Isnin, Februari 08, 2010

Selamat Tinggal Dunia Keguruan(tintajundi.blogspot.com)

Selamat Tinggal Dunia Keguruan(tintajundi.blogspot.com)


Hari ini hari persekolahan baru bermula, premis sekolah-sekolah di seluruh negara menguntum senyum menerima tetamu-tetamu baru dan lama, juga menelan pahit karenah ibu bapa yang turut berurusan dengan pihak sekolah. Kaum pendidik akan berhadapan dengan menu tugasan yang baru dan lama untuk mencapai SKT yang ditetapkan. Saya berada ‘diluar pagar’ sekolah kerana telah menggantung ‘uniform kerja’ yang telah disandang selama 13 tahun (12 tahun tetap dan setahun sebagai guru sandaran).

Dunia keguruan telah memberikan sejuta kenangan pahit manis apatah lagi saya menempuhnya sekaligus sebagai barisan hadapan Dewan Pemuda Pas. Saya menjadi guru sandaran selepas tamat belajar dari kampus tua Universiti Malaya pada tahun 1995, berbekalkan dengan semangat tinggi untuk menggerakkan kaderisasi dikalangan pelajar-pelajar, juga kerana himpitan kehidupan selepas itu untuk menyara tiga mulut di tengah kota metropolitan Kuala Lumpur. 

Muhammad Jundullah lahir pada bulan Ogos dan kami menetap di rumah sewa beralamat di 13a-4 Flat UDA Jalan Pantai Bharu, Lembah Pantai (kini telah hilang dari peta KL, telah diroboh untuk tujuan komersil). Saya menjadi guru sandaran di SMK Khatolik PJ, yang disendati dengan pelajar berbangsa Cina, juga dalam masa yang sama di Yayasan Anda Akademik Kuala Lumpur yang terkenal sebagai pusat awal ABIM di Lembah Kelang.

Pada tahun yang sama juga setelah tamat tarikh kontrak sandaran di SMK Khatolik , saya menyambung di SMK La Salle PJ, selepas itu terus mengajar di SMK Perempuan Taman Petaling. Bertugas sebagai guru sandaran memberikan pengalaman baru yang menyeronokkan, apatah lagi dengan latarbelakang pelajar bandar yang agak terdedah dengan budaya hedonisme serta berfikiran terbuka. 

Di SMK Khatolik, kelas pelajar-pelajar Islam di gabungkan di surau kecil yang agak tersorok di belakang sekolah yang kadang kala menjadi ruang ‘istirehat’ yang cukup selesa. Pelajar Islam yang agak kecil ini namun agak lumayan menyakitkan kepala apabila mereka turut menjamu selera di kantin dengan tukang masaknya bukan Islam. Jenuh juga untuk menerangkan kepada mereka tentang konsep makanan halal dan bersih. “tapi kami tak makan babi ustaz” jawab seorang anak murid dengan wajah tipikal Melayu bandar dengan senyum sumbing tak bersalah.
Setiap hari Selasa kami berhimpun untuk berusrah dengan pertemuan yang sangat santai dengan hidangan wafer dan minuman percuma kepada pelajar. Saya mengisi pertemuan dengan anak murid yang santai mengunyah makanan.

Sebagai guru sandaran saya diberikan beberapa mata pelajaran untuk diajar disini, saya menerima tanpa bantahan, “beggars don’t choose” kata Mat Salleh.Kudrat masih kuat, api semangat sedang menyala membakar serkam kemalasan.

Di sini satu pengalaman yang masih terakam pahit di kepala ialah apabila saya mengamuk dalam sebuah kelas tingkatan tiga paling tercorot. Kelas buta huruf tersebut menjadi buah mulut para guru di sekolah kerana tahap kepandirannya yang melampaui batas, juga kegatalan pelajar terhadap guru perempuan. “ itu kesannya apabila makan ba…..perangai jadi biadap” ulas saya dengan sedikit nada perkauman pada guru perempuan yang mengadu tentang pelajar kel;as ini yang suka memandang tepat pada bonjolan buah dada guru-guru wanita.

Satu hari yang takdirnya akan menelanjangkan siapa saya akhirnya mengambil tempat, saya mencatatkan butiran-butiran yang perlu ditulis oleh pelajar. Sedang saya menulis , pelajar di sebelah kelas membuat bising dengan suara yang sangat menganggu perasaan dan ketenangan. Saya bergegas ke sebelah untuk mengharmonikan kelas tersebut namun apabila kembali semula ke kelas tadi, tulisan di papan hitam telah dipadamkan. 

Anak-anak murid dengan wajah tolol dan konyol itu mentertawakan saya yang tercerap rasa sedih dan marah, “dahla bodoh, sombong tak makan ajar pulak tu” raung hati kecil saya. Kemarahan yang membuncah itu tidak mampu dikawal yang berkesudahan dengan tempikan yang menggegarkan sekolah. Libasan rotan mengambil tempat di belakang penghuni kelas, mereka berlagak seperti kumpulan YAKUZA, tetap diam membatu tidak mahu mendedahkan angkara siapa. Amukan saya hari itu menggemparkan sekolah, guru disiplin dan pengetua naik ke atas meninjau keadaan, semua pelajar di jemur dibawah sengatan cahaya matahari di kawasan lapang sekolah.

“Encik Liduan, orang Cina jika mereka tidak berjaya dalam akademik, mereka akan berusaha untuk berjaya dalam bidang lain , contohnya berniaga” suara Mr. Lee dengan pelat kecinaannya menasihati saya sekaligus memberikan motivasi untuk terus mendidik pelajar.

“ Pelajar kita yang dulunya sangat teruk belajar tetapi ramai yang berjaya termasuk menjadi pemuzik yang hebat” sambung beliau lagi.Saya meninggalkan sekolah Cina itu dengan difahamkan bahawa bangsa Cina tidak akan mengalah untuk berjaya dan kejayaan mereka di dunia akan menentukan kemewahan mereka di ‘dunia satu lagi’.

Saya melangkah lagi ke SMK La Salle yang terkenal dengan kenakalan pelajar itu, sekolah misionari kristian itu terletak di Jalan Gasing PJ. Sekolah dua sesi ini hanya terhad kepada pelajar lelaki sahaja.Selalu dikejutkan dengan pergaduhan pelajar yang kadang kala memaksa kereta peronda polis dipanggil untuk menggelakkan pergaduhan melarat di luat kawasan sekolah terutama apabila melibatkan kaum yang berbeza. 

Teringat saya aksi Cikgu Iskandar, juga aktivis tegar UMNO PJ yang sentiasa meronda sekolah dengan rotan yang besar serta panjang, beliau dengan misai yang tebal cukup tegas untuk menakutkan pelajar-pelajar nakal. Cikgu Iskandar sangat cekap bermain dengan emosi dan psikologi pelajar nakal, acara merotan seolah satu upacara ritual yang menguja akal. Pelajar yang bersalah akan dipanggil ke bilik guru, disuruh memeluk tiang dan mengigit pembaris besi, kononnya takut terkancing gigi apabila dirotan!. Sah, libasan rotannya akan membekaskan kesan fizikal dan mental kepada pelajar nakal.

“Taubat cikgu saya tak akan buat lagi” respon semerta pelajar selepas dirotan, yang kelakar ada yang menangis kesakitan. Cikgu Iskandar tersenyum kepuasan.
“Ceh, mula macam mafia Jepun, tapi jiwa pondan siam” ejek saya dalam hati. Di sini saya bergerak kelas ke kelas menyuruh pelajar solat Zuhor dan Asar, surau yang sangat sempit adalah sebuah bilik yang dikosongkan dan diubahsuai menjadi surau. Berbekal semangat muda saya memanjat tangga pejabat untuk menawarkan diri membantu membina surau sekolah yang selesa untuk guru dan pelajar, “mungkin PPS ada peruntukan zakat” doa saya. Rupanya tanah sekolah ini dimiliki oleh Yayasan Kristian dan kerajaan hanya bertanggungkjawab kepada kurikulum dan guru sahaja. Saya merenung lesu pada gambar-gambar berbingkai yang tergantung megah pada kawasan pejabat sekolah. Potret para paderi yang menubuhkan sekolah ini.

Sebuah lagi sekolah saya menjadi guru sandaran ialah SMK Perempuan Taman Petaling, teman baik saya semenjak alam kampus Nordin Sakke (berasal dari Tawau, Sabah) turut bersama saya menjadi tenaga pengajar.Sekolah di tepi bukit Gasing ini agak mendamaikan.Cuma saya yang agak letih dengan program-program jemaah yang padat juga menggerakkan perniagaan kecilan (keropok segera)untuk menampung kos hidup yang tinggi di Kuala Lumpur
MENJADI GURU TETAP.

Selepas menamatkan kursus Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya pada tahun 1997, saya tidak melaporkan diri untuk berkhidmat di Kuala Terengganu. Ini kerana saya telah menjadi Exco Pemuda Wilayah semenjak zaman belajar di UM (Dip. Ed), juga sebagai SU DDD Lembah Pantai. Iklim dan persekitaran lembah Kelang lembah mencabar pemikiran dan merangsang aktivisme saya denga kumpulan sahabat-sahabat daripada usrah pemuda Lembah Pantai. Himpunan kami saban malam di Surau Flat UDA sangat mengesankan .Tautan ukhuwwah yang terjalin membuahkan rasa kebersamaan, saya sentiasa merindui momen indah ini.

Saya menjalankan perniagaan dengan menubuhkan Jundi Foods Marketing, mengedarkan makanan dan memasarkan barangan Timur Tengah Kointrade, anak Syarikat KOHILAL, namun akhirnya berakhir dengan kegagalan. Kesempitan hidup di KL sangat merimaskan, saya dan keluarga berpindah semula ke Flat UDA. Menjadi imam dan mengajar Al Quran dengan bantuan isteri untuk anak-anak di kejiranan Flat UDA, Kuarters Bomba Jalan Pantai.Saya mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pendidikan untuk mengajar di Sekolah di sekitar Lembah Kelang yang akhirnya di terima mengajar di Victoria Institution KL, sebuah sekolah bergengsi yang dibina pada penghujung abad ke 19.

TAHUN REFORMASI YANG RUSUH.
1998,tahun yang menyaksikan seribu kegawatan, akibat daripada pemecatan Anwar, langit Kuala Lumpur menjadi tidak keruan .Angin rusuh menghembus dada warga KL yang mampu mencerap maklumat dengan lebih dalam. Tanpa diduga kebencian kepada BN tidak dapat dibendung, kebencian pada regim dituturkan secara terbuka. Di premis sekolah, kebencian ini diluahkan secara terbuka.

“Undur Mahathir Negara OK” ejek seorang guru apabila memberikan akronim perkataan UMNO dengan disambut sorakan girang para pelajar.
“BN….barang naik!” luahan benci anak-anak pelajar pada BN. Saya juga teringat keberanian guru-guru menampal stiker reformasi serta lambang PAS pada cermin kereta mereka, termasuk guru perempuan seperti Puan Suhaila seorang guru Sains lulusan UM.

Guru-guru lelaki mahupun yang perempuan berani meramaikan himpunan menentang Mahathir dan dengan bangga akan menceritakan kesakitan mereka meredah asap pemedih mata FRU di himpunan hujung minggu di Jalan Tunku abdul Rahman, mahu pun di hadapan kompleks SOGO. Antaranya Cikgu Zuraidi, Cikgu Din, Kak Yati, DLL.

“ Hari Sabtu lepas, nasib baik saya tak kena tangkap, mujur sempat lari menyelinap dalam kedai” cerita seorang guru lelaki dengan penuh bangga.
Semua orang gembira menceritakan pengalaman menjadi demonstran tegar, sebahagian besar pula tidak mengendahkan politik sebelum daripada ini.

Tulisan saya di Harakah juga dibaca oleh teman-teman guru termasuk Puan Salha, pengetua kami. “Saya sentiasa membaca tulisan ustaz dalam Harakah, bagus” kata Puan Salha separuh memuji. Pujian itu sangat menguja saya untuk terus menulis dan melibatkan diri dengan kebangkitan politik Malaysia di penghujung abad 20 itu.

Namun ada cerita menarik yang ingin dikongsi, dalam satu perhimpuan reformasi di Masjid Negara pada hari Jumaat, saya lupa tarikhnya . Namun saya teringat Malek Husein , Lokman Adam antara penggeraknya, pihak polis telah menembak gas dan mula mengejar para demonstran. Suasana sangat gawat dan tidak terkawal, saya berjaya melompat pagar dengan berkain pelekat dan rupanya gelagat itu telah dilihat oleh para pelajar. Hari Isnin berikutnya, gemparlah VI, “ustaz melompat pagar masjid dengan kain pelekat dan tanpa memakai seluar dalam” begitulah tokok tambah yang berlaku yang meniti dari mulut ke mulut.

(bersambung)... 
----------------------------------------------
yusz felda : mudahan-mudahan kerjaya akan datang lebih mendatangkan keseronokan kepada ustaz.. mudah untuk berdakwah.. jadi cikgu sekatan cara cikgu.. terbatas kadang-kadang untuk program jemaah.. nak kena pandai bahagi masa... tapi ust Ridwan ni contoh terbaik lah buat guru.. sibuk macam mana pun, boleh komitmen dengan jemaah.. boleh menulis buku lagi.. boleh membantu Pas Tawau, tolong atur program kutip sumbangan Madrasah Darul Hidayah, Sg. Imam, Tawau..  syukran ustaz.. hanya Allah sahaja dapat membalas jasa ustaz..

Tiada ulasan: