Rabu, Januari 12, 2011

100 hari pembangkang populis? SIAPA YANG POPULIS NI?

sumber
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/01/11

NAJIB berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.
NAJIB berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.
Kita tidak boleh gadai masa depan negara... hingga anak cucu merana: Najib
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak membidas sikap tidak bertanggungjawab pembangkang yang menggula-gulakan rakyat dengan janji kononnya akan membawa pelbagai perubahan dalam tempoh 100 hari jika menang pilihan raya umum akan datang. 

Perdana Menteri berkata, janji Program 100 Hari diumumkan bulan lalu itu adalah tindakan populis atau mencari populariti serta tidak berpaksi kepada realiti kerana tidak menyatakan punca kewangan bagi membiayai semua program yang dijanjikan.

“Kita tidak boleh mengambil sikap terlalu populis sehingga menggadaikan masa depan negara. Kita tidak boleh tidak bertanggungjawab sama sekali sehingga anak dan cucu kita merana nanti.

“Sebagai kerajaan bertanggungjawab, kita tidak akan membuat janji yang tidak boleh ditunaikan dan ini amat bertentangan dengan Program 100 Hari yang dibentangkan pembangkang. Malah, ia tidak ada pembentangan dari segi punca kewangannya dan berdasarkan perkiraan, dalam masa dua tahun, negara kita akan menjadi seperti Greece (mengalami krisis kewangan) kerana segala janji dilaksanakan tanpa mengambil kira kemampuan negara.

“Jadi, janganlah kita menjadi seperti menang sorak, kampung tergadai,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.


Sambil meminta penjawat awam menilai janji berkenaan, Perdana Menteri berkata, kerajaan yang bertanggungjawab hanya akan membuat janji yang boleh ditunaikan selepas mengambil kira kemampuan negara, selain memastikan ia tidak menggadai masa depan rakyat.

Baru-baru ini, pakatan pembangkang dalam konvensyennya mengemukakan Program 100 Hari yang mengandungi sembilan perkara yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pilihan raya umum akan datang.

Antaranya, mengarahkan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol serta merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

Selain itu, pembangkang berjanji menaikkan imbuhan guru sebanyak RM500 sebulan dan melupuskan FELDA Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga FELDA.

Sementara itu, Perdana Menteri mahu penjawat awam meningkatkan momentum dalam melaksanakan agenda dan dasar utama negara, berikutan kejayaan cemerlang negara sepanjang tahun lalu.

Katanya, antara kejayaan termasuk mengatasi kesan buruk krisis global dengan pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi dan pembentangan pelbagai agenda utama negara seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Model Baru Ekonomi (MBE), Rancangan Malaysia Ke-10 RMKe-10) dan Bajet 2011.

“Pembentangan agenda utama kerajaan mendapat sambutan memberangsangkan dan reaksi positif pelbagai pihak, termasuk nilai Bursa Malaysia yang berada paras tertinggi dalam sejarah Malaysia.

“Jadi, penjawat awam perlu memainkan peranan kerana ia kumpulan penting dalam kerajaan, iaitu dengan memastikan segala perancangan dilaksanakan mengikut tatacara dan peraturan ditetapkan serta sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Najib juga menjelaskan untuk mencapai kejayaan seperti dirancang, antara syaratnya ialah mewujudkan institusi perkhidmatan awam yang mampu mendokong dan melaksanakan tugas dengan tegas serta betul mengikut jadual ditetapkan.


Tiada ulasan: