Selasa, Mac 09, 2010

KPM untung RM 120ribu atas angin, jual no pin untuk calon jadi guru??? Hangat!


Mansuh bayaran PIN MTesT- Pemuda PAS   | Print |  E-mail
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mahu Kementerian Pelajaran Malaysia (MOE) memansuhkan bayaran bagi permohonan untuk menduduki Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (Malaysian Teacher Selection Test – MTeST).

Menurut iklan yang dikeluarkan oleh Kementerian berkenaan sebelum ini, para pemohon dikehendaki membuat bayaran RM 6 di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mendapatkan Nombor Pengenalan Individu (PIN) sebelum dibenarkan mengisi borang permohonan secara on-line.

"DPPWP difahamkan bahawa lebih 70 ribu pemohon telah membuat permohonan secara online, namun hanya 50 ribu sahaja yang dipanggil bagi mengikuti ujian MTesT diseluruh negara pada 28 Mac nanti.

"Ini bermakna 20 ribu lagi ditolak, walaupun telah membuat bayaran dan mengisi borang permohonan online.

"Dengan itu, Kementerian berkenaan telah mengaut untung atas angin sebanyak RM 120 ribu hanya dengan menjual nombor pin sahaja," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dalam satu kenyataan.

Jelasnya, bahagian pengambilan di kementerian itu ketika dihubungi memberitahu bahawa pemilihan dibuat secara rawak berdasarkan merit yang dikira secara berkomputer.

"Maknanya pemilihan calon dibuat oleh komputer bukan pegawai penilai. Walaupun hanya memohon untuk ikuti peperiksaan tetapi mereka sudah dikenakan bayaran, sedangkan tidak semua pemohon akan dipanggil bagi mengikut MTesT," tegasnya lagi.

Menurutnya lagi, keadaan tersebut berbeza dengan apa yang diamalkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) di mana calon-calon kakitangan awam boleh mengisi borang online secara percuma.

Manakala SPA akan membuat pemilihan sama seperti yang dibuat oleh MOE dan hanya calon yang layak sahaja yang akan dipanggil.

Sehubungan itu beliau mahu bayaran bagi mendapatkan nombor PIN untuk membuat permohonan secara online ini dimansuhkan kerana ianya tidak releven dan mencuri wang rakyat yang begitu memerlukan pekerjaan.

"DPPWP tidak melihat keperluan untuk MOE mengenakan bayaran pada peringkat permohonan, dan perkara ini tidak sewajarnya menjadi amalan kerana jelas menindas pemohon yang belum tentu dipanggil untuk mengikuti peperiksaan tersebut", katanya.
------------------
yusz : ini salah satu usaha Pas untuk bantu rakyat, kita pun nak minta kerja, berapa RM bayar sahaja.. saya ingat siapa yang baca isu ini, mungkin terbakar.. :(

Tiada ulasan: