Ahad, Oktober 11, 2009

ILMU GEMPA BUMI, Mesti Faham!

69 gempa kecil sejak 2000




Malaysia mempunyai tiga boya laut dalam bagi mengesan amaran awal tsunami.

SETIAP kali berlaku gempa bumi termasuk yang mengakibatkan tsunami, Malaysia pasti merasainya gegarannya, bahkan ketika tsunami melanda 2004, utara Semenanjung iaitu Langkawi, Kuala Muda, Kedah dan Pulau Pinang turut terkena musibah dilanda ombak besar.

Sekali pun Malaysia dikatakan masih selamat kerana berada di luar 'Lingkaran Api Pasifik', sebenarnya masih berlaku gempa bumi di negara ini tetapi dikategorikan sebagai lemah dan sederhana tidak mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

Hakikatnya, berdasarkan rekod dari 2000 hingga Mei 2009, sebanyak 69 kali gempa bumi dilaporkan berlaku di Malaysia iaitu masing-masing 31 kali di Semenanjung dan Sabah, manakala tujuh lagi di Sarawak.


Bagi kes gempa bumi di luar Malaysia dan gegarannya dirasai di sini ialah sebanyak 35 kes iaitu 31 kali di Semenanjung dan empat kali di Sabah. Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) berpendapat, secara relatifnya, Semenanjung adalah stabil dari segi seismotektonik.

Timbalan Ketua Pengarah (Aplikasi), JMM, Alui Bahari, berkata gegaran gempa bumi yang dirasai di negeri pantai barat Semenanjung berpunca daripada gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat sama ada di barat Sumatera atau Laut Andaman.

“Semenanjung dikategorikan sebagai berisiko gempa bumi rendah. Kes gempa bumi di Bukit Tinggi, Pahang (tempoh 30 November 2007 hingga Mei 2008) boleh disifatkan sebagai kes terpencil.

Alui menunjukkan sistem data terkini yang dianalisis di bilik operasi Jabatan Meteorologi.

“Keadaan agak berisiko di Sarawak dan Sabah kerana kedua-duanya termasuk dalam kawasan berisiko gempa bumi sederhana. Di Sarawak, kekerapannya ialah sekali bagi setiap 6 hingga 7 tahun tetapi di Sabah, ia berlaku sekali dalam setahun.


“Ini kerana ada beberapa garis sesar yang aktif di Sabah, antaranya ialah Garis Sesar Mensaban, Garis Sesar Crocker, Garis Sesar Tabin dan Garis Sesar Lobou Lobou,” katanya.

Bagi siri gempa kecil yang pernah berlaku di Bukit Tinggi, ia dipercayai kesan susulan daripada gempa bumi kuat yang berlaku pada 26 Disember 2004 yang menghasilkan bencana tsunami rentas sempadan.

Garis sesar yang terdapat di Bukit Tinggi sebelum ini dikategorikan sebagai garis sesar tidak aktif. Sehubungan itu, hanya gempa bumi bermagnitud kecil saja berpotensi berlaku di garisan sesar ini. Ia dipengaruhi oleh tekanan tektonik hasil pergerakan kerak bumi menyebabkan berlakunya pengumpulan tenaga.

“Apabila sampai ke tahap tertentu, tenaga itu dilepaskan sebagai gempa bumi kecil, tetapi gegarannya hanya dirasai di sekitar pusat gempa itu,” katanya.

Mengenai ramalan dan kajian risiko gempa bumi, Alui berkata, sehingga kini, saintis tidak dapat meramalkan waktu dan lokasi kejadian termasuk kekuatan gempa bumi.


Setakat ini, tiada isyarat awal untuk menjangkakan akan berlaku gempa kerana fenomena gempa semula jadi berlaku dengan kekuatan berbeza-beza di kawasan garis sesar aktif.

“Sesetengah gempa bumi terutama bermagnitud kecil tidak dirasai manusia, cuma dapat dikesan oleh sensor seismik. Bagi gempa bumi kuat, ia boleh mengakibatkan kerosakan teruk dan jika berlaku di dasar laut ia boleh menghasilkan tsunami,” katanya.

Sistem Amaran Awal Tsunami

BERIKUTAN tsunami di Lautan Hindi pada 26 Disember 2004, Malaysia membangunkan Sistem Amaran Awal Tsunami National Malaysia (SAATNM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Jabatan Meteorologi Malaysia bertindak sebagai agensi pelaksana.

Sistem ini dibangunkan pada 2005 dan siap beroperasi pada 2006. Ia terdiri daripada tiga komponen utama iaitu, komponen pengumpulan data dan maklumat, komponen pemprosesan dan komponen penyebaran membolehkan JMM mengeluarkan amaran awal kepada penduduk.

JMM juga memperluaskan rangkaian pemantauan dan meningkatkan keupayaan sistem sedia ada bagi membolehkan amaran awal dikeluarkan lebih tepat dalam tempoh masa berkesan menggunakan teknologi komunikasi terkini.

Sistem ini mampu menganalisis dan mengeluarkan maklumat gempa bumi dalam masa 15 minit kepada media dan orang awam selepas kejadian sesuatu gempa.

INFO: Kategori gempa bumi (ukuran skala Richter)


Lemah: Kurang 5.0 skala Richter
Sederhana: 5 hingga 5.9 skala Richter
Kuat: Lebih 6.0 Skala Richter

Kejadian gempa bumi di Malaysia:

1) Manjong, Perak pada 29 April 2009.
Gempa bumi lemah berskala 2.8 Skala Richter dan peta geologi menunjukkan tiada garis sesar yang wujud berhampiran pusat episenter gempa bumi itu. Hanya penduduk Manjong merasai gegaran.

2) Jerantut, Pahang pada 27 Mac 2009
Berlaku pada magnitud 3.2 skala Richter. Pusat episenter gempa bumi ini terletak kira-kira 30 hingga 35 km dari Garis Sesar Lepar. Kesannya turut dirasai di sekitar Jerantut iaitu Felda Sungai Tekam Resort, Sungai Tekam Utara, Sungai Tekam Getah, Gugusan Felda Gelanggi, Kota Gelanggi dan Felda Wilayah Jengka.

3) Ranau, Sabah pada 1991.
Gempa bumi bermagnitud 5.1 skala Richter merosakkan struktur bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang. Punca kerosakan dikenal pasti akibat gempa bumi kerana kedudukan sekolah itu terletak di atas zon Garis Sesar Mensaban.


Rangkaian pemantauan dan pencerapan tsunami.

  • Rangkaian stesen seismik tempatan (17 Stesen)

  • Rangkaian stesen tolok pasang surut (6 sedia ada dan 15 stesen baru dijangka siap hujung 2009).

  • Rangkaian boya laut dalam (2 boya sedia ada dan tambahan 1)

  • Rangkaian kamera pantai (4 kamera sedia ada dan 14 kamera baru dijangka siap hujung 2009).

  • Stesen rangkaian seismik dan tolok pasang surut antarabangsa.
  • Tiada ulasan: