(17 Ogos 2009) Semalam, saya menerima jemputan untuk forum menyambut Ramadan anjuran Parlimen Selayang di Kuang. Turut menyerikan forum ialah Ust Fauzi Mustafa, Ust Harryanto dan Ust Radzi bekas vokalis Melissa. Sebelum forum, kami dipersembahkan beberapa buah lagu dan nasyid.
Anda tahu, saya bertuah semalam kerana buat pertama kalinya bertemu dengan beberapa vokalis ternama tanah air yang kini sudah berubah wajahnya. Pertamanya, Black adalah vokalis kumpulan Gamma dengan lagu popularnya satu waktu dahulu ‘Kembang terhalang’ dan kini beliau merupakan Ketua Kampung Kuang. Keduanya Ustaz Radzi, vokalis kumpulan Melissa dengan lagu ‘Cinta untuk Nabila’ yang kini sudah berubah wajah menjadi ustaz dan bertugas di Jabatan Agama Islam Kedah. Ketiganya vokalis kumpulan Arrow, iaitu Renggo. Ketiga-tiga mereka telah tampil menyampaikan beberapa buah lagu malam semalam. Nyatanya, suara mereka masih gemersik dan lantang seperti dahulu.
Apa yang menariknya untuk saya kongsikan di sini ialah, makin ramai artis hari ini yang kembali kepada Islam. Semasa berforum, saya sendiri kagum dengan penyampaian penuh berisi yang disampaikan secara bersahaja oleh Ust Radzi Melissa. Dengan gaya artis bercampur ustaz, ayat-ayat al-Quran dan hadis lancar sahaja dituturkan daripada kedua-dua bibirnya. Antara lain, beliau mengisahkan kembali saat-saat beliau disapa bayu hidayah.
“Ketika itu bulan Ramadan, sekitar lewat 1990-an. Entah bagaimana, saya tergerak mahu berpuasa penuh sebulan Ramadan pada tahun itu. Tiba-tiba, terfikirlah saya, apakah maknanya saya berpuasa penuh jika solat tidak pula saya lakukan. Maka, bermula Ramadan pada tahun itulah, saya menunaikan solat lima waktu secara sepenuhnya dengan disertai puasa Ramadan sepenuhnya…”
Di dalam sebuah lagu baharu nyayiannya, Ust Radzi berpesan agar jangan melupakan ke mana kita kelak. Jangan kita tersilau dengan masa muda dan masa sihat. Kerana semuanya itu tidak kekal. Lagu itu dinyanyikan beliau dalam dua versi, termasuk salah satunya dalam versi akustik. Album itu turut dijual semalam dengan harga
RM10 sahaja (harga asalnya RM21.00)
Renggo pula nampaknya amat teruja dengan Pas yang baharu disertainya di Kelantan tidak lama dahulu. Beliau turut menceritakan saat beliau menyanyikan sebuah lagu keTuhanan di hadapan Tok Guru Nik Aziz, maka Tok Guru terbangun kerana terlalu teruja dengan liriknya. Memang, lagu itu dikumandangkan dengan penuh bersemangat oleh beliau. Terasa meremang bulu roma kita saat mendengarnya. Tak sia-sialah bakat vokal anugerah Allah kepadanya. Bahkan Renggo turut menyanyikan semula lagu rasmi Pas dalam versi baharu di dalam albumnya, Pesan Tok guru.
Abang Black pula, kini masih mengekalkan imej rock dengan rambut panjangnya, walaupun sudah bergelar Tok Sidang. Beliau kini sibuk mempromosikan produk kampung yang menjadi industri penduduk kampungnya, seperti ikan keli salai dan daging salai. Beliau tidak merakamkan apa-apa album lagi setakat ini nampaknya.
Saya pulang dengan senyuman puas semalam. Benarlah kata orang, jauh-jauh si penyu berenang, ke pantai juga akhirnya ia datang. Sudah jauh mencari arah, akhirnya bersimpuh jua kepada Allah. Di situlah ada tenangnya, di situlah ada arahnya…insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan