Selasa, Januari 04, 2011

Kes saman Felda RM20 juta dibicara 22 Mac



sumber
Khairil Abdul Rahim   

TEMERLOH, 4 Jan: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan perbicaraan kes saman malu Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman berjumlah RM20 juta pada 22 Mac 2011.

Peguam yang mewakili Mazlan, Wan Rohimi Wan Daud berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Temerloh, Siti Hajar Mustafa menetapkan demikian selepas meneliti dokumen peguam kedua-dua pihak plaintif dan defendan.

Pada 16 Ogos lalu Mazlan selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah Klau Awang Sulong, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia.


Menurut fakta kes, pada 9 Mac lalu kira-kira jam 4.15 Mazlan ketika memenuhi satu undangan dialog dan perbincangan dengan peneroka berkaitan dengan masalah-masalah dialami mereka di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa, telah dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda yang bersenjata dan diugut secara biadab oleh pegawai-pegawai Felda.

Hamidun merupakan peneroka yang telah melangsaikan semua hutang dengan Felda dan telah mendapat hak milik tanah kediaman dan ladang.

Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun terdapat satu lagi laporan oleh pengurus rancangan Felda Lembah Klau yang menyebabkan beliau kemudiannya ditahan, direman dan terpaksa merengkok selama dua hari di lokap IPD tersebut.

Dalam pada itu, Wan Rohimi berkata Siti Hajar merupakan majistret yang telah mengeluarkan reman kepada Mazlan ketika beliau merengkok di lokap IPD Raub dahulu.

Wan Rohimi berkata, beliau menganggap kes saman yang dikemukakan ini sangat penting dan keputusannya akan menjadi indikator kepada pemisahan antara kuasa Felda dan kuasa peneroka.

Saya lihat Felda amat memberi tumpuan kepada kes ini berdasarkan tiga peguam kanan persekutuan yang mewakili defendan kerana mereka amat menyedari implikasi kepada kes ini.

“Keputusan kes ini dengan sendirinya akan menjelaskan had-had kuasa antara Felda dengan peneroka yang telah melunaskan hutang piutangnya dengan agensi tersebut,” katanya.

Turut mengiringi Mazlan ke mahkamah Tinggi temerloh hari ini ialah Penasihat Undang-Undang PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Naib Presiden Anak Aris Fezul Ismail, Setiausaha PAS Pahang Hashim Abdullah dan kira-kira 30 penyokong.

Tiada ulasan: