Khamis, November 12, 2009

Insiden Jambatan Gantung Runtuh: 20 Guru diugut Bunuh?

20 guru diugut bunuh

Oleh Wan Noriza Meor Idris
wannoriza@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Lebih 20 guru trauma akibat diugut bunuh dan pukul oleh ibu bapa berikutan insiden jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar yang mengorbankan tiga murid, bulan lalu.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, guru terbabit mendakwa turut menerima panggilan lucah di rumah terutama ketika tengah malam oleh individu tidak dikenali.

Katanya, guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan dan Gopeng, Perak, itu sentiasa dimarahi malah kerap diugut pihak berkenaan walaupun berada di tempat awam selain dipandang serong penduduk setempat.

“Disebabkan bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga, guru berkenaan sudah membuat laporan polis. Mereka (guru) bimbang barangkali akan berlaku perkara tidak diingini nanti akibat sering diugut walau di mana pun mereka berada.


Sekiranya berjalan di pasar raya, rakan atau saudara mara kepada ibu bapa murid sekolah berkenaan akan menggelar mereka pembunuh sebelum diugut,” katanya, di sini, semalam. Hadir sama, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

Ia susulan tragedi jambatan gantung runtuh di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, Perak, 26 Oktober lalu, yang mengakibatkan tiga murid terkorban.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, 30 hingga 50 murid dan seorang guru pengiring yang menyertai Perkhemahan 1Malaysia terjatuh ke dalam Sungai Kampar selepas jambatan gantung digunakan runtuh secara tiba-tiba.


Justeru, pelbagai pihak terutama ibu bapa mendakwa ada di kalangan anak mereka menghadiri perkhemahan itu tanpa kebenaran.


Mengulas lanjut, Lok berkata, pihaknya meminta supaya ibu bapa tidak menyalahkan guru semata-mata kerana didapati jambatan gantung itu sememangnya tidak kukuh, malah guru sememangnya tidak akan membawa pelajar sekiranya tidak mendapat kebenaran
ditanda tangani ibu bapa.


Katanya, kemelut antara dua pihak ini (guru dan ibu bapa) perlu ditangani segera supaya perkara ini tidak berlanjutan hingga terjadi insiden tidak diingini kelak.

Ada juga guru menghantar permohonan untuk ditukarkan ke sekolah lain kerana tidak dapat memberi tumpuan dalam pengajaran akibat diugut. Sekiranya dipindahkan, mungkin ia langkah terbaik kerana dapat meredakan keadaan.

“Kami juga mencadangkan guru dan murid berkenaan diberi khidmat kaunseling oleh kaunselor bertauliah agar keadaan tidak menjadi semakin buruk,” katanya sambil menambah, NUTP yakin siasatan dijalankan Kementerian Pelajaran telus dan adil.

Katanya, NUTP turut mencadangkan tiada lagi program berkaitan pelajar khususnya yang membabitkan sekolah rendah diadakan di kawasan berair seperti sungai dan air terjun untuk menjamin keselamatan.

“Kami juga mencadangkan guru yang menyertai program seumpama itu pada masa akan datang diberi cuti ganti pada keesokan harinya.

“Guru yang menyertai program seumpama ini bertauliah, oleh itu, biasanya mereka (guru) akan dilantik jabatan sebagai jurulatih program dan akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai guru. Jadi, mereka membuat dua kerja pada satu masa dan cuti ganti ini diperlukan supaya guru berkenaan dapat menumpukan pada pengajaran pula, katanya.

--------------------

Struktur binaan tidak kukuh mungkin punca jambatan runtuh: Muhyiddin (bharian.com.my)

KUALA LUMPUR: Siasatan awal kejadian jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar, mendapati struktur binaannya yang tidak kukuh mungkin punca kejadian yang mengorbankan tiga murid bulan lalu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) itu juga mendapati pembinaan jambatan berkenaan tidak mempunyai pelan lengkap.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terperinci sedang dilakukan jawatankuasa khas dengan membabitkan pelbagai agensi termasuk JKR, polis negeri Perak dan kerajaan negeri.

--------------------------------- yusz felda :

siapa yang bersalah? siapa yang diugut? siapa yang mati? siapa yang akan bertanggungjawab?

Tiada ulasan: