Peruntukan khas untuk projek pembangunan Sabah, Sarawak (utusan.com.my)
26/04/2010 8:08pm
PUTRAJAYA 26 April – Kerajaan Pusat bersetuju menyediakan peruntukan khas untuk melaksanakan semua projek pembangunan untuk manfaat rakyat di Sabah dan Sarawak.
Persetujuan tersebut dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet mengenai Bumiputera Sabah dan Sarawak di sini hari ini.
Bagaimanapun jumlah peruntukan akan ditentukan kemudian, menurut seorang pegawai di Pejabat Perdana Menteri.
Katanya, antara lain, mesyuarat itu membincangkan pelaksanaan program pembangunan masyarakat bumiputera di kedua-dua negeri tersebut.
Jawatankuasa tersebut pada dasarnya berperanan untuk menyelaras, memantau dan menilai dasar serta strategi pelaksanaan pembangunan bumiputera di Sabah dan Sarawak secara holistik.
Selain itu, katanya, jawatankuasa tersebut turut diberi mandat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu yang melibatkan dasar dan jentera kerajaan di kedua-dua negeri itu.
Mesyuarat itu dihadiri semua menteri kerajaan Pusat dari kedua-dua negeri itu. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan