Utara: Serangan ulat putih
Oleh Isma Jamil
bhnews@bharian.com.my
2010/07/20
300 petani berdepan kerugian besar apabila sawah terjejas terukKANGAR: Kira-kira 300 penanam padi di dua kawasan sekitar Simpang Empat, di sini bimbang hasil padi mereka terjejas teruk selepas sawah mereka menjadi mangsa serangan penyakit ulat putih, sejak lebih sebulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sungai Baru Tengah, Shukri Salim, berkata petani menyedari perkara itu agak terlewat, menyebabkan sawah padi diserang penyakit yang dianggap paling serius pada musim pertama tahun ini.
Katanya, petani bertindak menyembur pelbagai jenis racun termasuk racun serangga tetapi gagal untuk menghapuskan penyakit itu, apatah lagi serangan berkenaan dianggap paling teruk musim ini.
"Hampir 60 hektar tanah sawah di kawasan kampung berkenaan diserang penyakit itu yang bukan saja menjejaskan pengeluaran padi, malah dikhuatiri mendatangkan kesan kepada pendapatan penanam padi musim ini," katanya kepada Berita Harian.
Seorang petani, Mansor Salim, 60, pula berkata hampir 1.5 hektar sawahnya diserang penyakit berkenaan dan pelbagai usaha dilakukannya bersama rakan penanam lain, namun gagal.
Katanya, keadaan bertambah buruk apabila serangan bena perang ditambah dengan penyakit ulat putih menyebabkan malang yang menimpa seolah-olah berganda.
"Serangan bena perang dan ulat putih bukan saja menyebabkan pokok padi terus mati, malah pokok baru juga tidak akan tumbuh jika terdedah dengan kedua-dua penyakit itu," katanya.
Hingga kini, kata beliau, hanya separuh daripada kawasan sawah miliknya masih elok, manakala selebihnya sudah rosak dan jika tiada tindakan drastik diambil, mungkin keseluruhan kawasan penanaman miliknya akan terjejas.
"Justeru, saya harap pihak bertanggungjawab dapat membantu mengatasi masalah itu, bagi mengelak petani terbabit berputih mata musim ini, apatah lagi setiap usaha dilakukan langsung tidak memberi kesan.
"Apa yang menyedihkan ulat putih menyerang pokok padi yang sudah membesar dan hampir mengeluarkan buah,” katanya.
-----------------------
respon : binatang pelik2 banyak timbul akhir zaman.. ntah2 itu tentera Allah.. virus H1N1.. kencing tikus.. nyamuk Aedes.. dulu, tak glamour... sekarang berbisa!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan