Selasa, September 21, 2010

Hapus semua gengster, bukan India sahaja!



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 21 Sept: PAS mahu pihak polis menumpukan usaha membanteras gengsterisme secara menyeluruh dan bukannya tertumpu pada kaum India sahaja seperti yang dipinta oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah.
 
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, jika pihak polis mengikut kehendak emosi Murugiah, masalah gengsterisme tidak akan selesai kerana ia bukan wujud kalangan kaum India sahaja.

“Kenyataan Murugiah dengan sendiri memberikan gambaran buruk tentang masyarakat India dan ini tidak sewajarnya dilakukan oleh beliau sebagai seorang menteri,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, gejala gengsterisme ini harus dihapuskan hingga ke akar umbi termasuk kalangan VIP dan ahli politik yang melindungi mereka.

Kumpulan gengster, katanya ada di mana-mana dalam negara kita termasuk dalam pilihan raya seperti serangan yang berlaku ke atas Markas Pemuda PAS ketika Pilihanr Raya Kecil Bagan Pinang.

Menurutnya, beberapa kawasan di Lembah Klang dikenali oleh masyarakat umum sebagai kawasan gengster seperti di Chow Kit, Jalan Pasar dan Jalan San Peng, Jalan Petaling dan Brickfield di Kuala Lumpur manakala di Selangor, kawasan Puchong dan Klang cukup ditakuti kerana menjadi sarang gangster dan ah long.

Tiada ulasan: