Sabtu, Ogos 07, 2010

45 peserta Ramadhan di Gaza berlepas malam ini! Doakan!

harakahdaily.net
6/8/10

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Seramai 45 peserta misi konvoi Ramadhan di Gaza (Radig) akan berlepas malam ini ke Kaherah, sebelum memasuki Gaza pada 9 Ogos ini.

Misi kemanusiaan ini adalah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Menurut ketua delegasi Radig, Mohd Azmi Abdul Hamid yang juga setiausaha Mapim, kesemua peserta Radig dijangka berada di Gaza selama seminggu, sebelum kembali ke Malaysia pada 18 Ogos.

"Malam ini kita berlepas dari KLIA dan transit di Amman sebelum sampai di Kaherah esok pagi. 8 haribulan pagi kita bertolak dengan menaiki empat buah van ke Arish yang mengambil masa enam jam perjalanan.

"9 haribulan pagi, kita akan bertolak ke Rafah dan masuk ke Gaza pada tengahari," katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Azmi memberitahu, seramai lapan wanita turut menyertai Radig termasuk ahli Parlimen Ampang dari PKR, Zuraida Kamarudin.

Peserta termuda merupakan remaja lelaki 14 tahun, dan yang peserta paling tua berusia 66 tahun.

Keseluruhan peserta katanya terdiri daripada bekas Pengerusi Persatuan Ulama  Malaysia, Ghani Shamsuddin, ahli politik, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan beberapa wakil media.

Tiada ulasan: