Khamis, Januari 06, 2011

Janin dalam tong sampah DI KK!! BAYI DALAM BEG GALAS DI KL!! TAK HABIS-HABIS LAGIIIII...



 * SEKADAR HIASAN & PENGAJARAN. AL-FATIHAH BUAT ARWAH MEREKA!

SUMBER

Janin dalam tong sampah

KOTA KINABALU 4 Jan. - Seorang wanita terkejut apabila menemui satu janin bayi yang dibuang di tempat pembuangan sampah di Pusat Komersial Salut dekat sini hari ini.
Janin yang masih berdarah itu ditemui wanita tersebut yang kebetulan pergi membuang sampah di kawasan berkenaan.
Lebih menyayat hati, janin itu dibungkus dalam plastik yang agak kecil sebelum ia dicampak ke dalam tong sampah.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Peter Umbuas berkata, janin berkenaan ditemui oleh wanita terbabit kira-kira pukul 8 pagi ini.
"Wanita berkenaan kemudian segera menghubungi pihak polis memaklumkan penemuan janin tersebut.
"Polis percaya janin berkenaan baru berusia kira-kira enam bulan, malah jantina janin itu belum dapat disahkan," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, polis membawa janin berkenaan ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan cuba membuang bayi.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pihak polis.
Selain itu, katanya, pihak hospital atau klinik swasta yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran.
--------------------------------
SUMBER

Dua sahabat terkejut jumpa bayi dalam beg galas

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Dua sahabat yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja terkejut menemui bayi lelaki masih hidup di dalam beg galas di hadapan pagar sebuah sekolah rendah di Persiaran Titiwangsa, di sini hari ini.

Bayi malang dipercayai berusia enam hari itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana hampir lemas akibat dimasukkan ke dalam beg galas berwarna hitam dalam keadaan tertutup.

Difahamkan, bayi terbabit telah ditinggalkan di hadapan pagar sekolah tersebut kira-kira sejam sebelum ditemui pada pukul 1.30 tengah hari.

Salah seorang wanita yang menemui bayi terbabit, Norabiatul Adawiyah Yunus, 23, berkata, dia bersama rakannya, Nizul Ahmad, 21, terserempak dengan sebuah beg ditinggalkan di bawah pokok di hadapan pagar sekolah berkenaan.

"Curiga melihat beg tersebut, saya meminta Nizul membuka untuk memeriksa.
"Sebaik sahaja dibuka, kami dapati ada satu bungkusan tuala putih di dalamnya lalu kami meletakkannya semula," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Norabiatul berkata, mereka berdua bagaimanapun terkejut apabila mendengar suara bayi menangis sebaik sahaja meletakkan beg tersebut.

Mendengar tangisan itu, katanya, mereka berdua segera membuka semula beg tersebut untuk memeriksanya dan terperanjat mendapati balutan kain putih terbabit mengandungi bayi lelaki cukup sifat.
Menurut Norabiatul, mereka kemudian cuba meminta orang awam yang melalui tempat kejadian mendapatkan bantuan namun tiada yang sudi menghulurkan pertolongan.

"Kami bagaimanapun bernasib baik apabila pada masa sama kebetulan ada sebuah kereta polis melalui kawasan tersebut.
"Kami segera memaklumkan penemuan bayi itu kepada anggota polis terbabit yang kemudian menghubungi ambulans untuk membawa bayi berkenaan ke HKL," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi hari ini mengesahkan penemuan bayi tersebut.

Beliau berkata, keadaan bayi tersebut kini stabil dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi berkenaan.

Tiada ulasan: