Khamis, September 24, 2009

Bongkah-bongkah batu gunung berapi dipercayai berusia 27,000 tahun di beberapa lokasi sepanjang Sungai Balung , Tawau. Subhanallah... MESTI BACA!

Bongkah batu volkanik produk pelancongan
Balung, Tawau


Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (Korporat dan Ekonomi Mineral) Dr Mustapah Mohd Lip (kiri) bersama kakitangannya meninjau bongkah batuan volkanik jenis 'basalt' yang tersusun rapi di tebing Sungai Balung, Tawau, baru-baru ini. -Foto BERNAMA

TAWAU: Bongkah-bongkah batu gunung berapi dipercayai berusia 27,000 tahun di beberapa lokasi sepanjang Sungai Balung boleh menjadi produk pelancongan yang unik untuk memajukan kawasan tersebut, menurut penduduk Kampung Cocos di situ.

Shamsuri Samat, 29, berkata beliau yakin sekiranya kawasan itu dimajukan dengan baik ia mampu menjadikan Balung sebagai salah satu destinasi pelancongan bercirikan ekopelancongan di bahagian pantai timur Sabah.

Bongkah-bongkah batuan volkanik atau 'columnar-basalt' berbentuk sama ada segi lima atau segi enam itu mempunyai saiz yang hampir sama dan sekata. Ia tersusun rapi di tebing Sungai Balung, Tawau.

"Kawasan ini kami panggil "batu bersusun" kerana selain semua bongkah batu di sini berbentuk segi enam atau segi lima dan seragam, bongkah batu itu juga hampir kesemuanya sama saiz, seolah-olah disusun oleh manusia meskipun sebenarnya ia terbentuk secara semulajadi," kata Shamsuri.

Menurutnya, kawasan bongkah batu volkanik berkenaan sudah lama mereka ketahui namun disebabkan kurangnya perhatian, keunikan kejadian semulajadi itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (Korporat dan Ekonomi Mineral) Dr. Mustapha Mohd Lip, semasa melawat kawasan itu Ogos lepas berkata bongkah batu berkenaan terbentuk hasil penyejukan magma dari perut bumi ketika muncul di permukaan bumi.

Bongkah batuan volkanik jenis 'basalt' yang tersusun rapi di tebing Sungai Balung di Tawau.

"Batu volkanik ini tidak melebihi 27,000 tahun berdasarkan usia Gunung Maria (batuan volkanik "dacite"), yang setinggi 3,550 kaki (1,082.04m) dan berumur 27,000 tahun," kata Dr Mustapha.

Batuan basalt itu terbentuk selepas letupan volkanik Gunung Maria iaitu antara gunung tertinggi di Tawau yang terletak dalam kawasan Taman Bukit Tawau, kira-kira 24 kilometer di utara daerah ini.

"Lebih penting, batuan volkanik ini cuma terdapat di sini sahaja. Tempat-tempat lain di Sabah malah di Malaysia tidak ada bongkah batuan unik seperti ini," kata Dr Mustapha.

Seorang lagi penduduk di situ, Takun Austin, 58, berkata bongkah batu volkanik berkenaan boleh dijadikan salah satu produk dalam pakej pelancongan berkonsepkan Inap Desa (Homestay) yang sedang dirancang penduduk Kampung Cocos.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (Korporat dan Ekonomi Mineral) Dr Mustapah Mohd Lip (kiri) meninjau bongkah batuan volkanik jenis 'basalt' yang tersusun rapi di tebing Sungai Balung di Tawau, baru-baru ini.

Menurut Takun, selain keunikan bongkah batu volkanik berkenaan, corak kehidupan dan kebudayaan suku kaum Cocos yang boleh disaksikan melalui "tarian dansa", "tarian melengok" dan "tarian samba" (seperti joget) boleh dipromosikan kepada pelancong luar.

Saidil Kalel, 66, yang pernah mengikuti kursus pengurusan dan pengendalian pelancongan inap desa di Batu Putih, Kinabatangan sebelum ini, yakin beliau berupaya mewujudkan inap desa di Kampung Cocos sekiranya mendapat sokongan kerajaan.

"Pelancong dalam atau luar negeri yang berkunjung ke Kampung Cocos boleh tinggal sehingga tiga malam di perkampungan ini dan sepanjang keberadaan mereka, mereka akan disajikan dengan pelbagai produk pelancongan dalam pakej yang disediakan," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: