Khamis, Julai 15, 2010

Enjin jet: Dipaksa mengaku, didera dalam tahanan. Mangsa di'kambing hitamkan'?


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 15 Julai: Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sarjan N Tharmendran yang menerima pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM Januri lalu hari ini tampil mendedahkan penderaan yang dilakukan terhadapnya sepanjang berada dalam tahanan.

Tharmendran, 42, yang hadir bersama peguamnya, N Surendran di Parlimen hari ini mendakwa dia telah mengalami penderaan fizikal yang teruk dan dipaksa untuk mengaku bersalah dalam kes kecurian enjin tersebut.

Tharmendran memberitahu, seorang ketua pegawai penyiasat berpangkat mejar telah diarahkan untuk menyelesaikan kes itu dan dibenarkan menggunakan apa cara sekalipun bagi memaksa dia mengaku bersalah.

"Sepanjang tempoh tahanan saya bermula 2 Julai 2009, selama 60 hari saya ditahan, mereka tidak memberitahu keluarga di mana saya ditahan. Saya dipaksa mengaku bahawa saya bersalah mencuri enjin tersebut.

"Sepanjang tempoh siasatan, ketua pegawai penyiasat dipanggil penglima tentera udara untuk menyelesaikan kes ini dengan secepat mungkin dan boleh menggunakan apa cara sahaja asalkan dapat selesaikan kes ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ceritanya juga, dia didera oleh pegawai berkenaan dan tidak tidur selama tiga minggu di dalam bilik yang kecil dan secara berterusan dipaksa mengaku bersalah.

Dia dipakaikan topi keledar dan kepalanya dipukul menggunakan kayu kriket dan kayu golf sehingga topi keledar yang dipakai mengalami keretakan.

Sepanjang dalam tahanan itu juga, beliau turut mendengar tahanan lain didera dengan teruk sehingga tangisan dan jeritan mereka dapat didengarinya.

"Semasa saya disoal siasat, terdapat tiga hingga empat orang yang disoal siasat. Mereka turut didera dan saya dapat mendengar tangisan mereka merayu agar tidak dipukul. Namun saya tidak pasti sama ada mereka mahu tampil membuat pendedahan seperti yang saya lakukan ini," katanya.
 ---------------------
respon : bukan sahaja pelajar mendera... orang dewasa pun mendera.. guane nak jadi contoh?

Tiada ulasan: