KPTM baru di Semporna
“KOLEJ Poly-Tech Mara (KPTM) memberi peluang kepada kami yang tinggal di luar bandar berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pelajar yang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian dan berada di Semenanjung,” kata pelajar jurusan Diploma
Perakuan KPTM di Semporna, Sabah, Nabila Ardilah Razali, 18.
Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu itu terpaksa melupakan hajat untuk meneruskan pengajian kerana kekurangan sumber kewangan.
Namun penubuhan KPTM di Semporna memberi sinar baru kepada Nabila untuk mencapai cita-cita bergelar usahawan dan mengubah masa depan keluarganya.
KPTM yang dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Amanah Rakyat Mara (Mara) telah melebarkan sayapnya di luar Semenanjung. Kampus yang pertama di Sabah itu dan kelapan di seluruh Malaysia memulakan operasi pada bulan Julai baru-baru ini.
Institut tersebut menawarkan dua bidang pengajian iaitu Perakaunan dan Pengurusan Perniagaan yang menempatkan seramai 172 pelajar.
Perasmian kampus sementara itu dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar, (KKLW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal awal Ogos lalu.
“Penubuhan kampus kelapan KPTM itu merupakan satu langkah untuk membantu pelajar-pelajar di luar bandar mendapat pendidikan tinggi.
“Ia juga dapat menyeimbangkan pendidikan dan sosioekonomi penduduk setempat,” kata Mohd. Shafie.
Melalui KPTM, katanya, secara tidak langsung ia dapat mengurangkan beban keluarga yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar jika anak-anak mereka melanjutkan pengajian.
“KPTM di Semporna juga dapat menampung pelajar-pelajar dari kawasan sekitar seperti Lahad Datu, Sandakan dan Keningau.
“Dua bidang yang ditawarkan merupakan kursus profesional yang menjamin para pelajar mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian atau berkecimpung dalam dunia perniagaan,” katanya.
Menurut Mohd. Shafie, impian KPTM adalah mahu merubah kehidupan masyarakat luar bandar dan keluar daripada kepompong kemiskinan. Sementara itu, Pengerusi KPTM Semporna, Datuk Suhaimi Shahadan berkata, KPTM memberi peluang kepada pelajar untuk menimba ilmu setanding pelajar lain.
Promosi rumah ke rumah
“Kita beri mereka keselesaan, mereka tidak perlu pergi jauh dan mengeluarkan belanja yang besar untuk belajar.
“Pelajar-pelajar di sini bijak-bijak belaka dan berkelayakan. Jadi kita tidak mahu mereka terlepas peluang untuk memperbaiki diri kerana tidak mampu,” jelasnya.
Mengambil kira pendapatan keluarga di Semporna, KPTM memberi kelonggaran kepada para pelajar membuat pembayaran yuran secara ansuran.
Selain itu, katanya, KPTM akan berbincang dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta untuk mengadakan usaha sama menaja pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.
Kolej tersebut berjaya menerima lebih 400 permohonan dengan memperkenalkan KPTM dari rumah ke rumah empat bulan lalu. Bagaimanapun, hanya 172 permohonan diterima.
Berdasarkan maklum balas yang diterima, penduduk di Sabah mengenali KPTM dan memahami fungsinya untuk melahirkan pelajar yang berpendidikan tinggi, berdaya saing dan mempunyai ciri-ciri keusahawanan.
|
“Ketika saya dan rakan-rakan pergi ke rumah-rumah untuk memperkenalkan KPTM, ada antara ibu bapa yang terharu dan mengalirkan air mata kerana anak-anak mereka berpeluang menyambung pelajaran,” ujarnya sambil memberitahu usaha promosi KPTM akan dilakukan secara berterusan.
Penubuhan kolej itu di kawasan luar bandar merupakan satu pembaharuan KPTM dalam memberi pilihan kepada pelajar untuk menyambung pengajian di tempat mereka.
Suhaimi berkata, KPTM dilihat mampu menjadi katalis kepada bandar Semporna yang kini mempunyai kepadatan penduduk sekitar 147,000 orang.
Penubuhan kolej itu juga merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut dengan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan.
2 ulasan:
kalau yer pn nak share info tu.. jgn r bg pic palsu.. gmbr tu bkn gmbr remaja semporna.. :/
kalau ye pn nak share makulumat tu jgn r bg gmbr yg x betul.. tu bkn gmbr remaja semporna..
Catat Ulasan