Isnin, Ogos 16, 2010

Rasai keunikan solat Jumaat di hotel De Palma! Hotel Islamik di bawah Kerajaan PR?


Harakahdaily   
AMPANG, 14 Ogos: Sempena Ramadhan tahun ini, kumpulan hotel De Palma mahu memperkukuhkan lagi usahanya untuk menjadi rangkaian hotel yang memenuhi syariat Islam atau syariah compliant.

Untuk itu, pelbagai usaha telah dibuat sejak Oktober tahun 2008 lalu apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mula membenarkannya mengadakan solat Jumaat di suraunya.


(Gambar: Surau Nurul Hikmah hotel De Palma, Ampang, penuh sesak setiap kali Jumaat)

Ketika Harakahdaily berkunjung ke hotel itu tengahari semalam, hampir 2,000 umat Islam bersesak-sesak memasuki hotel itu bagi menunaikan solat Jumaat.

Surau yang bersebelahan dengan kolam renang itu melimpah ruah hingga kolam untuk kanak-kanak di tutup dan di pasang khemah di atasnya untuk memenuhi keperluan untuk solat Jumaat itu.

Ia satu fenomena yang sangat menarik yang melanggar trend atau kebiasaan sebuah hotel yang sifatnya adalah eksklusif.

Kini, hotel De Palma Ampang telah menjadi semacam hotel rakyat apabila umat Islam dari pelbagai jenis dan latarbelakang memasuki hotel itu.

Ada yang berpakaian kemas ala petugas pejabat, berjubah ala pakaian Arab bahkan juga yang selekeh seperti pekerja warga asing yang datang untuk bersembahyang Jumaat di surau Nurul Hikmah hotel itu.

Semuanya bermula seminggu selepas hari raya Aidil Fitri iaitu bulan Ogos 2008 lalu.


(Gambar: Umat Islam dari pelbagai latar belakang bersolat Jumaat di hotel De Palma, Ampang)

"Sebenarnya perubahan ini bermula apabila Group GM (Pengurus Besar Kumpulan) kami, Datuk Haji Mohd Ilyas, balik dari Mekah. Dia melahirkan cita-cita untuk menjadikan hotel kami memenuhi syariat Islam," kata Zamir Shukri Zain, Pengurus Bahagian Bilik hotel De Palma, Ampang ketika ditemui.

Buat permulaan, kata beliau, ia tidak mendapat kelulusan dari pihak atasan namun selepas kerajaan Selangor bertukar tangan pada tahun 2008 lalu, hasrat murni itu mendapat sokongan.

Tiada ulasan: