Rabu, Mei 05, 2010

Santai : Sempena 1 Mei- Hari Pekerja! Kisah si marhain..

Oleh : Mohd Anuar Tahir
Pengerusi Lajnah Pekerja merangkap ahli jawatankuasa PAS Pusat


Pantun klasik melayu:


Zaman dahulu bertikar pucuk,
Zaman ini bertikar mengkuang,
Zaman dahulu kita dipujuk,
Zaman ini kita dibuang.


Nasib pekerja memang selalunya malang dan di zaman kemerosotan ekonomi dunia ini hidup mereka lebih parah lagi. Kenaikan harga barang, kenaikan kos perkhidmatan, kos pengangkutan, kos kesihatan, kos pendidikan menyebabkan majoriti dari para pekerja terus dilingkari oleh belitan kemiskinan.  Para majikan dan para jutawan tidak banyak yang terjejas, barisan orang-orang kaya di Malaysia tidak pernah bimbang kerana kekayaan yang ada pada mereka senitasa terjamin oleh kerana sistem dan pemerintahan yang ada mahupun dasar dan keutamaan negara sentiasa memihak kepada mereka.


Robert Kuok yang memiliki 10 ribu juta dollar, Ananda Krishnan yang bernilai 7 200 juta dollar, Lee Shin Cheng yang memiliki 5,500 juta dollar, Syed Mokhtar Al-Bukhary yang memiliki 1,800 juta dollar, Azman Hashim yang menguasai aset bernilai 700 juta dollar, atau pun Mokhzani Mahathir yang memilik harta bernilai 285 juta dollar mahupun Nazir Tun Razak yang menguasai 100 juta dollar tentu tidak tertekan seperti Saravanan seorang buruh kasar yang sudah menyimpan wang di bank sebanyak RM 20 000 tiba-tiba hampir putus urat jantungnya apabila secara tiba-tiba anaknya jatuh sakit kronik yang memerlukan pembedahan segera yang mahal harganya.


Saravanan mengumpulkan wang sebanyak itu untuk membeli sebuah rumah kerana telah terlalu lama dia sekadar menyewa kediaman. Semua wang itu tidak mustahil terpaksa dihabiskan untuk pembedahan dan perubatan anak tersayang. Dia dan keluarganya akan terus bernasib malang tanpa harta, tanpa rumah sendiri tempat berteduh. (Azizi Hj. Abdullah, Persatuan Pengguna Pulau Pinang).

Tiada ulasan: