Khamis, November 05, 2009

Pengalaman YB Khalid samad dilucut Tauliah Mengajar Dengan Alasan Mempunyai Rekod Jenayah!

Khalid Samad mengadu dilucut tauliah mengajar

(bharian.com.my) 5/11/09

KUALA LUMPUR: Selepas kecoh dengan isu tangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang didakwa mengajar agama tanpa tauliah, hari ini Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, pula mengadu dilucutkan tauliah mengajar agama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) atas alasan mempunyai rekod jenayah.

Wakil rakyat Pas itu juga mendakwa Jais gagal memberi alasan kukuh termasuk jenis jenayah yang dilakukannya apabila beliau mempersoalkan tindakan jabatan itu.

"Saya kini seorang penjenayah yang telah melakukan jenayah tetapi jenayahnya adalah rahsia. Jais telah tarik balik tauliah saya kononnya polis kata saya ada rekod jenayah.


"Apabila saya tanya polis apakah jenayah yang telah saya lakukan, mereka kata perkara itu tidak boleh diberitahu kerana ia adalah rahsia," katanya semasa membahaskan Bajet 2010 pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.


Khalid sebelum ini pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama setahun antara 1987 dan 1988 dalam Ops Lalang.

Sementara itu, Khalid dalam perbahasannya mempertikaikan penggunaan istilah wang ehsan petroleum kepada Kelantan dan bukannya royalti.

Beliau cuba meraih sokongan Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Terengganu sama ada mereka faham apa dimaksudkan Perdana Menteri semalam berhubung istilah "wang ehsan" berbanding "royalti" seperti yang diterima Sabah dan Sarawak.

"Jika tidak faham seharusnya Yang Berhormat semua menentang usaha penyelewengan ini. Jika berdiam diri bermakna telah bersetuju untuk menyerahkan hak dan milik minyak di negeri masing-masing kepada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Najib dalam jawapannya berhubung isu itu di Dewan Rakyat semalam menjelaskan bahawa Kelantan dan Terengganu tiada hak untuk menuntut wang royalti petroleum kerana kini tidak ada pengeluaran petroleum dalam kawasan perairan negeri berkenaan yang ditakrif sebagai kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari tikas air surut atau pesisir pantai negeri tersebut. - Bernama

-----------------mahkamah-akhirat :

"bijak juga YB Khalid buka minda YB Sabah/sarawak.. kalau tak buat macam tu.. rakyat sabah/sarawak rasa tak kena tipu sahaja...

Tiada ulasan: