Selasa, Julai 27, 2010

Guru dibenar berpolitik, awas perangkap Umno-BN!


A.Nuri   
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik.

Berita ini pastinya disambut gembira oleh ahli dan penyokong Umno-BN. Bagi ahli dan penyokong Pakatan Rakyat kenyataan ini silap hari bulan sebagai satu perangkap kepada mereka.

Jika sebelum ini bagi ahli dan penyokong Pakatan Rakyat segala sokongan dan aktiviti mereka dilakukan secara senyap-senyap kerana pelbagai tekanan dan ugutan yang diterima. Ancaman itu datang daripada guru besar atau pengetua yang menjadi penyokong kuat Umno atau pemimpin Umno setempat.

Bagi mereka yang dikesan terlibat dengan politik selain daripada Umno mereka berdepan risiko dikenakan pelbagai tindakan. Antaranya ditukar ke pedalaman atau tempat berjauhan dengan keluarga serta dinafikan Anugerah Cemerlang dalam perkhimatan walaupun menunjukkan prestasi dan sumbangan yang jauh lebih baik daripada penyokong dan pengampu Umno di sekolah.

Manakala ahli dan penyokong Umno selama ini secara terbuka terlibat aktif dalam politik. Pentadbir sekolah akan hanya memekakkan telinga dan memandang sebelah mata seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Mana-mana guru besar dan pentadbir yang menyokong Pakatan Rakyat juga tidak berani menegur kerana bimbang daripada pengaruh pemimpin Umno setempat.

Kenyataan KSN ini sebenarnya akan menjadikan ahli dan penyokong Umno di sekolah lebih 'besar kepala' dan bermaharajalela menyebarkan dakyah politik mereka.

Bagi guru-guru kumpulan A yang pro Pakatan Rakyat yang hendak tunjuk berani pastinya akan berdepan pelbagai risiko. Bagi saya kebenaran kepada kumpulan A berpolitik sebenarnya hanya menguntungkan politik Umno semata-mata bagi ahli dan penyokong Pakatan Rakyat langkah ini sebenarnya hanyalah satu perangkap dan jerat kepada mereka.

-------------------------------------------------------
WWW.MALAYSIAKINI.COM/BM    Guru siswazah dibenarkan berpolitik semula 
Jul 27, 10 11:28am
Kongsi 250
Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di
bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad," kata Mohd Sidek.

Beliau berkata syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.

Tiada ulasan: