Edisi Pahang: Laporan Dari Konvensyen Peneroka Dan Generasi Ke-2 Felda Kebangsaan Di Jerantut (pahangdaily.blogspot.com)
JERANTUT, 20 Feb [11.00 am] - Konvensyen Peneroka Dan Generasi Kedua Felda Kebangsaan 2010 bermula hari ini di Markas PAS Kg.Temin, Jerantut. Lebih 1,000 orang perwakilan dari seluruh negeri Pahang dan negara telah hadir menyertai konvensyen yang pertama kali diadakan ini. Program ini adalah anjuran Biro Felda Keadilan Pusat yang diketui oleh Tn.Hj Suhaimi Said (foto). Pendaftaran peserta telah bermula pukul 8.00 pagi tadi. Majlis bermula sekitar jam 9.30 dan dipengerusi oleh Razali Alias, Setiausaha Perhubungan PKR Negeri Pahang. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Pengerusi Konvensyen, Tn.Hj Zahari Mamat dan kemudiannya diikuti dengan ucapan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman. Selepas itu ucapan perasmian telah disempurnakan oleh Senator Dr.Syed Hussin Ali, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat.Mazlan Aliman Dedah Penyelewengan Felda
Pembentang kertas kerja pertama konvensyen telah disampaikan oleh Mazlan Aliman (foto). Beliau membahaskan tajuk "Generasi Baru Felda: Antara Impian Dan Harapan". Antara lain Mazlan telah menyentuh soal Masalah Generasi Felda dari aspek jaminan masa depan, peluang pendidikan, kuota dan anak syarikat, rumah kediaman generasi baru, gejala sosial di Felda dan masalah tidak prihatin soal pengurusan ladang dan persekitaran.
"Umum mengetahu isu gejala sosial agak serius di Tanah Rancangan Felda. Penglibatan belia dengan penagihan dadah, arak, judi, rempit dan pergaulan bebas mengundang penyakit sosial yang sukar dibendung. Pendedahan terbaru oleh Tan Sri Lee Lam Thye selaku Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia tentang peningkatan kadar jenayah di Tanah Rancangan Felda tidak boleh dipandang remeh" katanya. Beliau juga turut menyatakan jurang antara peneroka dan pengurusan Felda dengan generasi muda agak ketara, isu-isu berkaitan hak, kepincangan dan penyelewengan jelas sekali tidak menimbulkan muda untuk menyelaminya.
"Sebahagian besar anak muda hanya berlegar dengan dunia mereka dan menyerah bulat-bulat urusan ladang kepada ibubapa mereka atau pengurusan Felda. Tidak kurang juga yan menjadi pak turut dan menyokong membabi buta" tambahnya lagi. Mazlan turut menjelaskan antara tuntutan yang dibuat oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan ialah berkaitan lot tanah kosong bagi perumahan generasi baru, kurniakan beberapa bidang tanah untuk generasi baru, batalkan Felda Plantation, naik taraf penempatan Felda yang telah mendapat hak milik, menangani gejala sosial, perbanyakkan peluang pendidikan dan anjakan pembangunan ekonomi setempat.
"Adalah sangat diakui memberi kesedaran kepada masyarakat Felda adalah tanggungjawab yang sukar. Penubuhan ANAK adalah satu strategi jangka panjang membangunkan jiwa anak muda Felda yang hampir mati. Mereka adalah golongan pewaris yang telah dan bakal mengambilalih peranan peneroka asal. Pendedahan menerusi konsep turun padang melalui ceramah, dialog. memorandum, laporan polis dan kenyataan media masih belum cukup untuk menginsafi mereka. Banyak lagi ruang lharus digembeling khususnya melalui konsep beragama dan politik" tambahnya.
[Konvensyen yang diadakan buat pertama kalinya ini dianggap sungguh berjaya dengan kehadiran ramai perwakilan dari seluruh negeri dan negara. Ternyata para peneroka mahukan perubahan besar dalam pengurusan Felda itu sendiri. Ramai yang dilihat sukar untuk melakukan sebarang tindakan gara-gara sikap pentadbiran Felda yang senantiasa menekan mereka kiranya mengadu nasib kepada mana-mana pihak. Namun, peneroka dan generasi kedua kini nampaknya semakin berani untuk mempertahankan hak mereka. Oleh itu, diharapkan program penyerahan memorandum kepada Suhakam yang dijadualkan pada hari Rabu ini akan membuahkan hasil dan mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan para peneroka di seluruh negara. Syabas juga diucapkan kepada Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) yang telah banyak berkorban untuk mengembalikan semula martabat dan maruah peneroka yang tercalar selama ini. Lakukan perubahan demi masa depan !!].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan