Isnin, Januari 17, 2011

DUN TENANG: Bekas guru calon Pas (UTUSAN MALAYSIA)

 * CIKGU MALA- KURUNG @ SELENDANG HIJAU

 

SUMBER

LABIS 16 Jan. - Ketua Dewan Muslimat Pas Labis, Normala Sudirman diumumkan sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang akan diadakan pada 30 Januari ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dataran Wayang Pacak, Markas Pas Labis di Jalan Labis-Segamat di sini malam ini. 

Berkelulusan diploma perguruan dari Maktab Perguruan Tuanku Bainun, Normala, 38, sebelum ini disebut-sebut bakal menjadi calon Pas setelah meletakkan jawatan sebagai guru secara 24 jam pada bulan lepas. 

Normala yang menjawat jawatan Ketua Muslimat Labis sejak 2000 sebelum ini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan LKTP Kemelah, dekat sini yang mana beliau turut pernah bersekolah di situ.

Ini adalah kali pertama Normala, anak kelahiran Serom 3, Muar dan ibu kepada tiga cahaya mata itu diberi peluang mewakili Pas pada pilihan raya.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir pada majlis pengumuman malam ini ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah pada 17 Disember lalu.

Dalam ucapan ringkasnya, Normala merayu pengundi di DUN Tenang memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

"Selaku calon yang mewakili Muslimat Pas, saya dengan rasa rendah diri dan terharu memohon agar pengundi menyokong Pas untuk bersama-sama melakukan perubahan,'' ujarnya.

SUMBER BERITA HARIAN

Tiada ulasan: