Hong Kong dan Malaysia sama, tapi cukup berbeza
Oleh ZAINI HASSAN
SALAM dari Hong Kong. Saya kini berada di wilayah pentadbiran khas (SAR) China itu sejak Jumaat lalu. Bukan tujuan untuk lari dari macam-macam hal di Malaysia dan cuitan saya ke atas beberapa pihak di Kedah, tapi untuk merasai kehidupan orang Cina di metropolitan ini. Kali terakhir saya berada di sini ialah pada Mac 1997, dua bulan sebelum ia berpisah dengan British - kerana membuat liputan saudara Anwar Ibrahim di satu forum perniagaan.
Setelah berpisah di bawah pengaruh dan kuasa Inggeris itu pada 1 Julai 1997, ia kini berada dalam kekuasaan Beijing yang ditadbir di bawah prinsip ''satu negara, dua sistem''. Istimewanya sistem ala British masih diamalkan di wilayah ini. Sekolah-sekolahnya banyak mengamalkan sistem Inggeris itu. Kanak-kanak perempuan sekolah masih lagi memakai pinafore paras betis, sama macam murid-murid kita pakai dulu dan sekarang, yang kini bercampur dengan baju kurung.
Menjelang musim sejuk sekarang, semua orang memakai pakaian ala-Barat yang stylish. Sekolah-sekolah mubaligh Kristian banyak di sini yang mengamalkan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris dan Cina. Malah bahasa Inggeris dan Cina sama banyak digunakan. Perdagangannya amat bebas, tanpa ikatan pengaruh komunis. Malah di Tanah Besar China di seberang sana pun, ekonominya telah terbuka luas, misalnya Shenzhen dan Guangzhou (Canton). Malah keseluruhan ekonomi China mengalahkan mana-mana negara di dunia ini. Jika situasi ini berterusan, kita menjangka golongan muda China yang akan menjadi tua kelak bakal mengetepikan komunisme kepada kapitalisme.
Sejak 12 tahun lalu, kerancakan Hong Kong ini semakin terserlah. Orangnya kini cukup pembersih. Pendek kata Hong Kong kini ialah sebuah wilayah yang cukup tersusun, sistematik - lebih baik daripada Kuala Lumpur, yang kini semakin tidak tersusun dan kelam-kabut. Singapura ternyata meniru konsep Hong Kong. Dan dengarnya Pulau Pinang kini pula mahu meniru konsep Singapura.
Hong Kong sesungguhnya bukan sahaja sebuah pelabuhan bebas dan pusat kewangan dunia yang rancak, ia juga menyediakan prasarana pelancongan yang cukup hebat dan bertaraf dunia. Malah beberapa sektor pelancongannya diswastakan kepada pihak-pihak antarabangsa, termasuk dari Amerika Syarikat. Oleh itulah urusan pelancongannya cukup hebat.
Malaysia dan Kuala Lumpur harus belajar dari wilayah ini. Bangunan-bangunan lama kolonial telah dibangunkan menjadi pusat tarikan pelancongan yang menarik. Jika di Malaysia bangunan Carcosa terlalu eksklusif, tanpa mahu didekati oleh orang awam dan pelancong, tapi di sini bangunan Heritage 1881, bekas ibu pejabat Polis Marin dan kandang kuda polis British telah diubah menjadi pusat membeli-belah dan hotel mewah yang tidak lekang dari lensa kamera semua orang.
Trem ke Puncak Victoria, hasil peninggalan British, telah dikomersialkan menjadi tarikan yang cukup hebat ala Genting Highlands, sebaliknya trem atau kereta api Bukit Bendera kita, asyik rosak. Suasana di atas Bukit Bendera dari 50 tahun lalu berdasarkan gambar nenek moyang saya bergambar sebelum naik kapal haji tidak berubah sampai sekarang!
Ternyata Hong Kong bukan sahaja mempunyai pedagang yang terhebat dunia, mereka juga mempunyai pentadbir dan perancang bandar yang cukup hebat. Rangkaian MTR bawah tanah sama seperti LRT kita juga cukup baik. Rangkaiannya merangkumi keseluruhan Hong Kong yang terdiri daripada pulau Hong Kong, Kowloon dan New Territories (sehingga ke sempadan China). Pergerakan manusia pantas dan murah melalui MTR. Sebaliknya, tidak pasti bila rangkaian LRT kita akan lengkap? Laluan ke Shah Alam, Klang dan Bangi yang ramai penduduk pun tidak siap-siap sampai sekarang?
Masyarakat Cina memang satu masyarakat yang amat kuat kerja. Mereka cukup 'enterprising' (rajin, berdagang, kreatif (baik atau buruk), megah dengan kekayaan). Ekonomi, perdagangan dan perniagaan adalah hidup mereka. Tidak hairan orang Cina Hong Kong berjaya 'merebut' sebelah sarung tangan Michael Jackson yang dilelong dengan harga hampir sejuta ringgit.
Orang Cina di Hong Kong dan di Malaysia sama sahaja. Mereka rajin bekerja untuk hidup senang-lenang di dunia. Malah apabila mati kelak pun mereka 'puas' kerana akan mendapat tanah kubur bernilai tinggi ala Nirvana di Nilai, Seremban.
Mereka juga suka makan. Di mana-mana simpang, apabila masanya mereka akan pulun makan semahu-mahunya. Orang kita (Melayu Islam) pula apabila sampai di sini, terlalulah susah nak makan. Bukan apa, orang sini punyalah suka makan 'haiwan itu'. Akhirnya terpaksalah kita melilau mencari kedai-kedai 'halal' milik Pakistan di Tsim Sha Tsui, Yau Ma Tei (di Kowloon) dan di Wan Chai (pulau Hong Kong). Di Tsim Sha Tsui (di tanjung Kowloon, laut menghadap pulau Hong Kong), terletak kawasan membeli-belah mahal dan berjenama dan di selang-seli dengan murah (tapi rata-rata mahal). Tapi saya syorkan makan sepuas-puasnya makanan Cina dan Dim Sum (satu-satu tempat yang saya tahu halal di Hong Kong) dengan harga yang murah di kantin tingkat lima Masjid Ammar & Pusat Islam Osman Ramju Sadick di No. 40 Oi Kwan Road dekat Hennessy Road, daerah Wan Chai (lihat www.islam.org.hk).
Di sebelah stesen MTR Tsim Sha Tsui (sebelah Kowloon) juga terdapat sebuah masjid atau Pusat Islam Kowloon. Makanan halal India Utara dan Pakistan banyak diperoleh di situ. Di sini juga terdapat ramai komuniti Pakistan, malah mengikut sesetengah pihak 'Awang Hitam' pun semakin banyak kelihatan selain orang Filipina dan Indonesia yang menjadi pandangan biasa di kota kosmopolitan ini.
Pendek kata, Hong Kong dalam 10 tahun ini amat berbeza. Ia lebih hebat, lebih bersih, lebih indah dan tidak nampak lagi tanda-tanda jalan yang melarang orang meludah. Orang Cina Hong Kong bukan macam orang Cina generasi dulu, mereka tidak lagi suka meludah. Mentaliti mereka sudah jauh ke depan. Berada di Hong Kong, seakan sama seperti berada di New York - terlalu ramai orang yang berjalan laju. Bagi pelancong jangan tertipu dengan mitos lama mengatakan di sini semuanya murah. ''Ini Hong Konglah bukannya Malaysia,'' kata seorang pegawai hotel tempat saya menginap sambil tersenyum. Sebenarnya Hong Kong ialah antara bandar raya termahal di dunia!
--------------- yusz felda :
seronok baca artikel ini.. tambah info kita...