Selasa, Mac 09, 2010

Pemuda mengaku di Mahkamah bunuh 4 ahli keluarga.. teruknya..

Pengakuan pemuda bunuh 4 ahli keluarga ditolak (9/3/2010)

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@bharian.com.my


Rasidi Ismail
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak pengakuan bersalah penganggur, Rasidi Ismail, atas tuduhan membunuh empat ahli keluarganya di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, awal Januari lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin, membuat keputusan itu kerana tertuduh membuat pengakuan tanpa mendapat khidmat nasihat peguam.

"Walaupun mengaku salah, mahkamah perlu berhati-hati untuk menerima pengakuan yang dibuat. Jadi kamu perlu melantik peguam untuk memberi khidmat nasihat dan mahkamah akan melihat sama ada terdapat keperluan untuk mendapatkan pemeriksaan mental," katanya.

Ahmad Nasfy kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 22 Mac ini, yang perlu dihadiri bersama peguam.

Rasidi, 32, yang sempat tersenyum ke arah ahli keluarganya sebelum masuk ke mahkamah, kelihatan tenang ketika pertuduhan itu dibacakan.

Tertuduh mengaku bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan semua pertuduhan dan mengaku memahami hukuman yang bakal diterima. Rasidi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung hingga mati. 

Bagi tuduhan pertama, Rasidi didakwa membunuh adik perempuannya, Siti Khadijah Ismail, 22, di No 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh, antara jam 7 pagi hingga 11 pagi, 5 Januari lalu.

Tertuduh juga menghadapi tiga lagi tuduhan, iaitu membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; neneknya, Sufiah Katas, 80, dan datuknya, Atan Daud, 87, di rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan pada tarikh dan waktu sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata tiada akta yang boleh menghalang tertuduh mengaku bersalah, namun masih perlu mendapatkan nasihat dan khidmat peguam mengikut Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Tertuduh dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat peguam berikutan kes ini agak berat," katanya. 

Sementara itu, ibu Rasidi, Saharah Atan, 59, ketika ditemui berkata beliau akan mendapatkan khidmat Biro Bantuan Guaman supaya kes itu diselesaikan segera dan berjalan lancar.

"Saya reda dengan apa yang berlaku, tetapi berharap hukuman yang dikenakan dapat dikurangkan," katanya. 
--------------------------
yusz : alhamdulillah dapat ilmu kehakiman dunia, mengaku bersalah dah, tapi dek kerana tidak ada lawyer bersama bagi kes berat... pengakuan boleh ditolak...

Tiada ulasan: