PAS Sabah Bantah Sekeras-kerasnya Konsert Inul – Pesuruhjaya PAS Sabah
Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarokatuh. Alhamdulillah. bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurniaNya kita masih diberikan peluang untuk terus hidup di muka bumi dan berjuang di atas landasan perjuangan Islam. Berhubung dengan isu Konsert Inul Daratista di Tawau yang akan dijalankan pada 29 Mei 2010. Saya selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah mewakili seluruh jawantankuasa PAS Negeri Sabah membantah sekeras-kerasnya penganjuran konsert ini. Hal ini kerana konsert yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Tawau ini dilihat memberikan impak yang buruk daripada yang baik.
Berhibur tiada salahnya, kerana hiburan itu indah, Tapi apabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah. Konsert Inul yang dicanang-canang ini dengan lengok goyang gerudinya itu sebenarnya memberikan impak yang buruk kepada anak muda kita.
Kita percaya bahawa kebanyakkan penonton yang datang ke konsert tersebut terdiri daripada anak muda yang sebahagian besar mengaku beragama Islam. Dan konsert-konsert ini tidak membangunkan minda dan jiwa. Konsert ini lebih membawa kepada unsur negatif dengan percampuran lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, pembaziran tenaga dan masa. Menjadikan anak-anak muda kita kelihatan liar dan tidak berdisiplin. Ditambah pula dengan kenyataan Inul melalui mstar.com bahawa akan mempertahankan lenggok gerudinya sekiranya dapat mempersembahkan konsert tersebut.
Apakah dengan datangnya Inul menjayakan konsert ini memberikan impak positif kepada rakyat di Tawau. Sudah tentu tidak.
Sebelum ini iaitu pada tahun 2007, konsert yang serupa juga hampir diadakan di Stadium Melawati Shah Alam. Namun konsert itu telah dibatalkan kerana tidak mendapat permit daripada DBKL. Ini juga berlaku kerana pihak berkuasa melihat kesan negatif daripada konsert ini jauh lebih banyak daripada kesan positif. Walaupun kemungkinan akan merancakkan ekonomi kita namun daripada aspek yang lain seperti gejala sosial pasti akan meningkat dek percampuran lelaki dan perempuan.
Dan tidak mustahil akan berlaku gejala penzinaan selepas konsert itu berlangsung. Maka kami telah mengambil beberapa inisiatif untuk membatalkan konsert ini termasuklah mengedarkan risalah tentang keburukan konsert ini kepada masyarakat Tawau. Kami juga berharap agar masyarakat Tawau yang masih menyayangi golongan muda mereka bersama kami atas faktor-faktor yang dinyatakan.
Kami juga akan mengadakan beberapa bantahan melalui memorandum yang akan di hantar kepada pihak yang berwajib seperti Majlis Perbandaran Tawau (MPT). Sebagaimana gagalnya konsert Inul sebelum ini kerana pihak berwajib tidak meluluskan permit, maka kami juga akan membuat bantahan kepada pihak tersebut agar mereka boleh mendengar suara rakyat yang inginkan konsert ini dibatalkan.
Diharap dengan pembatalan konsert ini sekaligus akan menghalang konsert di Keningau dan seterusnya di Kuala Lumpur daripada berlangsung.
Sekali lagi ingin kami tegaskan bahawa PAS NEGERI SABAH membantah sekeras-kerasnya konsert Inul dan berharap agar konsert ini dapat dibatalkan kerana ianya jelas sekali memberikan impak yang negatif kepada masyarakat Tawau khususnya.
Info Konsert Inul Yang Telah Dirancang:
Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau, Sabah pada 28 Mei in.
Padang Kompleks Sukan Keningau, Sabah pada 31 Mei
Grand Lagoon Ballroom, Sunway Hotel Resort & Spa pada 4 Jun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan