Ahad, Februari 28, 2010

Dari Tingkayu terus ke Landau, Merotai, Tawau... siapa di sebalik 'rakyat tidak diutamakan'?

DEMONSTRASI PEKEBUN TIDAK BERJAYA RAIH SIMPATI?


Written by Admin   
Sunday, 28 February 2010 17:29
Oleh: RUMANDAWI L

KIRA-KIRA 100 orang penduduk kampung dan peneroka di Ulu Merotai Landau, Tawau mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pagar Dumpas Estate iaitu di kilometer 15, pos kawalan Landau ke Projek Pengurusan Hutan Simpan Kekal Ulu Kalumpang, pada Sabtu. 

Mereka berhimpun di situ apabila tidak dibenarkan masuk ke kawasan tanah kebun mereka untuk mengambil hasil tanaman dan barang-barang.Demonstrasi aman yang bermula 8.30 sehingga jam 10.00pagi itu disertai anak-anak peneroka daripada pelbagai peringkat umur. 

Mereka turut merentangkan tiga kain yang tertulis ‘Jangan Musnahkan Periuk Nasi Kami, Jangan Biarkan Kami Mengemis Di Bumi Peladang Sendiri’, ‘Inikah Konsep 1Malaysia? Beruk Di Hutan Disusukan, Anak Di Rumah Mati Kelaparan’ dan juga ‘Mana Janji Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. 

Para peneroka yang berhimpun itu tidak membawa sebarang senjata kerana mereka hanya mahu masuk ke kebun mereka yang terletak di Hutan Simpan dan bukan bertujuan mengadakan rusuhan seperti yang didakwa.

 

Tiga unit polis mengawal keadaan di kawasan berkenaan iaitu FRU, Pasukan Gerakan Am (PGA), PORU, termasuklah daripada Jabatan Perhutanan sendiri.Walaupun keadaan terkawal, sedikit kekecohan berlaku apabila salah seorang peneroka dalam usianya 70-an naik berang kerana mereka dihalang masuk. Insiden itu berlangsung lebih kurang 15 minit sehingga lelaki itu terpaksa ditenangkan penduduk lain dan juga pihak polis.

Bagi Puan Jeluwi Ak Bayang, 64, dia diberitahu peneroka lain untuk datang ke situ kerana beliau difahamkan mereka akan masuk ke kebun untuk mengambil hasil dan barang dari rumah mereka di Ulu Merotai Landau. 

“Saya tiada kenderaan, jadi menumpang kereta orang lain, tapi bila sampai sini kami dihalang masuk ke kebun,” kata ibu tunggal ini yang pendapatannya hanya bergantung sepenuhnya di tanah kebun 15 ekar peninggalan arwah suaminya yang juga bekas Ketua Kampung.  

Setakat ini, hanya lapan ekar yang telah diusahakannya yang ditanam buah-buahan seperti koko dan durian sejak 20 tahun lepas.Tegasnya, mereka mahu masuk ke kebun bukan mahu menceroboh tetapi hanya mahu mengambil hasil tanaman dan barang-barang.

Tambahnya, mereka diberitahu pihak yang melarang mereka masuk (atas arahan pihak atasan) bahawa mereka boleh masuk kebun tapi bukan hari ini (Sabtu) kerana didakwa mereka bakal mengadakan rusuhan. 

Manakala, Kideng Ak Benang @ Jefferey, 64, pula beliau mula bercucuk tanam sejak 1978 ketika kawasan tersebut masih kawasan pembalakan.Beliau mempunyai kebun kelapa sawit dan kolam ikan di kawasan berkenaan. Secara purata beliau mampu meraih kelapa sawit 45 tan sebulan dan 600 kg ikan. 

“Penduduk harap boleh masuk untuk melihat kebun, mengambil hasil dan barang-barang di sana,” katanya yang kecewa kerana mereka dihalang masuk sedangkan tujuan mereka bukan hendak memberontak seperti yang didakwa. 

Seorang lagi peneroka, Itab Ak Tang, 68, kokonya telah diusahakan sejak 1981, mampu menghasilkan dua tan dalam seminggu, manakala buah kelapa sawit ditanamnya dua tahun lepas. Tanahnya seluas 15 ekar.Kesemua mereka ini berharap agar masalah mereka mendapat perhatian dan belas kasihan daripada pihak Kerajaan kerana mereka hanya mahu bekerja (cari rezeki) dan bukannya meminta-minta. 

Difahamkan, Jabatan Perhutanan sudahpun mula menumbangkan pokok kelapa sawit milik peneroka sejak minggu lepas tetapi setakat ini belum ada rumah penduduk dirobohkan.

Untuk rekod, penduduk telah menerima notis keluar kawasan penempatan/kebun itu oleh Jabatan Perhutanan bertarikh 4 Januari 2010.

Tiada ulasan: