GUNUNG TRUS MADI Vs GUNUNG KINABALU? |
Written by Admin |
Sunday, 06 September 2009 20:24 |
Oleh: HENRY BATING MENDAKI Gunung Trus Madi lebih mencabar daripada mendaki Gunung Kinabalu. Apakah faktornya sehinggakan ada di kalangan pendaki menganggap demikian? Sepanjang pendakian Gunung Kinabalu, bermula dari Timpohon Gate sehingga ke Panar Laban, Gunting Lagadan dan Puncak Kinabalu dilengkapi kemudahan pendakian. Manakala di Gunung Trus Madi, kemudahannya belum sebaik di Gunung Kinabalu. Gunung Trus Madi yang terletak di Taman Negara Banjaran Crocker adalah gunung kedua tertinggi di Malaysia, selepas Gunung Kinabalu. Ertinya, dengan ketinggian 2,645 meter, Trus Madi lebih tinggi daripada gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia. Gunung Tahan di Taman Negara dekat Pahang hanya berketinggian 2,187 meter. Pendakian ke puncak Trus Madi bermula pada paras 1,800 meter. Paras 1,800 meter didaki menaiki kenderaan pacuan empat roda. Perjalanan memakan masa kira-kira 40 minit dari Pekan Tambunan, masuk ke Kampung Kaingaran melewati jalan berliku dan berbukit-bukau. Dari kejauhan, Trus Madi hanya umpama sebuah bukit yang indah. Dengan pendakian bermula pada paras ketinggian 1800 meter, kira-kira cabaran pendakian apakah yang bakal dihadapi? Pendakiannya agak landai, tidak securam mendaki Kinabalu. Namun perjalanan mendaki penuh beralun. Sesampai di satu puncak, perjalanan diteruskan dengan menuruni bukit, lalu kemudian mendaki lagi. Sehinggakan, dari satu puncak ke puncak yang lain memiliki jarak yang sangat berdekatan. Malahan, pendaki di satu puncak dengan pendaki lain di puncak hadapan boleh bercakap di antara satu sama lain. Tentunya dengan sedikit laungan. Namun pada jarak dekat yang boleh bercakap dari puncak ke puncak, bukan mudah untuk sampai ke puncak sebelah. Tapi kalau dipasang jambatan, mungkin hanya selebar Sungai Pegalan. Menaiki dan menuruni puncak demi puncak amat menguji kesabaran dan ketahanan mental pendaki. Dalam meniti puncak, sesekali melewati jalan yang lebarnya hanya satu kaki. Ertinya, dalam laluan sekaki lebar itu, jurang berada di tepi kiri dan kanan pendaki. Boleh dikatakan amat berbahaya. Namun Ranger Jabatan Perhutanan ada memasang tali-tali keselamatan untuk pendaki berpaut. Bagi kakitangan Jabatan Perhutanan, pendakian Trus Madi hanya memakan masa sekitar empat jam begitu. Berbeza dengan rombongan pendaki amatur, tempoh pendakian boleh mencecah sehingga lapan jam. Jika terlalu lambat mendaki, alamat ke malam lah di dalam pendakian. Sekiranya kemalaman, alamat bergelaplah berjalan kerana memang belum ada sebarang kemudahan lampu di gunung itu. Satu-satunya pilihan yang ada ialah dengan menggunakan lampu suluh telefon bimbit. Dan yang baiknya, di serata tempat di Trus Madi, “line” handphone sentiasa “full” belaka. Sampai ke puncak kedua tertinggi, kelihatan kawasan sumber tenaga solar. Sumber tenaga yang dibina oleh kerajaan untuk memudahkan para pegawainya melaksanakan tugas termasuk hubungan telekomunikasi. Kawasan inipun menjadi tapak yang digemari para pendaki untuk berkemah. Namun demikian, lebih ramai yang memilih untuk mendaki puncak tertinggi yang letak hanya kira-kira 10 minit pendakian. Seperti pendakian di Gunung Kinabalu, pendakian di Gunung Trus Madi juga melibatkan pendaki menginap di puncak. Bezanya ialah menginap di puncak Trus Madi memerlukan pendaki membawa khemah masing-masing. Tidak seperti di Gunung Kinabalu yang boleh menginap di asrama yang selesa, Panar Laban dan Gunting Lagadan. Dalam keadaan demikian, cabaran pendakian amat terasa. Kecekalan mendaki dan berkhemah di puncak amat menguji. Belum termasuk kemahiran untuk memasak di puncak kerana memang tiada sebarang kemudahan memasak. Keadaan sejuk dan tiupan angin mencengkam tulang belum termasuk lagi. Pendakian di Trus Madi menawarkan pemandangan yang beraneka ragam. Dalam keadaan cuaca yang tenang, panorama Gunung Kinabalu menampakkan diri untuk dinikmati rombongan pendaki yang berada di puncak Trus Madi. Pemandangan berkabus, pemandangan berlumut dan pemandangan pelbagai spesies fauna dan flora selalu setia menemani pendaki. Kalau bernasib baik, Orang Utan pula akan menyapa. Menuruni Trus Madi tidak sesukar mana. Beberapa jam boleh sampai ke kaki pendakian. Boleh berehat di tepi sungai dan boleh menikmati makan tengahari di tanah pamah tebing sungai. Namun, perlu ada rakan-rakan lain yang menyediakan makanan. Kerana di kaki permulaan mendaki inipun belum ada kemudahan jualan makanan yang tetap. Difahamkan, Jabatan Perhutanan mahu mengekalkan corak pendakian Trus Madi seperti sedia ada. Biar cabaran mendaki lebih semulajadi. Biar menawarkan pendakian yang amat berbeza dengan pendakian Gunung Kinabalu. Bagi para pendaki handalan, anda boleh mengatur rombongan dengan menghubungi Jabatan Perhutanan Tambunan. ------------------- yusz : Subhanallah! Sabah walaupun banyak dilitupi oleh sawit namun masih banyak kawasan yang membekalkan oksigen oleh flora fauna kepada kepada manusia... |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan