Jumaat, Februari 19, 2010

TERKINI! Bekas timbalan menteri, Kalakau Untol keluar BN (Sabah), TAKBEERRR!!!

Bekas timbalan menteri (Sabah), 

Kalakau Untol keluar BN 

(bharian.com.my)


TAMPARULI: Bekas Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Kalakau Untol, hari ini mengumumkan perletakan jawatan beliau dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan keahlian beliau dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau mengumumkan pelepasan jawatan sebagai Pengerusi Superpanel (Sabah) Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) serta sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), dalam satu sidang akhbar di sini.

Kalakau, 55, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Buruh pada 1986 hingga 1990 dan juga Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Sabah selama 12 tahun sejak 1985.

Dengan peletakan jawatan dan keanggotaan dalam BN, beliau juga mengumumkan keputusan untuk melibatkan diri dan menyokong dasar-dasar kumpulan pembangkang Pakatan Rakyat, seterusnya membantu mereka menyebarkan penjelasan ke seluruh negeri dalam usaha merakyatkan dasar Pakatan Rakyat untuk mendepani pilihan raya umum ke-13.

Kalakau menjelaskan walaupun pemimpin dari Sabah dari dulu sehingga sekarang telah melakukan yang terbaik untuk mempertahankan hak-hak negeri Sabah, namun pucuk pimpinan negara dan sebilangan pemimpin Persekutuan nampaknya tidak begitu serius dan komited dengan saranan dan tuntutan-tuntutan para wakil rakyat dari Sabah dan pihak kerajaan negeri Sabah sendiri.

"Saya yakin dengan kesepakatan pimpinan Pakatan Rakyat dalam konvensyen yang pertama yang diadakan tahun lalu, di mana mereka bersetuju menyemak semula kepentingan negeri Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam 20 Perkara untuk Sabah dan 18 Perkara untuk Sarawak, seperti yang telah dipersetujui dalam rundingan pelbagai pihak semasa penubuhan negara Malaysia pada 1963. 

"Perkara dan agenda ini hanya akan dapat direalisasikan dengan pembentukan sebuah kerajaan persekutuan yang baru di bawah pimpinan Pakatan Rakyat. Begitu juga dengan isu pendatang tanpa izin (Pati), perkara ini yang telah berlarutan sekian lama tidak akan dapat diatasi oleh pemerintahan kerajaan BN," katanya.

Kalakau, yang juga presiden Persatuan Dusun Sabah Bersatu (Usda), juga pernah berkhidmat sebagai Senator sehingga tamat penggalnya pada Disember 2005. - Bernama 
-------------------------------------------
YUSZ : ALLAH MERANCANG.. MACAM MANA ORANG KUAT SABAH MASUK PAKATAN RAKYAT PADA SAAT DS ANWAR DIFITNAH? DAH TENTU ORANG SABAH MULA BANGUN DARI LENA.. BANGUNLAH RAKYAT SABAH! KITA TUMBANGKAN BN YANG MENZALIMI KAMU!

Tiada ulasan: