Sabtu, Ogos 14, 2010

Felda berdepan dengan usaha peneroka untuk menyaman.. lagi dan lagi.. PENEROKA TIDAK BERSYUKUR???

Felda bakal berdepan lebih banyak saman
Jimadie Shah Othman
Ogos 13, 10
1:05pm
Kongsi 0


Selepas disaman lebih 700 peneroka pada Isnin lepas, Felda bakal berdepan lebih banyak lagi tindakan undang-undang daripada peneroka di seluruh negara, kata Pengerusi Biro Felda PKR Suhaimi Said (kanan).

Katanya, jumlah peneroka yang akan tampil kali ini dijangka mencecah angka ribuan, terutamanya daripada rancangan Felda daripada Johor dan Pahang.

"Mereka (peneroka) sudah lama sedar (berlaku penipuan). Tetapi mereka tak ada punca hendak bawa kes. Ada yang sudah buat laporan polis sejak 10 tahun lepas lagi," kata Suhaimi.

"Tetapi waktu itu mereka tak tahu siapa boleh bantu. Lepas ini, banyak lagi akan tampil menyaman Felda. Di Pahang saja kita jangkakan sekurang-kurangnya 4,000 peneroka akan terlibat.
Isnin lalu, seramai 766 peneroka Felda Serting Hilir dan Gugusan Raja Alias (kiri), Negeri Sembilan mengemukakan tuntutan saman berjumlah RM200 juta terhadap badan itu.

Dalam tuntutanya itu, mereka mendakwa "wujud penipuan dan/atau konspirasi untuk melakukan penipuan dalam urusan jual beli dan hasil buah sawit" selama 15 tahun.

Menurut peguam Sivarasa Rasiah, pembayaran kadar perahan gred kelapa sawit Felda didakwa menggunapakai 18.9 peratus sedangkan nilai sebenar didakwa antara 24 hingga 25 peratus.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman - yang menyelaraskan saman itu bersama biro Felda PKR - berkata saman tersebut dijangka difailkan bulan depan, selepas sambutan hari raya Aidilfitri.

Timbang tuntutan tambahan
Menurut Mazlan (kiri), setakat ini, peneroka daripada Kota Tinggi di Johor dan tiga lagi gugusan di Pahang - Jengka, Bera dan Kratong - akan terlibat.

"Sekarang ini kita juga kumpulkan dokumen tambahan, untut tuntutan tambahan, antaranya melibatkan biji kernel (sawit) dan yang berkaitan dengan operasi kilang sawit," katanya yang akan menjadikan kerugian perahan sebagai tuntutan utama.

Jika menjadi kenyataan, saman peneroka Felda itu akan menjadi antara jumlah tuntutan terbesar di Malaysia dengan nilai sekurang-kurang setengah bilion ringgit.

"Mereka terimalah padahnya hasil daripada kesedaran peneroka," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Suhaimi yang juga seorang peguam turut menafikan tindakan saman mereka bermotifkan politik, seperti didakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan semalam.

"Isu perahan ini mana ada (permainan) politik. Mana ada orang setuju dengan harga rendah. Mereka tidak dapat tentukan harga. Felda yang tentukannya," kata Suhaimi.

Beliau juga mendakwa, Jawatankuasa Persepakatan Bersama (JCC) Felda tidak dapat mendengar suara peneroka kerana kebanyakannya dianggotai ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) daripada Umno.
Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian dilaporkan berkata tuntutan saman terhadap badan itu bermotifkan politik dan tidak patut timbul kerana urus niaga jualan sawit disertakan slip terperinci selari dengan harga dipersetujui peneroka seperti diamalkan sejak 15 tahun lalu.

Harga sawit itu pula, katanya, dipersetujui di peringkat JCC yang dianggotai oleh ketua peneroka setiap tanah rancangan, pengurus kilang dan pengurus rancangan bagi menyelesaikan segala isu berkaitan harga sawit.

Tiada ulasan: