Isnin, Mac 01, 2010

Polis Raja di Malaysia ka? Mesti Baca Episod ke 2 dari Sabah!!! war2kan kezaliman ini kepada warga Malaysia!

MEMANG BENAR POLIS RAJA DI MALAYSIA? EPISOD 2 PDF Print E-mail
Written by Admin   
Sunday, 28 February 2010 18:37


YAB Datuk Seri,
SAYA pernah bertanya kepada beberapa anggota polis di sana mengenai hak saya dan mereka mengatakan “saya hanya berhak untuk berdiam diri buat masa ini” Oleh itu, saya terus mengambil keputusan membiarkan pihak polis untuk membuat siasatan. 

Richard memberitahu saya pada waktu itu, bahawa Laurentius dan Bahar dikehendaki polis. Manakala rumah kongsi tempat kami tinggal sudah dibakar. Pada masa itu saya berharap segala buku-buku catatan rekod keluar masuk kenderaan dan rekod pengeluaran buah dapat diselamatkan daripada kebun Tingkayu.

Pada 4 Disembar 2009, Yadum Atihal sendiri telah ditahan ke dalam lokap bersama-sama kami. Menurut Yadum, dia diminta untuk membantu siasatan tetapi kami sedih melihat beliau kerana dia berada dalam keadaan yang tidak sihat kerana menghidapi penyakit kencing manis dan sakit mata. 

Saya hampir tidak percaya yang pihak polis masih boleh menahannya sedangkan ubat yang dibawa oleh Yadum sudah cukup untuk membuktikan penyakit yang dihadapinya. Sepatutnya Yadum yang berumur 70-an tidak perlu ditahan dalam lokap. 

Pada 5 November 2009, kawat cam dijalankan ke atas kami atas tuduhan menahan buah sawit milik Haji Asiman dan sekali lagi kami bersyukur kerana tiada saksi yang mengecam dan menunjuk kami semua.

Pada pagi 7 Disember 2009, kami membuat tunjuk perasaan kerana tidak berpuas hati dengan penahanan kami yang sudah melebihi dua hari dari tempoh reman. Balai Polis Kunak berada dalam keadaan tegang waktu itu. 

Pada waktu itu, kami menuntut agar Yadum dibebaskan dan siasatan kami dipercepatkan. Kami digari dan dibawa ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah dan kami dibebaskan dengan jaminan diri sendiri, namun sekali lagi kami ditangkap semula pada waktu itu juga.
Sebelum dibawa ke hadapan Majistret Kelas II Kunak, telefon bimbit saya dirampas oleh ASP Tan. Saya cuba merayu pada ASP Tan supaya tidak merampas telefon bimbit saya namun ASP Tan menolak dengan alasan mau dijadikan bukti di Mahkamah. 

Pada hari itu juga kami dibawa oleh Sarjan Sarakawi ke hadapan Majistret Kelas II Kunak. Oleh kerana Pegawai Daerah; Susilo Sumarto tiada di pejabat, sebutan reman dibuat di hadapan seorang wanita yang saya tidak pasti apakah jawatan yang dipegang oleh wanita yang bertanggungjawab mendengar sebutan reman kami pada hari itu. 

Setahu saya, bacaan reman pada hari itu menyebut Laurentius dan orang-orangnya mengugut meminta pembayaran buah sawit sebanyak RM50 setan dan dituduh di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu tuduhan mengugut.
Selepas itu kami dimasukkan ke dalam lokap sementara menunggu soal siasat polis dengan tambahan tahanan reman selama 4 hari lagi.

Pada 11 Disember 2009, kami dibawa ke Mahkamah Majistret Lahad Datu untuk menghadapi pendakwaan dan ASP Tan sendiri yang menjadi Pihak Pendakwaraya.
Dalam sebutan kes di hadapan Tuan Majistret Amir Shah Amir Hassan, kami dituduh di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan; cubaan pemerasan yang boleh mendatangkan ketakutan saksi. 

ASP Tan memohon supaya tertuduh tidak boleh dijamin keluar kerana boleh mengancam keselamatan saksi dan ianya berkait dengan kes Tingkayu iaitu merupakan satu kes yang besar yang masih dalam proses perbicaraan.Katanya lagi, jika permintaannya tidak diluluskan, tertuduh harus dikenakan jaminan yang tinggi sekurang-kurangnya RM5,000. 

Hakim menolak rayuan Pendakwaraya untuk tidak membenarkan tertuduh dijamin memandangkan kesemuanya adalah warganegara; namun telah meluluskan permohonan Pendakwaraya untuk mengenakan jumlah jaminan yang tinggi berjumlah RM5,000 seorang sehinggalah diturunkan kepada RM4,000 setelah pihak kami (tertuduh) memohon rayuan.

Kami ditahan dalam lokap polis Kunak selama tiga hari kerana tidak mampu membayar duit jaminan yang terlalu tinggi. Sejak mula ditahan oleh pihak polis Kunak penyakit gastrik yang saya hadapi semakin teruk. 

Saya pernah dihantar ke Hospital Kunak tiga kali untuk mendapatkan ubat (Cemetidin 400mg) untuk menahan sakit gastrik yang seringkali menyerang bila terasa lapar.
Selama berada di Balai Polis Kunak, ASP Tan pernah memanggil saya ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah dan menunjukkan kepada saya sekeping kertas tertulis jumlah berat buah tandan sawit serta jumlah harga keseluruhan yang tertulis dan bertanya sama ada tulisan pada kertas itu adalah tulisan saya atau tidak. 

Saya mengakuinya kerana kertas tersebut saya tulis sebagai rekod pengeluaran buah sawit syarikat Dukawan untuk Leong dan Harris pada pagi 22 November 2009 semasa mereka datang meminta saya untuk mengeluarkan satu bil pembayaran komisyen untuk bulan Oktober. 

ASP Tan terus menyuruh saya menulisnya sebanyak 20 keping. Setelah berpuas hati melihat tulisan tersebut adalah tulisan saya dia pun menyuruh saya menandatangani setiap kertas tersebut. Kertas tersebut juga turut ditandatangani oleh seorang anggota polis sebagai saksi di hadapan Sarjan Sarakawi.

Pada 14 Disember 2009, kami dibawa ke Mahkamah Majistret Lahad Datu. Kami dibawa masuk ke dalam penjara dengan perasaan takut dan gerun. Saya tidak mahu bercerita banyak berkenaan Penjara Tawau cukup untuk saya katakan ‘Trauma, Tekanan Mental, Menanggung Malu, Kehilangan Maruah Dan Harga Diri dilalui tanpa kemahuan diri saya.

Siksaan yang paling teruk saya hadapi adalah masalah penyakit gastrik yang semakin menjadi-jadi. Kesakitan yang saya hadapi menjadi lebih teruk bila berada di Penjara Tawau disebabkan oleh pengurusan yang dilakukan oleh pihak Polis Kunak melalui tindakan SM Narawi yang tidak memberikan laporan (surat/resit yang diterima dari Hospital Kunak) yang diperlukan untuk rekod di Penjara Tawau. 

Ini menyebabkan ubat saya tidak dapat dibawa masuk ke dalam penjara. ‘Setiap Hari’ saya terus diserang penyakit gastrik yang menyebabkan kesukaran kepada saya untuk menelan makanan. 

Pada 12 Januari 2010, kami dibawa keluar dan dibicarakan. Kami menaruh harapan tinggi untuk menang perbicaraan dengan harapan diwakili oleh peguam kami Valentino tetapi dia tiada menghadirkan diri pada waktu itu. 

Ketika perbicaraan, pihak Pendakwaraya memohon penangguhan dengan alasan ‘Menunggu Laporan Tandatangan’. Hakim Mahkamah Majistret, Amir Shah Amir Hassan menetapkan perbicaraan ditunda pada tarikh 17, 18 dan 19 haribulan Februari 2010. 

Kami dihantar ke lokap Kunak sejurus perbicaraan dan apabila sampai saya terus melapor kepada polis yang bertugas di lokap pada hari itu untuk dihantar ke hospital Kunak dengan harapan untuk mendapatkan ubat gastrik (Cemetidin 400mg) serta mendapatkan surat pengesahan dari hospital Kunak agar mendapat kebenaran dari pihak Penjara Tawau untuk membawa masuk ubat tersebut.

Pagi 13 Januari 2010, sekali lagi saya melapor untuk dihantar ke hospital Kunak kepada anggota polis yang bertugas di lokap pada waktu itu. Lebih kurang jam 9 pagi saya melihat SM Narawi berdekatan pintu pejabat lalu saya melapor semula padanya.

Lebih kurang jam 12 lebih, SM Narawi kelihatan tergesa-gesa membuat persediaan menghantar kami ke Penjara Tawau walaupun pada waktu itu kami belum lagi menjamah makanan tengah hari. Saya sangat susah hati kerana penyakit gastrik saya mula menyerang. 

Sebelum menaiki lori, sekali lagi saya mendesak SM Narawi untuk pergi ke hospital Kunak lalu dia mengangguk tanda setuju. Semasa menaiki lori, Pardan Singh memberitahu saya yang SM Narawi tidak mahu singgah di hospital Kunak. Akhirnya lori pihak polis dipandu terus tanpa mempedulikan saya yang sedang sakit. Saya terlalu marah dan kecewa sehingga melemparkan kata-kata kesat. 

Anggota polis yang bernama Melson datang menenangkan saya dan mengambil kesempatan membeli ubat tersebut semasa lori polis berhenti di perkarangan Mahkamah Tawau. 

Saya sangat berterima kasih kepada Melson pada hari itu kerana menolong saya membuat laporan tentang penyakit saya pada pegawai di Penjara Tawau dan saya mendapat bekalan ubat saya tetapi hanya bertahan untuk seminggu.

Minggu kedua berada di dalam Penjara Tawau, saya telah kehabisan bekalan ubat. Saya tidak dapat bertahan dengan sakit yang saya hadapi akhirnya setelah berkali-kali melapor dan setelah Pegawai Penjara berpuas hati melihat keadaan saya dalam kesakitan barulah mereka menghantar saya ke Hospital Tawau dengan tangan yang bergari, dilihat oleh semua orang yang berada di hospital.

Pada 17 Februari 2009, kami bersiap untuk dibicarakan di Mahkamah Majistret Lahad Datu dengan cara mempertahankan diri sendiri kerana kami tidak dapat berharap yang wakil peguam kami akan menampilkan diri pada hari itu. 

Keadaan saya cukup tertekan pada waktu itu apabila diberitahu bahawa terdapat lebih sepuluh saksi yang datang menampilkan diri pada waktu itu.
Berikut adalah lebih kurang percakapan saya di Mahkamah Majistret Lahad Datu:
(Bukti laporan pertama tertulis No Repot : KNK/RPT/2801/09-diletakkan sebagai bukti P1)

Lebih kurang percakapan dengan saksi pertama:
Jefferey : Encik Harris, adakah Encik Harris menuduh saya meminta cukai atau sebarang pembayaran di tempat kejadian?
Harris : Ya.
Jefferey: Untuk pengetahuan Encik Harris kertas yang saya berikan kepada Encik Harris bukanlah satu bil untuk meminta pembayaran. Kertas tersebut adalah laporan pengeluaran buah sawit dari Syarikat Dukawan untuk bulan Oktober kepada Encik Harris. Saya tidak pernah meminta sebarang pembayaran daripada Encik Harris.
Harris : Ya saya setuju, ia bukan satu bil tetapi sekeping kertas tertulis nilai wang.
Jefferey : Ya, nilai wang tersebut adalah jumlah pengeluaran buah untuk bulan Oktober dan saya ada memberitahu Encik Harris agar merujuk kepada majikan Encik Harris dan majikan saya untuk sebarang urusan pembayaran.
Yang Arif : Apa maksud kamu?
Jeffrey : Yang Arif saya cuma terangkan kepada Encik Harris.

Kemudian persidangan Mahkamah ditangguhkan seketika. Sewaktu masa rehat ini saya telah menyuruh Hassan mengambil beg sandang saya yang mengandungi repot polis yang saya buat pada 22 November 2009 yang lalu. Mahkamah bersidang semula  dan berikut adalah lebih kurang percakapan saksi kedua:

(Bukti laporan kedua tertulis no Repot : KNK/RPT/2775/09–diletakkan sebagai bukti P2)
Nota : Sewaktu saya melihat no report pada bukti P2, saya sedar yang laporan polis yang saya buat pada 22 November 2009 yang lalu dilapor di Balai Polis Kunak lebih awal dari laporan yang dibuat oleh Leong dan Harris. Saya sedari laporan yang saya buat di Balai Polis IPD Kunak tidak dipedulikan oleh pihak Polis Kunak.

Jefferey : Mr.Leong, adakah Mr.Leong menuduh saya meminta cukai atau sebarang pembayaran di tempat kejadian?
Leong : Ya.
Jefferey : Untuk pengetahuan Mr.Leong kertas yang saya berikan kepada Mr.Leong bukanlah satu bil untuk meminta pembayaran. Kertas tersebut adalah laporan pengeluaran buah sawit dari Syarikat Dukawan untuk bulan Oktober kepada Mr.Leong. Saya tidak pernah meminta sebarang pembayaran dari Mr.Leong.
Leong : Tidak, kau ada minta pembayaran mau tiga puluh ribu lebih.
Jefferey : Untuk pengetahuan Mr.Leong nilai wang yang tertulis pada kertas tersebut adalah nilai keseluruhan buah sawit syarikat Dukawan yang telah dikeluarkan ke penama-penama akaun yang lain.
Leong: Tidak, kau ada minta.
Jefferey : Itu saja Yang Arif.
Tuduhan palsu oleh Leong pada saya saat itu terlalu melampau membuatkan saya begitu tertekan. Selesai sahaja percakapan dari Pendakwaraya, saya meminta peluang dari Hakim untuk bercakap.

Apabila mendapat kebenaran, tanpa berlengah lagi saya mengangkat salinan laporan polis yang saya simpan dalam beg sandang saya sejak hari penahanan saya dengan sokongan No Repot (KNK/RPT/2772/09) yang diberikan di kaunter balai polis Kunak sendiri.
Jeffrey : Yang Arif, kami adalah Ahli Jawatankuasa Keselamatan. Ini adalah laporan polis yang saya buat dibalai polis Kunak mengenai kecurian buah dari Syarikat Dukawan yang telah dimasukkan ke penama akaun yang lain. Report ini ada tersimpan di Balai Polis Kunak.
Selesai sahaja saya menunjukkan salinan repot saya tersebut. Pihak pendakwaraya memohon agar persidangan mahkamah ditangguhkan buat seketika.
Kemudian, mahkamah bersidang semula dan berikut adalah Penggulungan Hakim Mahkamah Majistret:

“Oleh kerana kedua-dua saksi utama sendiri mengaku tidak berasa takut semasa berada di tempat kejadian dan juga mengaku tidak pernah membuat sebarang bentuk pembayaran sepertimana yang dilaporkan, membuktikan yang tuduhan yang telah dibacakan adalah tidak wujud, Mahkamah menolak permintaan untuk memanggil saksi yang seterusnya kerana ia hanya akan membuang masa dan akan membazirkan duit kerajaan dan ini adalah kes remeh-temeh. Kesemua tertuduh dibebaskan tanpa jaminan.”

Pada waktu itu, kesemua kami seramai 10 orang AJK Keselamatan yang dituduh menangis tanda bersyukur. Bolehkah YAB Datuk Seri dapat melihat ketakutan kami selama kami ditahan? Berbanding dengan tuduhan palsu terhadap kami iaitu ‘cubaan pemerasan yang boleh mendatangkan ketakutan kepada saksi’ 

Saya melihat satu komplot yang cuba menghancurkan hidup saya. Jika diingat semula kejadian yang menimpa saya dan rakan-rakan, saya berasa gerun dan trauma untuk melihat Balai Polis Kunak. 

Saya bersyukur kerana Tuhan memberi saya akal untuk berfikir yang dapat menyelamatkan saya dari makhluk yang lebih rendah martabatnya dari binatang! Dari semua kejadian yang menimpa diri saya disebabkan kerakusan dan tindakan membabi buta pihak polis Kunak, saya sudah hilang kepercayaan terhadap Polis Di-Raja Malaysia yang kami sahkan mahkamah sebagai Polis Raja di Malaysia!

Sila lihat; yang pertama, laporan polis. Yang kedua, jaminan diri sendiri. Yang ketiga nota daripada Sarjan Sarakawi untuk bukti; Yang keempat, resit penjualan sawit; Yang kelima,.surat lantikan AJK Keselamatan dan keenam; surat jaminan daripada Polis Kunak.

Persoalannya di sini ialah:
1.Mengapakah semasa pada pagi 22 November 2009, tiba-tiba Leong dan Harris datang meminta bil pembayaran daripada saya untuk diberikan kepada majikannya untuk pembayaran komisen?
2.Mengapakah saya tiba-tiba ditangkap dan dibuat pemeriksaan air kencing?
3.Mengapakah saya dibuat pemeriksaan air sekali lagi bersama-sama 9 anggota Pengawal Keselamatan sedangkan saya sudah pun dibuat pemeriksaan sebelumnya?
4.Mengapakah saya ditahan selama 7 hari tanpa sebutan reman?
5.Selepas mendapat jaminan diri sendiri daripada pihak polis, mengapakah saya ditahan pada masa itu juga untuk kes penahanan buah Cikgu Asiman (KNK/RPT/ 1478/09) yang berlaku bulan Jun 2009 yang sudah lalu?
6.Selepas mendapat jaminan diri sendiri daripada pihak polis kerana tiada pertuduhan dibuat oleh penuduh semasa kawat cam untuk kes cikgu Asiman, mengapakah saya ditahan sekali lagi (KNK/RPT/2416/09) pada masa itu juga untuk kes mengugut di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan?
7.Mengapakah pada 11 November 2009 kami dituduh di bawah seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu ‘Kes Pemerasan’ yang bercanggah dengan tuduhan yang telah dibaca di hadapan Majistret Kelas II Kunak?
8.Mengapakah ASP Tan merampas telefon bimbit saya dan lain-lain anggota AJK Keselamatan dengan alasan untuk bukti di mahkamah sedangkan dalam perbicaraan barang bukti tidak dikeluarkan? (Sehingga sekarang HP tersebut belum lagi dikembalikan)
9.Mengapakah kes yang dianggap remeh-temeh oleh Hakim namun sebelumnya kami dikenakan jaminan tinggi (RM5,000 seorang) sehingga kami terpaksa dihantar ke Penjara Tawau kerana gagal membayar wang jaminan?
10.Mengapakah laporan perubatan yang dipegang oleh polis SM Narawi tidak diberi kepada pihak Penjara Tawau sehingga menyebabkan ubat gastrik saya daripada Hospital Kunak tidak dapat dibawa masuk ke Penjara?
11.Mengapakah polis SM Narawi menipu saya kononnya akan singgah ke Hospital Kunak sebelum ke penjara Tawau selepas perbicaraan pertama sebaliknya terus menghantar saya ke Penjara Tawau menyebabkan saya tidak mempunyai bekalan ubat yang cukup semasa dihantar ke penjara Tawau?
12.Mengapa Leong dan Harris menuduh saya (di depan Hakim) telah mengambil atau memungut duit cukai sedangkan tiada apa-apa pun pembayaran dibuat daripada mereka sendiri?
13.Mengapakah Leong menuduh majikan saya (Laurentius) meminta wang sebanyak RM5,000 sedangkan hasil pengeluaran berjumlah ringgit malaysia tiga puluh ribu lebih jika dikeluarkan komisen 15% adalah berjumlah ringgit Malaysia lima ribu lebih yang sepatutnya dituntut oleh majikan saya?
14.Mengapakah ASP Tan terlalu komitmen meletakkan gambar Laurentius dan salah seorang anggota kami (Bahar bin Nahir) yang memegang buku rekod keluar masuk gate Tingkayu di surat akhbar sebagai orang yang dikehendaki?
15.Mengapakah pihak polis kunak memohon masa penannguhan semasa perbicaraan 17 Februari 2010 sebaik sahaja saya menunjukkan kepada pihak Mahkamah salinan repot polis saya sendiri yang telah saya simpan didalam beg sandang saya sejak bermulanya saya ditangkap pada tanggal 22 November 2009 sehingga di hari perbicaraan dan selepas sahaja masa penangguhan hakim membuat penggulungan dan kami dibebaskan tanpa sebarang ikat jamin?
16.Mengapakah repot polis daripada saya (KNK/RPT/2772/09) tidak dilayan pihak polis sebaliknya melayan repot daripada Harris (KNK/RPT/2775/09) dan repot daripada Leong (KNK/RPT/2801/09)? Jika Balai Polis IPD Kunak adalah balai yang mempunyai sistem rekod yang teratur, secara lojiknya repot nombor manakah sampai dahulu 2772 atau 2775 atau 2801? 

YAB Datuk Seri, kesimpulannya, pihak Polis telah dengan sewenang-wenangnya membuat tindakan membabi buta setelah penjenayah membuat aduan palsu terhadap AJK keselamatan. 

Selama kami dalam tahanan 85 hari penjenayah telah bebas melakukan kegiatan merampas hasil buah pekebun kecil tanpa apa-apa tindakan daripada Polis Kunak.
Situasi yang berlaku memberi kesimpulan bahawa penjenayah dan polis Kunak sengaja menimbulkan kes bagi menganiaya kami setelah kami membuat satu laporan kejadian curi buah membabitkan penjenayah dan kenderaan lori yang dipercayai milik seorang ASP di Jabatan Siasatan Jenayah Kunak. Pemilikan lori melibatkan pegawai ini diketahui melalui kenyataan penjenayah Ah Leong, Alex Chia dan Harris.

Pihak PDRM khasnya Datuk Noor Rashid Ibrahim telah gagal menjalankan tugas beliau memantau kegiatan semasa kegiatan jenayah yang berlaku di Balai Polis Kunak walaupun Noor Rashid sendiri menjelaskan bahawa beliau memantau Sabahkini.net setiap hari. Kenapa ASP Tan masih tidak digantung tugas bagi mengelakkan salah guna kuasa polis di Balai Polis Kunak? 

Ketua Polis Daerah Kunak juga gagal menjalankan tugas kerana tidak mampu memantau kegiatan pegawai di bawahnya. Kami akan membawa tindakan jenayah polis Kunak semenjak penahanan terhadap 21 orang yang terdiri dari pekebun kecil sendiri pada 21 Ogos 2008 yang lalu sehingga penahanan terhadap 10 orang AJK Keselamatan baru-baru ini yang jelas sekali mencabuli undang-undang Negara Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Semoga YAB Datuk Seri dapat menggunakan kuasa eksekutif sebagai Perdana Menteri mengarahkan Menteri Dalam Negeri menjalankan inkues, siasatan rapi dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua pegawai polis yang telah mencemar imej PDRM selama ini. 

Salam Hormat,

JEFFEREY JINOR
Pembayar Cukai Yang Teraniaya
]------------------------------------
yusz felda : mesti semua warga Malaysia dan Sabah khasnya baca artikel ini.. baca dulu.. kemudian kaji la tengok.. sejauh mana benar atau salah... kalau tolak mentah-mentah tak boleh la...

Tiada ulasan: