Mangsa banjir Filipina cecah dua juta orang
MANILA: Angka mereka yang menjadi mangsa banjir besar di Filipina akibat Taufan Ketsana mencecah lebih dua juta orang.
Angka terbaru dikeluarkan kerajaan itu menyebut, seramai 389,616 kini penuh sesak mendiami 561 pusat pemindahan sementara di sekitar ibu negara Manila dan wilayah timur negara itu.
Sementara 346,581 orang lagi menetap di kediaman masing-masing atau menumpang di rumah rakan dan sanak saudara, menurut Majlis Koordinasi Bencana Filipina, hari ini.
Angka kematian kini kekal 246 orang manakala 42 orang masih dilaporkan hilang.
Ribut tropika Ketsana yang membawa hujan paling lebat dalam tempoh 40 tahun melanda Manila serta 80 peratus kawasan di pinggir ibu negara itu. - AFP
------------------------------------------
Taufan Ketsana: EU sedia beri bantuan kemanusiaan
BRUSSELS 30 Sept. – Kesatuan Eropah (EU) semalam memberitahu bersedia untuk membantu negara-negara Asia yang dilanda taufan Ketsana dengan bantuan kemanusiaan.
Jurucakap EU, John Clancy berkata, pejabat bantuan ECHO Suruhanjaya Eropah telah pun memberi bantuan kecemasan sebanyak 2 juta euro (RM10 juta) kepada Filipina yang dilanda taufan tersebut dan menyebabkan lebih 246 orang terbunuh.
Sementara itu, di Vietnam pula, kira-kira 31 orang terbunuh manakala 170,000 lagi terpaksa dipindahkan di Hanoi, apabila taufan Ketsana disertai angin kuat melanda pantai tengah negara itu, semalam.
Menurut Clancy, dua pakar bantuan kini berada di Manila untuk melihat apa yang diperlukan oleh Filipina, sementara kumpulan bantuan lain di rantau diletakkan dalam keadaan bersiap sedia. – AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan