sumber
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim hari ini menafikan dakwaan beliau terlibat dalam kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.
"Saya menafikan sebarang dakwaan tersebut sama ada yang berkaitan tuduhan memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, "tuduhan liar yang ditujukan terhadap dirinya, susulan laporan blog dan parti-parti politik pembangkang di akhir-akhir ini adalah longgokan fitnah dan pendustaan yang dahsyat, jelek dan jahat."
"Saya menyatakan dengan kerelaan bahawa apa-apa laporan yang diperbuat oleh mana-mana pihak setakat ini berkaitan perkara ini wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara," katanya.
Menurut Rais, beliau dan anggota keluarganya bersedia memberi sepenuh kerjasama dalam siastan itu dan apa-apa keputusan siasatan rasmi itu akan diterima dan dipatuhi.
Beliau berkata "sementara siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa, demi keadilan dan kemanusiaan, pihak-pihak yang rakus mengamalkan politik kotor melalui internet atau media lain diminta menghentikan sebarang spekulasi, cemuhan atau berbuat sesuatu yang mencabul budaya berpekerti baik."
"Semua tulisan, laporan, picisan, spekulasi termasuk ilustrasi foto atau gambar yang disiarkan di bawah mana-mana pojok blog, laman web di internet setakat ini berkaitan dakwaan salahlaku atau jenayah memperkosa mana-mana individu sedemikian adalah bertujuan jelek, berniat jahat dan memfitnah secara fabrikasi atau rekaan tanpa lunas sahih di sisi undang-undang," katanya.
Rais berkata, perkara berkenaan adalah mainan politik jahat dan kotor yang sengaja digembar-gemburkan bagi tujuan memperolehi dividen politik pembangkang.
Tambah ahli parlimen Jelebu itu, laporan polis oleh PAS dan sekutunya di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan pada Selasa lalu susulan pendedahan blogger itu adalah bukti bahawa dakwaan tersebut bermotifkan politik kotor dengan tujuan supaya rakyat di Jelebu memihak kepada pembangkang sedangkan mereka tiada kesahihan hak untuk membuat laporan sedemikian dari sudut perundangan.
"Dakwaan pemerkosaan seperti yang dikarang penulis blog tiada kaitan langsung dengan dedahan yang kononnya dipanggil Wikileaks." katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan