Ahad, September 19, 2010

Forensik membongkar pembunuhan Sosilawati & 3 rakan!

RENCANA UTAMA


Bukti dalam lumpur

sumber rujukan di sini




PERISTIWA pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga individu lain di Ladang Gadong dekat Tanjung Sepat, Banting, Selangor telah menyentak perasaan jutaan rakyat Malaysia. 

Pembunuhnya dianggap kejam dan bersifat kebinatangan. Kesemua mangsa dipercayai dibunuh seorang demi seorang menggunakan besi pencangkuk dan tikaman bertubi-tubi pada perut.Mayat mereka kemudian dibakar manakala abu mayat dibuang ke dalam sungai berhampiran. 

Turut dibunuh bersama Sosilawati ialah pemandu peribadi, Kamaruddin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38. 

Pihak polis telah menahan lapan orang suspek termasuk seorang peguam yang menggunakan gelaran Datuk palsu. Para penyiasat yakin pembunuhan itu telah dirancang rapi. Ini termasuk mangsa dibenarkan atau mungkin juga dipaksa oleh penjenayah terbabit supaya menghubungi keluarga masing-masing pada malam 30 Ogos lalu bagi memaklumkan mereka tidak pulang ke rumah selama tiga hari kerana urusan kerja. 

Ia bagi mengelakkan keluarga mangsa membuat laporan polis tentang kehilangan mereka dan membolehkan penjenayah terbabit menghapuskan barang bukti dalam tempoh tersebut.

Peguam itu, yang semestinya mahir selok-belok perundangan termasuk melupuskan barang bukti, dikatakan menjadi perancang utama kes pembunuhan berprofil tinggi itu. 

Dia tentu mengetahui ketiadaan bukti fizikal akan menyukarkan pihak polis membuat pendakwaan di mahkamah.Seperti yang digambar dalam siri drama penyiasatan popular, Crime Scene Investigation (CSI), penjenayah sedaya upaya menutup kesan khususnya bukti asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengelakkan mereka ditangkap.

SUNGAI Panchau dipercayai lokasi abu mayat Sosilawati dibuang.


Secara umum, dalam sebarang proses siasatan jenayah terutama yang membabitkan kes bunuh, bahan bukti utama yang dijejaki oleh pakar forensik ialah DNA.

Keunikan DNA yang menjadi identiti biologi setiap individu yang berbeza membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti suspek dengan mudah, sekali gus mempercepatkan penyelesaian siasatan sesuatu kes jenayah.

Penjenayah yang licik pasti menyedari hakikat ini. Malah, pensyarah Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zafarina Zainuddin berkata, DNA yang ditinggalkan di tempat kejadian boleh terjejas jika terdedah kepada persekitaran yang ekstrem seperti lembap atau panas melampau. Teori ini nampaknya sekali lagi digunakan dalam kes pembunuhan Sosilawati.

Prinsip Locard

Namun, bekas Ketua Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan, berkata tidak kira teknik tanam, bakar, diletupkan atau dibuang ke sungai, dalam tahap tertentu, bukti jenayah tersebut tetap 'timbul'.

"Tidak kira apa teori atau taktik yang digunakan penjenayah termasuk 'No Body No Murder', penghapusan bukti sebenarnya tidak semudah yang disangka," kata Amidon yang terlibat secara langsung dalam pencarian bukti kes pembunuhan penganalis teknologi maklumat, Canny Ong dan wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu. 

Tambah Amidon, penggunaan Prinsip Pertukaran Locard yang cukup asas amat mustahak dalam usaha menjejak bahan bukti.
PAKAR siasatan forensik, Amidon Anan berpendapat penjenayah sukar menutup jejak jenayah kerana pihak polis mempunyai kepakaran untuk menjejakinya.


"Contohnya, dalam jenayah pecah masuk rumah, penjenayah tentulah akan memegang mana-mana bahagian pintu atau tingkap untuk memecah masuk ke dalam rumah berkenaan.

"Jika penjenayah menikam mangsa, pasti ada kesan percikan darah di tempat kejadian. Prinsip Locard akan dapat memastikan penjenayah tertangkap," dedahnya.

Amidon yang pernah mengikuti kursus di Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) menegaskan setiap dua permukaan yang bertemu akan meninggalkan kesan. Ini termasuklah cap jari, rambut, darah atau apa saja yang bersentuhan antara mangsa dan suspek.

Justeru, seandainya penjenayah membakar mangsa sekali pun, masih terdapat 1,001 cara lain untuk mengutip bukti dan mengaitkannya.
Menyentuh lebih mendalam mengenai taktik melupuskan bukti, Amidon berkata, penjenayah mempunyai pelbagai cara untuk melakukannya. 

"Ia terpulang pada penjenayah itu sendiri bagaimana mahu menghapuskan kesan dan jejak. Ia juga bergantung pada peluang dan ruang yang ada pada masa itu," katanya.

Antara taktik yang biasa dilakukan penjenayah ialah membuang mayat ke dalam sungai atau laut, dibunuh di tempat ekstrem seperti di dalam hutan atau melakukan pembunuhan seolah-olah ia satu kemalangan. 

Merujuk pada kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, Amidon berpendapat ia satu jenayah terancang."Pelupusan bukti yang dilakukan dengan cara membakar dan membuang senjata pembunuhan ke dalam sungai menjelaskan suspek mempunyai ruang dan peluang. 

"Tetapi penemuan beberapa barang milik mangsa seperti jam tangan serta telefon bimbit termasuk serpihan tulang yang masih menunggu pengesahan ujian DNA telah menjerat suspek," katanya.
PENGGUNAAN alat pengesan logam membolehkan barang bukti seperti zink lebih cepat ditemui.


Zink yang disyaki menjadi tempat pembakaran mayat Sosilawati dan sebilah pisau yang dibuang ke dalam sungai turut ditemui. 

Malangnya tulang manusia bukan mudah untuk dilupuskan kerana proses pembakaran perlu melalui lapisan kulit, lemak, daging, otot dan sebagainya terlebih dahulu sebelum api dapat sampai ke tulang.
"Kalau dilihat melalui mata kasar mungkin tulang mangsa sudah hangus. Itu hanyalah pertimbangan logik. 

"Tetapi dari segi saintifik, tulang itu belum hancur 100 peratus, sekali gus masih meninggalkan bahan bukti DNA. 

"Jangankan di atas tanah, di dalam lumpur pun ia masih dapat dikesan," kata Amidon. Menurut Amidon, teknik membakar bagi menghilangkan bukti pernah dilakukan di negara ini sebelum ini. 

Beliau memberi contoh kes Canny Ong yang mayatnya dibakar kira-kira tujuh tahun lalu.Mengimbas kes tersebut, mayat mangsa dijumpai di Kilometer 11.2, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, dalam keadaan hangus di dalam sebuah lubang pembetungan dengan kedua-dua tangannya bersilang di atas dada manakala kakinya terjuntai keluar dari lubang itu.

Bakar



Mayatnya turut ditemui tertanam di bawah dua tayar berisi simen dalam lubang pembetungan itu, empat hari selepas dia diculik pada 13 Jun 2003 dari tempat letak kereta Kompleks Beli-belah Bangsar (BSC).

Hasil siasatan pihak forensik mendapati terdapat kesan darah serta ujian DNA yang dilakukan berjaya mengaitkan pembunuh dengan mangsa. 

"Walaupun pelbagai teknik digunakan oleh Ahmad Najib untuk menutup bukti, namun jenayah tersebut tetap terdedah," kata Amidon. 

Pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris telah didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhi hukuman mati.

Bagi teknik membakar mangsa secara beramai-ramai seperti yang berlaku di Ladang Gadong, ia jarang dilakukan namun jelas Amidon, tindakan membuang sisa bakar ke dalam sungai hanyalah satu teknik biasa untuk mengelirukan pihak berkuasa. 

Untuk itu, Amidon memberitahu, pencarian bahan bukti menggunakan khidmat pakar menyelam adalah cara terbaik untuk menjejak kembali bukti-bukti yang cuba dilupuskan itu. 

Tambahnya lagi, penggunaan anatomi pengesan logam yang digunakan untuk mengesan besi di dalam tanah atau air hingga kedalaman 20 hingga 30 meter juga menjadi faktor penghapusan bukti sukar dilakukan. 

Amidon menjelaskan, walaupun bahan bukti dibuang ke pelbagai tempat, termasuk kawasan ekstrem, ia masih tidak dapat dilupuskan.

Itulah juga yang berlaku ke atas Altantuya Shariibu yang mati ditembak sebelum mayatnya diletupkan dengan bom di kawasan Empangan Tasik Subang di Puncak Alam pada 20 Oktober 2006.

Walaupun tubuh Altantuya berkecai, polis masih dapat menemui cebisan daging dan tulang badan wanita itu yang berselerakan dalam radius 200 meter dari tempat tubuh bekas model itu diletupkan.

Tiada ulasan: