Apabila media arus perdana dan media alternatif serta media pembangkang berkelahi soal Felda Bankrap, saya sedikitpun tak berminat nak ambil tahu dan nak ulas. Tika itu, bagi saya, "Lantak kau lah Felda, kau nak untung ke, kau nak bankrap ke, suka hati kau lah. Aku dengan dunia aku, pendapatan aku tak terjejaspun. Aku tak minat nak belek fail Felda untuk tahu dia untung atau rugi!"
Saya juga tidak mengkaji, menyelidik dan menyiasat sama ada Felda untung atau rugi. Namun bagi saya yang penting ialah warga Felda. Warga Felda yang saya maksudkan ialah kami, para peneroka Felda, anak-anak peneroka (Gen2) dan zuriat mereka yang terus bermastautin di tanah-tanah rancangan Felda seluruh negara.
Ketika bapa-bapa kami memohon ke tanah rancangan Felda, mereka tidak disyaratkan memiliki segulung ijazah mahupun diploma. Matlamat Tun Razak ketika itu ialah hendak memberi tanah yang mencukupi kepada rakyat yang belum bertanah supaya mereka boleh bercucuk tanam dan mendapatkan hasil yang baik untuk menyara hidup keluarga. Ini yang disebut oleh beliau dalam parlimen hingga terbentuknya apa yang dikenali sebagai Akta GSA pada tahun 1960.
Kerajaan-kerajaan negeri diminta memberikan kerjasama membenarkan para peneroka mengusahakan tanah ini, dan setelah habis Bayaran Kembali (BK) maka Felda hendaklah merekomen kepada pihak berkuasa tempatan supaya diberikan geran hak milik kepada para peneroka. (Hingga kini masih ramai peneroka yang belum menerima hak milik walaupun telah berbelas-belas tahun melunaskan BK- malas nak ulas isu ni).
KEKEJAMAN FELDA
Bapa-bapa kami dijemput ke tengah hutan rimba ini untuk menghidupkannya menjadi penempatan manusia dan ladang komoditi yang bakal memberikan keuntungan kepada negara.
Saya masih ingat dalam usia 5 tahun, setiap pagi bapa dikerahkan ke ladang untuk roll-call. Ada yang tidak sempat solat subuh kerana jika tiada waktu rollcall, maka elaun sara hidup (sebenarnya hutang) yang hanya sebanayk RM65-75 itu akan dipotong. Bagaikan buruh paksa mereka diperlakukan. Mereka patuh dan taat. Mereka diperhambakan kerana mereka bukan graduan universiti.
Pengurusan Felda berjanji sekiranya pokok getah yang mereka tanam itu besar kelak, ia akan diserahkan kepada peneroka yang menanamnya. Saya masih ingat bagaimana ratusan pokok yang diusahakan oleh ibu dan bapa saya, akhirnya diberikan kepada orang lain. Saya masih ingat bagaimana ibu saya menangis teresak-esak apabila melihat deretan pokok yang ditanamnya, dijaga, dibaja kini menjadi milik orang lain selepas sukatan dilakukan.
Bapa saya diberikan satu lot getah yang tak ada jalan masuk. Namun wang pengurusan jalan ladang tetap dikenakan kepada bapa saya (tercatat dalam pay sheet). Walaupun hanya RM10 sebulan, tetapi selama 30 tahun dipotong tanpa sebatang jalanpun yang menghubungkan ke ladang bapa saya.Kami terpaksa menelusuri teres getah orang lain untuk sampai ke ladang kami.
PENIPUAN
Setelah pokok getah dan sawit mengeluarkan hasil, peneroka Felda sangat gembira kerana selama ini mereka hanya makan wang sara hidup sahaja. Kegembiraan mereka menyebabkan Felda mengeksploitasinya untuk membuat berbagai-bagai jenis potongan yang tidak difahami oleh mereka sendiri (adakah Felda berbuat begitu kerana bukan graduan universiti?)
Dari wang potongan ini, setiap kali datang hari raya Felda akan mempersembahkan lakonan tetap tahunannya, "FELDA BERI DUIT RAYA KEPADA PENEROKA." Kami adik beradik dengan geram berkata, "Taik kucinglah Felda, duit abah tu. Bukan duit Felda!"
Ya, bapa kami tidak ada ijazah. Tapi bapa kami bukan bodoh. Bukan lembu yang boleh dicucuk hidung. Sekarang ratusan ribu anak peneroka sudah berijazah. Malangnya Felda masih lagi dengan lakonan bodohnya, "Felda bagi duit raya kepada peneroka Felda."
Tak cukup dengan pelbagai jenis potongan, Felda turut mnurunkan gred perahan kelapa sawit ke tahap yang sangat rendah. Kilang swasta biasanya boleh memberikan sehingga 22 dan 24. Tapi kilang Felda hanya memberi 18 dan 19 sahaja. Sedangkan sawit Felda adalah sawit yang berkualiti tinggi, makannya cukup, bajanya berkala, siraman hujan mencukupi hingga makmal mengesahkan ia berkualiti perahan sebanyak 26.
Dianggarkan penipuan nilai greding sekitar 6 angka yang mewakili setiap gred itu bernilai lebih kurang RM30 bagi satu tan. Jika dikurangkan 6 gred, jumlah penipuan Felda bagi setiap tan ialah RM180. Jika peneroka menghantar sejumlah 10 tan kelapa sawit sebulan, maka Felda telah mencuri wang bapa-bapa kami sebanyak RM1,800. Setahun lebih RM20,000.
Bayangkan berapa banyak wang yang sudah dicuri oleh Felda sejak puluhan tahun yang lalu dari 90,511 orang peneroka Felda. Sebab itu di para yang pertama saya katakan saya langsung tak ambil peduli kalau orang nak kata Felda Bankrap atau Felda untung. Kalau untungpun, untung dengan cara haram, dengan cara memeras hasil keringat peneroka yang tidak berijazah.
Ketika membenarkan tuntutan saman peneroka Felda Kemahang 3, hakim Datuk James Wong berkata, "Kamu (Felda) adalah bapa. Sepatutnya kamu tunjukkan perangai yang baik kepada anak-anak kamu. Tapi sekarang kamu sudah menipu anak kamu."
Adakah penipuan ini tidak benar? Adakah Felda kalah bicara hanya kerana seorang dari 7 peguamnya yang hebat-hebat tak hadir sekali dalam tempuh 7 tahun perbicaraan itu. Jika tidak benar, mengapakah sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan memutuskan Felda bersalah menipu dan mengarahkan supaya membayar ganti rugi sebanyak RM 11 juta, tiba-tiba kilang Felda di Jengka serta merta menaikkan griding kepada 20-22? Takut kena saman lagi ke?
Saya difahamkan di gugusan Bera, lebih kurang 1,000 orang peneroka sudah bersiap sedia dengan afidavit masing-masing untuk menyaman Felda di atas penipuan mereka selama ini. Peneroka bukan bodoh lagi. Anak peneroka bukan lembu dan kambing yang dibutakan mata. Kami akan teruskan perjuangan membela nasib bapa-bapa kami yang ditipu oleh Felda hanya kerana bapa-bapa kami tidak berpelajaran tinggi.
Malangnya Felda masih berterusan bertindak bagaikan orang yang langsung tidak berpelajaran. Bila Felda nak dapat ijazah?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan