untuk mencipta persepsi positif untuk memetakan fikiran rakyat agar terus kukuh menyakini politik baru PR. Kekuatan berkerajaan (peringkat negeri) boleh dijadikan pentas menguasai ruang menuju "center stage" menguruskan segala fakta dan figur, agar rakyat terus berharmoni dan mesra PR. PR sudah memiliki modal yang cukup banyak untuk dijadikan ramuan bagi mencipta persepsi positif kepada dirinya. Antara modal itu ialah saf pimpinannya yang karismatik seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang. Saf itu disokong lagi dengan figur berwibawa di setiap negeri yang menjadi penterjemah fakta politik baharu (sekadar beberapa figur): Ustaz Azizan Abdul Razak di Kedah, Datuk Husam Musa di Kelantan, Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor dan Lim Guan Eng di Pulau Pinang, di samping Mohamad Nizar Jamaluddin di Perak, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di Pahang dan Mohd Abdul Wahid Endut di Terengganu. Uruslah persepsi rakyat dengan baik Pengalaman politik Malaysia yang lepas banyak mengajar pejuang politik berfikiran terbuka dan rasional. Namun, sesuatu yang lebih hebat kepada seseorang pemimpin itu ialah menggunakan daya fikiran yang terbuka dan rasional di dalam mengadun segala pengalaman (fakta dan figur) menjadi suatu nilai persepsi rakyat yang bercahaya. Maka, di sana rakyat akan menzahirkan mood sokongan berupa gelombang-gelombang yang tidak boleh disekat. Walau bagaimanapun, adunan pemikiran dan rasional itu akan lebih berkesan, cepat menular dan mampu menggerakan jutaan rakyat tatkala berlakunya gandingan utuh dalam menguruskan persepsi rakyat. Kita lihat gelombang ISA, betapa seriusnya adunan karismatik dan wibawa pemimpin PR seperti Anwar dan Mohamad Sabu bersama-sama rakan-rakan pimpinan lain dari DAP, PAS dan PKR telah menguruskan kesenggsaraan rakyat yang terkena bahana ISA sehingga berlakunya Gerakan Mansuh ISA (GMI) sebagai NGO yang menjadi simbol perjuangan keadilan di negara ini. Langsung berupaya mencetuskan gelombang penolakan rakyat kepada kezaliman BN yang memerintah. Demikian pula, gandingan pimpinan seperti Dr Hatta Ramli dan Tian Chua serta Mohamad Sabu telah membawa agenda pendemokrasian sehingga berjaya melonjakkan gelombang Bersih dan berjaya menghimpunkan ratusan ribu rakyat menuntut keadilan perjalanan pilihan raya yang adil dalam negara. Gerakan Bersih itu sudah menjadi agenda penyatu pentiag rakyat yang berjuang di atas landasan politik demokrasi yang merupakan teras politik rakyat dan pemerintah. Rumusannya, mencipta persepsi rakyat bukan satu tugas mudah. Ia harus dipikul oleh semua pemimpin, bukan segelintir pemimpin sahaja. Tugas itu hanya layak dilakukan oleh pemimpin yang komited dan memahami citarasa rakyat. Rakyat pula adalah golongan pendesak yang sekadar menerima kesannya. Ini bermakna, sekiranya pemimpin tidak bijak mencipta dan mengurus persepsi rakyat sudah tentu rakyat akan mencipta persepsinya sendiri dan persepsi sendiri rakyat itu janganlah diharap akan sealiran dengan fikiran dan rasional pemimpin. Oleh itu, bagi pemimpin PR sewajarnya dapat merangka suatu perancangan persepsi yang mantap dengan memanfaatkan segala modal yang ada sekarang ini (kuasa di empat negeri) bersatulah di dalam mengolah isu-isu kehendak, pengharapan dan keperluan rakyat. Semuga rakyat terus kekal dan bersedia menggelombangkan sekali lagi medan Pilihan Raya Umum ke-13. --------------------- Wan Nik Yussof Ngah ialah setiausaha Pilihan Raya PAS Pusat._ -------------------------- yusz felda : "catatan di atas kena simpan.. bahan rujukan, kajian, harapan... :) takbeeerr! |
mahkamah-akhirat.blogspot.com " AYUH BERAMAL SOLEH SEBELUM DIAMBIL NYAWA KITA "
Ahad, November 08, 2009
Seminar Pas: Ulasan S/U P/Raya PAS Pusat pula..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan