SIRI PERTAMA DARIPADA DUA SIRI
Kini 2008-2010 Tingkayu, Kunak, Sabah ulangan Memali, walaupun 1985 mencatat peristiwa hitam dalam sejarah PDRM? * gambar- tahanan lokap terdiri warga tempatan yang dianggap penjenayah sedangkan.. ------------------------------------------------------------------------------------------
YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
SEJAJAR dengan Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Datuk Seri untuk menjurutera dan memperkasa semula negara ini yang dibina mengikut acuan pemimpin yang rasuah sebelum ini, selaku rakyat Malaysia yang bertindak menurut undang-undang Negara, saya menulis surat terbuka ini untuk perhatian YAB Datuk Seri.
Saya harap, YAB Datuk Seri dapat memberi wajah baru kepada Polis Di Raja Malaysia yang kini telah dibuktikan secara mutlak bahawa ‘Polis Memang Raja di Malaysia?’ Salahguna kuasa, rasuah dan jenayah adalah tiga elemen yang membuatkan Polis Kunak mengulangi sejarah Sultan Mahmud Mangkat Di Julang. Sebelum lebih parah, saya mohon campurtangan YAB Datuk Seri agar dapat meluangkan masa membaca surat terbuka ini dan mengambil tindakan sewajarnya.
Nama saya, Jefferey bin Jinor, 34, berbangsa Kadazan dari Kampung Mikik, Nagapas, Papar. Mykad saya bernombor 750511-12-5669. Saya mempunyai tujuh orang adik beradik dan saya adalah anak yang ketiga dalam keluarga dan mendapat pendidikan sekolah rendah di S.R.K Sacred Heart dan pendidikan menengah di SM La Salle Tanjung Aru.
Selepas tamat sekolah menengah saya melanjutkan pelajaran dengan mengikuti Kursus Asas Ukur Tanah di Sekolah Latihan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dan mendapat kelulusan dalam Peperiksaan Kerajaan Gred J7.
Setelah tamat kursus saya telah bekerja dengan beberapa Syarikat Pembinaan dan melibatkan diri dalam beberapa projek-projek kerajaan seperti Projek Pembinaan Jalan Berungis ke Kota Belud, Projek Pembinaan Lapangan Terbang Tawau, Projek Menaiktaraf Jalan Nabawan ke Sepulut, Projek Pembinaan Jalan Keningau ke Kimanis dan beberapa lagi projek kerajaan.
Sepanjang penglibatan saya di dalam projek-projek kerajaan, saya memegang karier dalam bidang Pengukuran Kejuruteraan dan Pengukuran Kadestra. Syarikat terakhir tempat saya berkerja adalah Syarikat Unisatria Sdn.Bhd sebelum saya mencuba karier sebagai Juru Ukur Bebas (free lance) dan merupakan tujuan utama yang menyebabkan saya datang ke Tingkayu adalah kerana ingin mengetahui perkembangan status pengukuran tanah di kawasan tersebut. Saya diperkenalkan mengenai isu Tanah Tingkayu ini melalui saudara saya yang bernama Laurentius Edward. Katanya penduduk kampung yang terdiri dari para pekebun kecil telah kehilangan hak mereka untuk mendapatkan geran kerana tanah yang telah mereka usahakan telah dituntut oleh Pihak Kedua. Kes ini menjadi semakin rumit apabila muncul Pihak Ketiga menuntut hak terhadap tanah tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa ramai penduduk yang terdiri dari orang tempatan yang telah membuat permohonan dari pihak kerajaan melalui surat kelulusan di bawah Skim Pekebun Kecil Daerah Kunak yang dikhaskan bagi penduduk tempatan. Kawasan yang telah dipohon juga sudah mengeluarkan hasil yang menjadi pendapatan utama bagi penduduk yang mendapat status sebagai Pekebun Kecil melalui Skim ini.
Namun kemunculan Pihak Kedua telah menimbulkan isu yang tidak dapat diselesaikan sehingga kini disebabkan Pihak Kedua ini mempunyai kuasa melalui geran yang telah diluluskan oleh Pihak Kerajaan.
Para Pekebun Kecil mula menghadapi masalah kerana tidak dapat memasuki ke kawasan tanah yang telah mereka usahakan sendiri akibat dihalang oleh samseng-samseng yang terdiri dari pendatang asing yang telah diupah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab; menyebabkan pekebun kecil yang masih memegang status sebagai pemohon dihalang dari memasuki tanah mereka.
Terdapat juga laporan polis yang telah dibuat oleh para pekebun namun tidak ada tindakan susulan yang dibuat oleh pihak polis. Walaupun terdapat Surat Perintah Injuksi Mahkamah yang telah diluluskan Mahkamah Tinggi tetapi surat tersebut tidak berjaya dilaksanakan.perintahnya mengikut arahan yang tertulis dalam surat tersebut kerana pekebun kecil takut diapa-apakan oleh samseng-samseng yang menjaga ‘gate’ keluar masuk ke kebun Tingkayu. Ini membuktikan bahawa terdapat perbuatan melanggar atau mengengkari arahan mahkamah (Contempt of Court).
Oleh kerana ingin menolong dan menegakkan keadilan Laurentius Edward sanggup datang ke Kunak yang jauhnya 500 kilometer dari Kota Kinabalu semata-mata ingin menolong pekebun kecil yang tidak dapat berbuat apa-apa kerana dihalang oleh samseng-samseng yang tinggal di dalam kebun Tingkayu pada waktu itu.
Saya mengambil keputusan mengikuti Laurentius untuk menyaksikan sendiri kebenaran dalam isu ‘Perebutan Tanah di Tingkayu’ ini dan mengkaji sendiri hak-hak yang masih ada pada pekebun kecil yang terlibat dalam usaha mendapatkan hak mereka di atas tanah yang telah mereka usahakan dengan titik peluh sendiri.
Tanggal 21 Ogos 2008, bermulanya episod peristiwa penangkapan 21 orang yang terdiri dari pekebun kecil sendiri dalam usaha mereka untuk mendapatkan hak kebenaran memasuki kebun Tingkayu dengan cara menentang samseng-samseng upahan yang menghalang mereka.
Saya yang mengikuti Laurentius turut ditangkap bersama-sama pekebun kecil dalam usaha memasuki kebun mereka. Namun satu perkara yang mengejutkan saya apabila mendapati pihak berkuasa Polis yang bertindak menangkap kami, sebaliknya membiarkan samseng-samseng yang semakin bermaharajalela di dalam kebun Tingkayu.
Kami semua disumbatkan ke dalam lokap selama seminggu dan dituduh membuat ‘rompakan bersenjata api secara berkumpulan’ yang disiarkan oleh pemberita oleh pihak yang tidak bertanggungjawap di dalam akhbar ‘Daily Express’.
Setelah kami dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Tawau dengan jaminan RM5,000 dan dua orang penjamin setiap seorang. Laurentius tidak berputus asa dalam cubaan membawa pekebun kecil terlibat memasuki kebun Tingkayu beberapa kali dengan berpegang kepada Surat Perintah Injuksi Mahkamah dan ternyata samseng yang terdiri dari pendatang asing tetap mempertahankan ‘hak palsu’ mereka dengan berpegang kepada kuasa pihak yang menjaga atau mengajikan mereka. Pekebun kecil terus dihalang dari memasuki ke kebun mereka sendiri.
Akhirnya setelah pasti dengan bukti halangan yang terjadi di kebun Tingkayu yang dilakukan oleh pendatang asing, Laurentius meminta nasihat dari peguam yang mewakili kami dalam kes ‘penangkapan 21 orang’ iaitu Hj Ansari Abdullah. Beliau tidak mengecewakan kami dengan menghantar seorang wakil, James Valentino Tanggar dari pihak firma guamannya sendiri (Ansari & Co).
Tanggal 12 Febuari 2009, cubaan untuk memasuki kebun Tingkayu dengan kehadiran Valentino bersama-sama pekebun kecil yang berkeyakinan dengan perjuangan Laurentius untuk masuk menegakkan undang-undang berpandukan kepada kuasa Surat Perintah Injuksi Mahkamah; akhirnya membawa kepada tragedi hitam setelah diserang tanpa usul periksa oleh Ketua Samseng, Alimuddin Mohd Ajay bersama dengan kuncu-kuncunya yang sudah lebih awal menunggu kehadiran Laurentius dan para pekebun kecil.
Dalam kejadian serangan tersebut, dua orang pekebun kecil telah cedera termasuk Valentino sendiri yang mendapat luka di tangan dalam cubaannya melindungi salah seorang pekebun kecil yang diserang menggunakan senjata ‘samurai’.
Menurut saksi yang ada di tempat kejadian, menceritakan bahawa Laurentius cuba ditembak oleh salah seorang yang membawa senjata api jenis ‘bakakuk’ tetapi bernasib baik kerana senapang tersebut tidak meletup.
Peristiwa tersebut telah meragut nyawa salah seorang pekebun kecil yang bernama Saipon Kayabo iaitu abang kepada Juara Kayabo yang merupakan salah seorang pekebun kecil yang juga menjadi mangsa kes ‘penangkapan 21 orang pekebun kecil’ oleh pihak polis Kunak.
Semasa kejadian, mangsa terbunuh dalam serangan tersebut kerana terpisah dari kumpulan Laurentius. Saya berada di Hospital Kunak pada masa itu dan melihat sendiri kecederaan Valentino dan dua lagi pekebun kecil yang telah diserang. Kereta yang dinaiki mereka dirosakkan dan ditembak semasa mereka berundur dari tempat .
Peristiwa pembunuhan ini akhirnya memaksa pihak polis Kunak untuk membuat operasi penangkapan di kongsi dan pejabat kebun Tingkayu dan larangan keras dikeluarkan kepada sesiapa sahaja memasuki kebun Tingkayu selama dua minggu untuk memberi laluan kepada pihak Polis Kunak membuat siasatan sebelum para pekebun kecil bebas memasuki kebun mereka. Pembunuh dan Ketua Samseng bernama Alimuddin Mohd Ajay yang selama ini bermaharajalela, akhirnya ditangkap.
Di sini saya ingin bertanya kepada YAB Datuk Seri siapakah yang berjaya melaksanakan perintah injuksi mahkamah yang selama satu tahun gagal dilaksanakan?
Dua minggu selepas kejadian serangan, ‘gate’ kebun Tingkayu telah sedia terbuka kepada pekebun kecil untuk bebas keluar masuk. Sebagai tanda penghargaan Yadum Atihal, selaku ketua kepada 170 pekebun kecil yang lain menawarkan kepada Laurentius untuk menjaga keselamatan.
Tawaran ini secara langsung mewujudkan satu AJK Keselamatan bagi Pekebun Kecil di Kebun Tingkayu dengan pembayaran syer sebanyak 25% daripada hasil yang dikeluarkan oleh pekebun kecil di bawah satu surat perjanjian yang akan menjaga hak kepentingan pekebun kecil sepanjang tempoh Perintah Injuksi tersebut berjalan dan sehingga dikeluarkan perintah yang selanjutnya dari pihak Mahkamah Tinggi.
Laurentius juga tidak melupakan jasa pekebun kecil yang telah tampil bersama-sama beliau dalam usaha memasuki kebun Tingkayu sehingga membawa kepada ‘penangkapan 21 orang pekebun’ dan juga pekebun kecil yang turut menampilkan diri bersama-sama beliau; sehingga membawa kepada peristiwa pembunuhan salah seorang pekebun kecil. Pekebun-pekebun yang dimaksudkan ini diberi keistimewaan terkecuali daripada dikenakan pembayaran yang dimaksudkan.
Setelah Perintah Injuksi Mahkamah berjaya dilaksanakan, saya diminta oleh Laurentius untuk membantunya menyediakan sistem kerja di kongsi Tingkayu yang juga merupakan pejabat bagi AJK Keselamatan agar dapat sentiasa menjaga kepentingan yang harus diberikan kepada pekebun kecil.
Selama saya mengikuti Laurentius serta mendapat maklumat dan cerita tentang permasalahan dan isu mengenai hak-hak penduduk tempatan terutamanya para pekebun kecil; saya sedikit sebanyak memahami hak-hak keistimewaan yang diberikan pihak Kerajaan kepada rakyat terutamanya penduduk tempatan.
Ingin saya tekankan di sini, terutamanya kepada para Pekebun Kecil yang merasa akan kehilangan hak-hak mereka sebagai penduduk tempatan, saya menasihatkan buatlah apa yang perlu dilakukan sesuai dengan status kita sebagai rakyat tempatan.
Apa yang perlu dilakukan oleh para pekebun kecil adalah tindakan susulan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh jabatan kerajaan. Kepada kakitangan kerajaan saya berharap agar mereka dapat membantu penduduk tempatan dari segi sokongan dan khidmat nasihat kepada mereka yang mempunyai inisiatif memajukan kawasan setempat.
Pada 21 November 2009 saya diarahkan oleh Laurentius untuk menyediakan laporan polis mengenai penyelewengan yang dilakukan oleh kontraktor yang telah diamanah-kan oleh pemilik kebun sendiri dan pihak kami.
Pada pagi 22 November 2009 lebih kurang jam 7.30 pagi saya dan rakan saya Kadir Salman telah bersiap untuk ke Balai Polis Kunak.
Tiba-tiba kami didatangi oleh kontraktor ‘dilantik’ iaitu Leong dan Harris menyuruh saya menyediakan satu bil pembayaran komisen untuk pengeluaran buah sawit milik Dukawan. Oleh kerana kerja saya terhad hanya untuk mengawal pengeluaran sawit, saya pun memberi satu laporan pengeluaran buah sawit dalam satu kertas untuk penghujung bulan Oktober 2009 dan menyarankan agar mereka merujuk kepada majikan mereka dan Laurentius dalam soal pembayaran komisen.
Selepas itu saya meneruskan arahan majikan saya untuk ke Balai Polis Kunak membuat laporan yang telah diarahkan. Oleh kerana ketiadaan kenderaan keluar kami hanya sampai ke pekan kunak lebih kurang jam 11 pagi.
Saya hanya dapat membuat laporan di Balai Polis Kunak lebih kurang jam 2 petang kerana terdapat sedikit pembetulan pada laporan tersebut dan saya perbetulkan laporan tersebut di siber berdekatan sambil membuat beberapa salinan repot dan salinan yang lain saya simpan di dalam beg sandang saya.
Setelah selesai membuat laporan, saya telah diberi satu nota kecil oleh pegawai bertugas di kaunter Balai yang bertulis KNK/RPT/2772/09. Oleh kerana kami tidak mempunyai kenderaan kami mengambil keputusan untuk meminta pertolongan seorang kenalan yang bernama Ibrahim dan Hajihil tetapi sebaliknya kami dibawa untuk minum di pusat hiburan berdekatan.
Kami keluar dari pusat hiburan pada lebih kurang jam 9.30 malam. Memandangkan saya dan Kadir tidak mempunyai wang untuk balik ke Kebun Tingkayu, Kadir mengambil keputusan untuk pergi meminta pertolongan dari segi kewangan di rumah seorang kontraktor yang bernama Halik.
Apabila sampai ke rumah Halik, isteri Halik memberitahu bahawa Halik berada di kebun dan kami pun meminta Ibrahim menghantar kami di perhentian bas simpang 4 Kunak dan sebelum Ibrahim beredar dia telah memberikan RM50 kepada kami untuk tambang balik ke Kebun Tingkayu.
Semasa di stesen bas saya telah bertengkar dengan Kadir disebabkan perbelanjaan yang tidak cukup untuk membuat urusan sepanjang hari itu menyebabkan saya beredar meninggalkan Kadir.
Lebih kurang 15 minit setelah saya berjalan meninggalkan Kadir, tiba-tiba sebuah kereta peronda Polis Jabatan Siasatan Jenayah yang dipandu oleh Sarjan Sarakawi menahan saya. Tanpa banyak soal saya menaiki kereta tersebut memandangkan saya tidak mempunyai kenderaan pada waktu itu.
Saya masih ingat pada waktu itu Sarjan Sarakawi berkata “kita pergi ke Balai dulu”. Saya hanya menurut arahannya dengan harapan dia akan membantu menghantar saya balik ke kebun Tingkayu apabila selesai urusannya.
Semasa sampai di Balai Polis saya lihat isteri Halik sedang membuat laporan polis. Kenderaan Ibrahim diperiksa pada waktu itu oleh ASP Tan beserta beberapa anggota polis lain. ASP Tan telah menjumpai sebilah parang ‘slasing’ (parang pemotong rumput) dan sebatang paip besi dalam kereta tersebut. Pada hari tersebut, jam lebih kurang 11 malam saya, Kadir dan Ibrahim dimasukkan ke lokap oleh Pihak Polis Kunak.
Pada keesokan harinya, lebih kurang jam 11 pagi saya, Kadir dan Ibrahim telah menjalani pemeriksaan air kencing oleh Pihak Polis Bahagian Narkotik yang disaksikan oleh Khantan dan dia mengesahkan laporan kami kesemuanya ‘negatif’.
Pada lebih kurang jam 6 petang, Sarjan Sarakawi mengambil laporan dan soal siasat pada saya tentang laporan yang telah saya hantar mengenai pengeluaran buah milik pekebun Pang Fook Ngee (Syarikat Dukawan Sdn.Bhd) yang telah dimasukkan ke dalam penama akaun yang berlainan atau tidak diiktiraf (sila rujuk laporan polis KNK/RPT/2772/09).
Saya telah menerangkan kepada Sarjan Sarakawi bahawa saya adalah salah seorang anggota AJK Keselamatan Skim Pekebun Kecil yang dilantik secara bertulis melalui perjanjian di antara Laurentius dan Yadum Atihal iaitu Ketua bagi 170 Plantif.
Saya juga menyatakan kepada Sarjan Sarakawi tujuan saya membuat laporan polis ini adalah kerana sememangnya ini merupakan tugas kami sebagai AJK Keselamatan yang mengawal keselamatan pekebun kecil dan juga menjaga hak kepentingan para pekebun kecil.
Dalam erti kata lain, kami tidak mahu dituduh memberi laluan kepada orang yang tidak bertanggungjawab mengambil hasil para pekebun yang di bawah jagaan kami dan tindakan susulan adalah di luar bidang kuasa pihak kami.
Untuk pengetahuan YAB Datuk Seri, Yadum merupakan pihak Plaintif yang mewakili 170 Plaintif yang lain dan secara langsung atau tidak langsung menjadi Ketua bagi para pekebun kecil di bawah Skim Pekebun Kecil Tingkayu Kunak dalam kes ‘No.T (21) 4 of 2008’.
Pihak kami dilantik oleh Yadum dan kami berpegang kepada Surat Perintah Injuksi Mahkamah untuk berada di dalam kebun Tingkayu yang selama ini menjadi isu perebutan tanah yang tidak berkesudahan selama ini.
Lebih kurang jam 9 malam, saya selesai memberi keterangan dan Sarjan Sarakawi melepaskan saya tetapi dia meminta saya untuk memberi salinan-salinan bukti bertulis seperti resit buah yang disyaki dicuri, surat lantikan dari Yadum Atihal, buku rekod pengeluaran dan nama-nama Anggota Keselamatan yang dilantik dan saya bersetuju untuk memberikan kerjasama kepadanya.
Pada pagi 24 November 2009, saya, Kadir dan Laurentius pergi ke pusat timbang buah sawit untuk memastikan lagi yang resit-resit penyata masih disimpan di pusat/kilang menimbang buah dan pada jam lebih kurang 3 petang, saya dan Kadir pergi ke Balai Polis Kunak untuk berjumpa dan menyampaikan permintaan Sarjan Sarakawi.
Saya telah menyerahkan semua bukti bertulis yang diminta kecuali buku rekod kenderaan di gate kerana diperlukan hari itu untuk anggota kami membuat kerja-kerja merekod kenderaan keluar masuk dan merekod pengeluaran buah sawit.
Setelah selesai memberi beberapa keterangan, saya terkejut kerana kami tiba-tiba ditahan lagi. Sebelum kami ditangkap, kami sempat menghubungi Laurentius. Kami berkali-kali bertanya kepada Sarjan Sarakawi dan beberapa anggota polis yang lain apakah sebab kami ditahan akan tetapi jawapan yang kami terima ialah “kami hanya menurut arahan pihak atasan.” Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan terus dimasukkan ke dalam lokap.
Lebih kurang jam 11 malam di dalam lokap Balai Polis Kunak, saya sekali lagi terkejut kerana 7 orang rakan kami yang juga bekerja sebagai anggota keselamatan di Kebun Tingkayu dimasukkan ke dalam lokap.
Mereka adalah Mohd Nasir Anifa, Rahim Awang, Komelly Ani, Jumah bin Panut, Amjan bin Asik, Mohd Hassan bin Birikok dan Pardan Singh yang merupakan pakcik kepada Valentino yang menjadi wakil Peguam bagi AJK kami.
Mereka memberitahu saya yang rumah/kongsi tempat kami tinggal di kebun Tingkayu telah diserbu polis. Kesemua ahli anggota keselamatan yang berada di tempat tersebut ditangkap oleh pihak polis Kunak tanpa apa-apa pertuduhan. Dari maklumat yang saya terima, pihak polis mahu menangkap kesemua anggota AJK Keselamatan termasuk ketua kami Laurentius .
Pada 25 Novembar 2009 lebih kurang jam 11 malam, seorang lagi anggota AJK Keselamatan kami ditangkap iaitu Mohd Hashim Birikok. Dari maklumat yang saya dapat daripada Mohd Hashim, dia balik ke kebun Tingkayu dari Lahad Datu kerana mendengar berita tentang serbuan yang dibuat pihak polis Kunak di sana bersama seorang lagi anggota kami yang bernama Bahar Nahir.
Apabila sampai di sana, mereka meneruskan kerja menjaga gate dan merekod keluar masuk lori yang membawa sawit seperti biasa. Lebih kurang jam 6 petang, tiba-tiba ASP Tan datang ke rumah kongsi.
Menurut Mohd Hashim dia terus memperkenalkan dirinya dan ASP Tan mengarahkannya untuk ikut ke Balai Polis Kunak. Menurut Mohd Hashim, Bahar telah melarikan diri kerana takut ditangkap disebabkan jaminan Pasnya telah tamat tempoh.
Pada 26 November 2009, sekali lagi saya beserta semua anggota AJK Keselamatan telah diarahkan untuk dibuat pemeriksaan air kencing oleh Pihak Polis Bahagian Narkotik yang disaksikan oleh ASP Tan sendiri.
Keputusannya kami kesemuanya ‘negatif’ dari mengambil dadah. Pada waktu itu ASP Tan sempat menunding jarinya kepada saya dan berkata “haa…yang ini adalah penjenayah.” Saya terfikir mungkin dia telah menyiasat rekod saya dan mendapati nama saya tersenarai dalam penangkapan 21 orang di kebun Tingkayu pada 21 Ogos 2008 yang lalu.
Pada 27 November 2009, kami tertanya-tanya apakah pertuduhan yang dikenakan ke atas kami kerana tiada sebutan reman dibuat oleh Majistret Kelas II Daerah Kunak. Kami telah dibawa untuk melalui kawat cam. Apabila melalui kawat cam, orang-orang yang membuat pengecaman pada waktu itu adalah terdiri dari orang-orang yang saya kenali seperti Lee, Pengurus kepada Syarikat Dukawan Sdn.Bhd; Leong, Kontraktor Syarikat Dukawan Sdn.Bhd dan salah seorang pemandu lori yang bekerja untuk Syarikat Dukawan Sdn.Bhd.
Kesemua mereka mengecam dan menunjuk saya. Pada waktu itu saya langsung tidak tahu pengecaman yang dibuat hari itu atas siasatan kes apa kerana belum ada apa-apa pertuduhan dibaca kepada kami.
Pada 28 November 2009, saya dibawa ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), untuk tujuan kawat cam ke atas saya semula. Orang yang membuat pengecaman pada hari itu adalah Isteri Abdul Halik dan anaknya. Isteri Abdul Halik telah mengecam dan menunjuk saya tetapi anaknya tidak mengecam atau menunjuk saya.
Sepanjang tempoh satu minggu ditahan, kami tidak pernah dihadapkan pada Majistret Kelas II Daerah Kunak, Susilo Sumarto untuk Perintah Tahanan Reman dan kami menganggap penahanan tersebut sebagai tidak sah dan mencabul Perlembagaan Persekutuan.
Selepas satu minggu barulah kami tahu bahawa polis bertindak secara membabi buta selepas menerima laporan yang dibuat oleh Harris melalui KNK/RPT/2803/09; Ah Leong melalui KNK/RPT/2804/09 dan Lee melalui KNK/RPT/2805/09 di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan namun bebas atas jaminan sendiri.
Kami bersyukur kerana dibebaskan namun selepas gari kami dibuka di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, kami digari semula dalam masa tidak sampai satu minit selepas kami dibebaskan.
Anehnya kami ditahan ketika itu untuk siasatan menurut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana dituduh menahan lori Haji Aziman melalui laporan polis KNK/RPT/1478/09 yang dibuat lima bulan yang lalu.
Pada 1 Disember 2009, kami dibacakan reman di hadapan Majistret Kelas II, Susilo Sumarto dan ditambah reman selama 4 hari. Kami merayu kepada pihak polis agar mempercepatkan siasatan namun pihak polis mengatakan kami perlu menunggu sehingga Haji Asiman sampai ke Kunak kerana dia masih berada di Kota Kinabalu.
Pada 3 Disember 2009, seorang rakan yang bernama Richard Mekulis telah ditangkap setelah cuba untuk datang ke Balai Polis Kunak untuk melihat keadaan kami dan melihat status sama ada kami boleh dijamin di Balai Polis Kunak.
Namun beliau sendiri telah ditangkap dan ini betul-betul menimbulkan persoalan. Pada waktu itu, saya merasakan kehilangan hak-hak saya sebagai seorang ‘Warganegara Malaysia’ untuk bercakap bagi mempertahankan diri saya.
BERSAMBUNG KE EPISOD KEDUA
------------------------------- yusz felda : kasihan kita ya rakyat Malaysia.. dibodohkan oleh undang-undang yang tiada kuasa.. siapa berani, dia berkuasa buat.. DS Anwar Ibrahim pun tak kena macam kes ni.. tangkap lepas, tangkap lepas,.,. saya tengok tangkapan dan tahanan dalam lokap dibuat sesuka hati sahaja oleh pihak polis macam ada rasa dengki dan dendam pula... siapa sebenarnya di sebalik kisah ini??? Biarlah wahai warga Tingkayu, niat sahaja kerana Allah mempertahankan keadilan.. mati pun ada kenikmatan di sisi Allah.. :) insya allah.. saya rasa Sabah akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat jika darah dan semangat rakyat Sabah mula mendidih marah dengan kezaliman ... Ayuh, sokong Pakatan Rakyat! |