Bendera tekad terus perjuangan
KUALA LUMPUR 27 Ogos – Keadaan di bandar raya Jakarta hari ini tenang tanpa sebarang kejadian demonstrasi anti-Malaysia, namun sebuah pertubuhan negara itu berazam meneruskan ‘perjuangan’ mereka.Koordinator Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera), Mustar Bona Ventura Manurung menyatakan, pertubuhan itu yang terlibat dalam tunjuk perasaan di Kedutaan Malaysia di Jakarta baru-baru ini tidak akan berhenti melakukan protes terhadap Malaysia.
“Kami tidak akan berhenti protes di Kedutaan Malaysia. Malah akan melancarkan siri protes baru dan lebih besar di kepentingan-kepentingan perniagaan Malaysia seperti premis Petronas, Maybank dan CIMB yang ada di sini (Indonesia).”
Katanya, perbuatan sebegitu perlu dilakukan oleh kumpulan-kumpulan seperti Bendera memandangkan kerajaan Indonesia lemah dan sering tunduk kepada ‘tekanan’ diplomasi dengan Malaysia.
“Kami mahu kerajaan Indonesia pastikan Malaysia memohon maaf kepada seluruh warga Indonesia kerana banyak mencuri tradisi dan harta kami serta mendera warga kerja Indonesia di sana.
“Setelah habis kayu-kayu balak di Maluku dijadikan bangunan di Kuala Lumpur, tarian Pendet dikatakan milik Malaysia, kini penguat kuasa Indonesia pula ditahan polis Malaysia, ia perlu dihentikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan