FELDA DULU PEMBOHONG, KINI POLONG! |
Written by Admin |
Friday, 16 April 2010 10:41 |
MALANG.... Bukan sahaja peneroka menderita akibat kekejaman Felda, malah penduduk Kampung Lok Buani dan Tanjung Labian turut menderita apabila Felda menggali parit di sekeliling kebun mereka dan menuduh mereka sebagai Pencuri! Siapa sebenarnya Pencuri Tanah Adat? Saudara Pengarang, SEBAGAI salah seorang peneroka FELDA di Gugusan Sahabat Lahad Datu, saya gembira apabila isu penderitaan kami yang sebelum ini telah disalurkan melalui setiap persidangan cawangan UMNO dan usul ke Bahagian ditolak tanpa sebab oleh pucuk pimpinan UMNO Silam; telah dibongkar dengan jayanya oleh Sabahkini.net melalui artikel bertajuk ‘Benarkah Kemiskinan Di Felda Punca Penderaan?’ Namun saya amat terkilan apabila ada pihak yang mempertikai laporan telus Sabahkini.net terutama Abang Peneroka Felda dan Sepupu Peneroka Felda yang bak kata pepatah, “orang lain mandi, orang lain yang basah.” Rakan seperjuangan kami, Kunsul Nahul berkata benar walaupun pahit. Penduduk Kampung Tanjung Labian dan Lok Buani turut menderita apabila Felda bertindak menggali parit besar yang memisahkan ladang Felda dengan penduduk kampung dan menuduh penduduk kampung tradisi sebagai pencuri buah kelapa sawit Felda. Sebagai salah seorang Ketua Cawangan UMNO di Felda, kami pernah terdetik untuk meninggalkan perjuangan sia-sia dalam UMNO, namun setelah memikirkan yang salah bukan UMNO, sebaliknya pemimpin UMNO Silam; terutama Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk Ustaz Suhaili Said yang menjadi Ahli Lembaga Pengarah Felda dan Ketua Bahagiannya, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur; maka kami terus kekal memperjuangkan UMNO dengan harapan Presiden UMNO akan menggugurkan mereka pada pilihanraya umum akan datang. Untuk makluman masyarakat bukan peneroka FELDA, para peneroka semakin tertekan dikurung di Sangkar Emas dan tidak mempunyai kebebasan untuk bersuara sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan; semata-mata kerana Pegawai Kanan Felda bagaikan kambing yang telah dikembiri (dibuang telur) tidak berani menyatakan kebenaran dan gentar menghadapi kenyataan. Jika di Semenanjung rakan kesayangan kami, Ustaz Mazlan Aliman telah menulis buku, Felda; Dulu Tolong, Sekarang Along, namun nasib kami di Sabah lebih malang apabila Felda yang selama ini menjadi ‘pembohong’ kini berperangai seperti ‘Polong’ atau hantu penghisap darah warga peneroka. Betapa malang nasib peneroka seperti kami yang hanya dipinjamkan 5.66 hektar tanah yang telah ditanam kelapa sawit yang sudah setaraf usia nenek 98 tahun kerana jangka hayat matang kelapa sawit produktif hanya selama 20 tahun, namun usia kebun sawit kami sudah mencapai 30 tahun. Jika dulu kami mampu hidup senang ketika harga sawit melonjak, namun kini setelah kebun ‘nenek kebayan’ kami tidak lagi produktif, maka kami kembali miskin jika mendapat hasil di bawah 10 tan disebabkan kekangan hutang yang bertimbun dan ditimbun oleh Pinjaman membesarkan rumah yang tidak sekata antara RM15,000 hingga RM40,000. Mereka di luar sana tidak boleh menuding jari kononnya kami pemalas atau suka berpeleseran dan tidak menjaga ‘kebun setinggan’ Felda di atas tanah ‘Anak Negeri’ yang tidak mungkin diberi geran, senasib dengan rakan kami di Semenanjung Malaysia. Jika kudrat kami seperti dua puluh tahun lalu, kami mungkin mampu bekerja keras namun rata-rata kami memasuki usia warga emas, maka kudrat kami yang hanya tinggal beberapa jengkal lagi tidak mungkin mampu mencari peluang di luar atau di dalam Felda kerana Dasar Pegawai Keparat Felda yang lebih mementingkan ‘kocek’ mereka daripada kebajikan peneroka. Kontrak Felda Plantation kebanyakannya dibolot oleh subkontraktor bukan bumiputera yang hanya menggunakan lesen perniagaan dan tidak mempunyai lesen kontrak; menyebabkan peluang kami bagaikan jarak antara langit dengan bumi. Anak-anak kami terpaksa berhijrah ke bandar besar atau bekerja di Semenanjung Malaysia kerana Felda enggan mengiktiraf Perkara 20 yang menjamin ‘Borneosasi’ jawatan dan perkhidmatan awam menyebabkan Felda mengimport ‘pegawai’ daripada Semenanjung; hatta ‘pegawai penjaga tandas’ dan ‘tukang sapu’. Sebagai Wakil Peneroka, saya mencabar agar pengurusan Felda mengadakan ‘Dialog atau Debat Terbuka’ dan memberi kebebasan kepada kami untuk menyuarakan hak dan ketidak puasan hati kami selama ini. Ingatlah, bahawa kini bukan lagi zaman ‘Kunta Kinte’ sebaliknya zaman Felda menjadi ‘Berus Tandas’ rakyat Sabah kerana jangan lupa BN pernah tumpas kepada Pembangkang PBS hanya kerana isu Pulau Labuan yang luasnya sekangkang kera; berbanding dengan lebih 101,171 hektar ‘Tanah Adat’ yang diberikan secara ‘Tidak Beradat’ kepada Felda pada 1979 bagi melestarikan penjajahan bentuk baru Kerajaan BN yang mewar-warkan ‘Ketuanan Melayu’ sebagai topeng untuk melaksanakan kejahatan dan kebejatan mereka selama ini. Jika slogan 1Malaysia dijadikan sandaran, peneroka akan mati kebulur walaupun tembuni Ahli Lembaga Pengarah dan Pegawai Kanan Felda ditanam di Sabah kerana mereka lebih mementingkan pangkat dan kedudukan daripada nasib rakyat Sabah yang dijanjikan ‘Bulan dan Bintang’ oleh Legasi Tun Razak! Salam Hormat, PENEROKA MALANG |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan