Jumaat, Februari 12, 2010

Artikel sebelum ini(sebelum JKR Sabah mohon peruntukan baru) : Isu Jalan Sapulut-Kalabakan, Sabah oleh Ketua Audit Negara!

PROJEK JALANRAYA SAPULUT – KALABAKAN TIDAK SEMPURNA (http://pustakaalghazali.wordpress.com)

20 Oktober 2009 · 5 Komen

Saya terbaca laporan Audit Negara melalui BERITA ONLINE hari ini mengenai ketidak sempurnaan pembinaan jalanraya SAPULUT ke KALABAKAN. Sapulut terletak di Daerah Nabawan manakala Kalabakan terletak di Daerah Tawau.
 Saya pernah melalui jalan ini dan mendapati hanya dari Keningau ke Sapulut sahaja jalanraya bertar. 

Manakala jalanraya dari Sapulut ke Kalabakan masih dalam keadaan gravel dan akan menjadi licin ketika hujan dan habuk ketika kemarau. Keadaan ini cukup tidak mendatangkan keselesaan kepada pengguna.

Jalan ini menjadi pilihan alternatif kerana ia lebih dekat berbanding jalan Kota Kinabalu ke Tawau. Saya rasakan boleh jimat 3 jam perjalanan.

Saya pernah mengulas isu ini sedikit masa lalu iaitu pada 30 Jun 2009. Malah kenderaan kawan-kawan saya ketika melalui jalan ini juga turut mengalami kemalangan yang hampir-hampir menjemput ke liang lahad. Lihat artikel berkenaan ini di sini.

Menurut laporan audit jalan ini telah menelan belanja yang begitu banyak iaitu sebanyak RM565 juta! Banyak tu beb! Bukannya RM565.oo (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Enam Puluh Lima Sahaja!).

Tahniah atas laporan audit.
Laporan lanjut baca berikutnya:

Projek binaan Jalan Sapulut-Kalabalakan tidak capai objektif
KUALA LUMPUR: Projek Pembinaan Jalan Sapulut-Kalabalakan didapati tidak mencapai objektifnya iaitu membina jalan bertar atau berturap yang menghubungkan pekan Sapulut di Keningau dengan Kalabalakan di Tawau, Sabah.

Sebaliknya, menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008 yang dikeluarkan hari ini, hanya jalan “gravel” yang dibina dalam projek yang membabitkan peruntukan RM565 juta itu.

“Audit mendapati kerja penyiasatan tanah tidak dilaksanakan dengan sempurna mengakibatkan banyak bahan yang tidak sesuai seperti batang balak digunakan untuk membuat jalan oleh syarikat konsensi pembalakan tidak dapat dikesan.
“Hal ini menyebabkan perubahan skop kerja dengan tidak membina jalan berturap terpaksa dilakukan bagi memastikan kos projek tidak melebihi nilai kontrak yang dipersetujui,” kata laporan itu.

Laporan itu juga berpendapat, pembinaan jalan di kawasan berkenaan adalah tidak praktikal kerana ia melalui jalan yang aktif dengan aktiviti pembalakan, membabitkan dua syarikat konsesi balak.

“Lori balak kerap menggunakan jalan itu, walaupun jalan basah, dengan muatan 42.54 tan sehingga 62.08 tan yang melebihi kapasiti reka bentuk jalan yang dibina, iaitu setakat 30 tan saja.
“Kekerapan lori balak menggunakan jalan itu juga adalah faktor yang melambatkan proses pembinaan dan menyebabkan kerosakan kepada jalan yang baru dibina seperti kerosakan terhadap “embankment”, longkang serta cerun,” kata laporan itu.

Selain itu, penyiasatan audit turut menemui kerosakan seperti lubang pada permukaan jalan, permukaan jalan mendap, bahu jalan ternaik, longkang rosak, perlindungan tebing sungai terhakis dan penahan tembok di sepanjang jalan itu akibat kualiti pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak memuaskan.
“Pada pandangan audit, Jabatan Kerja Raya (JKR) sepatutnya memastikan kerja penyiasatan tanah dijalankan dengan sempurna sebelum projek pembinaan jalan dimulakan,” kata laporan itu.

Laporan Ketua Audit Negara itu, mengesyorkan supaya JKR memastikan kontraktor membaiki segera kerosakan itu bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah serius sehingga menjejaskan keselamatan pengguna.

Tahap pemantauan juga perlu ditingkatkan untuk memastikan kontraktor menjalankan kerja penyenggaraan yang berkualiti serta mengikut jadual dan syarat yang ditetapkan, selain memohon peruntukan kewangan yang mencukupi di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 untuk menyambung kerja penurapan aspal jalan, kata laporan itu. – Bernama

Tiada ulasan: