Jumaat, April 16, 2010

Hulu Selangor: MIC dapat 3, Umno dapat 0. Bijak,bijak.. Umno-lemah, lemah..


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 15 April: Selepas rundingan demi rundingan dan disertakan dengan pelbagai ancaman, akhirnya MIC dikatakan dapat tiga dan Umno tidak dapat apa-apa di Hulu Selangor.
Ketua Penerangan MIC Pusat, P Kamalanathan dilaporkan telah dipilih sebagai calon, manakala Timbalan Presiden MIC, G. Palanivel dijanjikan kerusi senator dan timbalan menteri.

Keputusan ini dikatakan kompromi terbaik dan dikatakan sebagai menang-menang selepas MIC berkeras mahukan Palanivel bertanding di kerusi itu.
(Gambar: Kita menang 3 - 0. Mungkin itu yang dikatakan oleh Presiden dan timbalan Presiden MIC ini kepada Umno)

Umno tidak bersetuju dengan Palanivel dan lebih senang dengan Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Selangor, V Mugilan. Namun, MIC bahagian mengugut akan menentang keputusan itu dan MIC Pusat pula mengugut akan memecat beliau dari MIC.

“Ini formula terbaik, situasi menang-menang... sebenarnya dengan ini MIC akan mendapat satu kerusi senator dan timbalan menteri tambahan,” kata seorang pemimpin kanan MIC kepada satu laman web.

Perebutan siapa yang akan menjadi calon BN di Hulu Selangor menjadi sengit apabila Umno Bahagian Hulu Selangor mahukan calon Umno iaitu bekas MB Selangor, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib bertanding di situ.

Beliau dikatakan bakal mengulangi kegemilangan Umno dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang apabila bekas MB Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad diletakkan di situ.

Namun, dari awal lagi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin menolak Muhamad dengan berkata, Muhamad tentu tidak mahu bertanding di situ.

Padahal ramai yang beranggapan, Muhyidin menolak Muhamad kerana kedua-duanya adalah musuh ketat selepas kedua-duanya bertanding merebut jawatan timbalan presiden Umno dalam pemilihan yang lalu.

Selepas perundingan dibuat, Umno bersetuju calon MIC bertanding di situ tetapi dengan syarat bukannya G. Palanivel, timbalan presiden MIC yang pernah beberapa penggal menjadi anggota parlimen di situ.

Ekoran itu nama Kalamathan dan Mugilan timbul. Namun, MIC berkeras mahukan Palanivel bertanding di situ.

Jika tidak mereka akan memboikotnya manakala MIC pula mengugut akan memecat Mugilan jika beliau dipilih BN bertanding di situ.

Hasilnya, MIC dapat kesemuanya, calon iaitu Ketua Penerangan MIC Pusat, P. Kalamathan dan kerusi senator serta satu kerusi timbalan menteri iaitu untuk Palanivel.

Tiada ulasan: