Isnin, Januari 31, 2011

BN menang besar DI TENANG??? BESAR DAN MODAL JUGA BESAR? BN TAWAN 2 KAWASAN MAJORITI CINA..

SUMBER


MUHYIDDIN Yassin mengangkat tangan Mohd. Azahar Ibrahim setelah diumumkan sebagai pemenang kerusi DUN Tenang di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, malam tadi. - Utusan/ISHAK RAHMAD


LABIS 30 Jan. - Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan majoriti lebih besar menerusi calonnya, Mohd. Azahar Ibrahim yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini.

Mohd. Azahar menang dengan majoriti 3,707 undi selepas mendapat 6,699 undi untuk mengalahkan calon Pas, Normala Sudirman yang hanya memperoleh 2,992 undi. Sebanyak 142 undi rosak.

Majoriti itu meningkat 1,243 undi berbanding 2,492 undi yang diperoleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008.

BN juga menawan semula dua kawasan majoriti Cina iaitu di Bandar Labis Timur dan Labis. Bandar Labis Tengah masih memihak kepada pembangkang.

Bagi peti undi Bandar Labis Timur, BN mendapat 669 undi dan Pas pula 632 manakala di Labis BN memperoleh 380 undi dan Pas 337 undi. Bandar Labis Tengah BN mendapat 365 undi dan Pas 851.

Kemenangan calon BN itu diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya DUN Tenang, Md. Asri Amir di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini, pukul 10.02 malam ini.
Menurut Md. Asri, sebanyak 67 peratus daripada keseluruhan 14,753 pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Tenang ini.

"Maka, saya dengan ini mengisytiharkan calon BN, Mohd. Azahar Ibrahim sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan DUN Tenang," katanya.

Peratusan keluar mengundi hari ini rendah disebabkan hujan lebat yang tidak henti-henti di seluruh kawasan DUN Tenang sejak awal pagi hingga tamat tempoh mengundi pukul 5 petang.

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis pada 17 Disember tahun lalu.

Pada PRU12, Allahyarham mendapat 6,367 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran yang memperoleh 3,875 undi.


Menurutnya, beliau akan memikul amanah itu dengan sebaik-baiknya bagi meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.
Mohd. Azahar juga akan berusaha memastikan setiap janji yang dibuat sepanjang kempen pilihan raya kecil ini ditunaikan secepat mungkin.

"Terima kasih kepada semua yang mengundi saya dan juga kepada jentera BN yang bekerja keras siang dan malam. Insya-Allah saya akan berkhidmat sebaik mungkin sebagai wakil rakyat di DUN Tenang.

"Tugasan pertama saya adalah untuk menyelesaikan masalah banjir," katanya.

Tiada ulasan: