Rabu, Julai 14, 2010

Adat Kematian Masyarakat Irranun [ http://adatirranun.blogspot.com/ ] > Sabah / Philipina

Monday, September 1, 2008

http://adatirranun.blogspot.com/

Asal Usul Suku Kaum Irranun
 
Dari perspektif sejarah dipercayai bahawa masyarakat Iranun berasal dari pulau Mindanao di selatan Filipina tapi telah lama menetap di Sabah dan diiktiraf sebagai bumiputera.

Perkataan Iranun bermaksud berkasih-kasihan yang sangat sinonim dengan suku kaum ini yang mengamalkan sikap saling berkerjasama, tolong-menolong dalam kehidupan bermasyarakat.

Istilah lain bagi Iranun adalah Iranon, Irranun, llanun, Iranon-Merano atau Meranao.

Penempatan awal dan utama masyarakat Iranun di Sabah ialah di Kuala Tempasuk yang kini dikenali dengan Tamau, Marabau, Katabongan (Kota Bongan), Kota Peladok, Peladok, Payas-Payas, Pantai Emas, Liang dan beberapa tempat lagi.

Bermula dari penempatan-penempatan awal inilah masyarakat Iranun tersebar luas di Sabah mengikut arus perubahan modenisasi atau sosialisasi melalui perkahwinan dengan kaum-kaum lain.


Adat kematian suku kaum Irranun

Menurut Datu Bandira Datu Alang(1991) Masyarakat Iranun amat kuat berpegang kepada adat datuk nenek moyang mereka yang dipanggil adat warisan.

Adat Warisan ini tidak boleh dilanggar. Melanggar adat dianggap satu penyelewengan dan sesuatu yang sumbang.

Individu yang mengadakan sesuatu upacara atau keraian melebihi adat warisan yang ditetapkan adalah disifatkan sebagai mengada-ngada dan mencabuli adat istiadat suku kaum Iranun. Perbuatan sedemikian juga dikutuk dan boleh dikenakan denda mengikut hukum adat kerana dia mengangkat sesuatu yang bukan tarafnya.

Begitu juga dalam adat istiadat mengendalikan si mati dari mula hingga selesai upacara pengkebumikan.


Adat Memberitahu

Terdapat beberapa adat dalam suku kaum Iranun, antaranya ialah adat memberitahu.

Ini berlandaskan kepada pegangan suku kaum ini iaitu ‘senang sama dirasa susah sama ditanggung’.

Menurut Datu Bandira Datu Alang (1991) terdapat dua cara mengumumkan satu-satu kematian. * Datu Bandira -mantan Pesuruhjaya Pas Sabah

Bagi orang biasa : Pengumuman akan dibuat melalui pukulan tabo (Baduk/Gendang).

Bagi Datu dan Syarif: Balu atau Baluan (alat bunyi-bunyian seperti gong dan babendir) dan bagi golongan ini ada tiga peringkat pengumuman iaitu:

i) Ketika mengumumkan kematian kepada orang ramai
ii) Ketika hendak memandikan mayat
iii) Semasa hendak menurunkan mayat untuk dibawa ke tanah pengkebumian.


Tabo dan Baluan






Rentak dan jumlah Paluan Mengikut Usia

Kanak-kanak : 7 kali Paluan, Berentak Cepat

Remaja : 9 kali Paluan, Berentak Cepat

Dewasa : 11 kali Paluan, Berentak Cepat

Bagi golongan Dato dan Syarif rentak dan Jumlah paluan adalah sama, yang membezakan dengan golongan biasa adalah alat yang digunakan


Adat Berkunjung

Apabila mengetahui ada kematian, masyarakat ini akan pergi berkunjung ke rumah si mati, mereka yang datang akan turut sama membantu membuat persiapan seperti membuat usungan, payung (tanda kematian),batu nisan, dan juga kerja-kerja menggali kubur. Di samping itu mereka juga menyedakahkan bacaan doa kepada si mati. Suku kaum ini juga akan membawa tabang(derma) yang berbentuk beras, padi, wang dan barangan dapur untuk diberikan kepada keluarga simati.


Memandikan, mengkafankan dan Menyembayangkan Jenazah

Dalam upacara memandikan mayat, mayat akan segera dimandikan untuk dibersihkan sebelum ianya dikafankan dan seterusnya disembahyangkan. Menurut Tuan Hj. Damparan Bin Ampau (67), memandikan mayat ini akan diuruskan oleh orang-orang yang arif iaitu mahir tentang cara memandikan mayat menurut fardu kifayah. Bagi mereka yang menguruskan (membersihkan bahagian alat sulit) akan disedekahkan sebentuk cincin sebagai tanda penghargaan dan ucapan terimakasih daripada keluarga simati dan berbentuk wang bagi yang menguruskan bahagian anggota badan yang lain.

Bagi golongan Datu atau Syarif, ketika hendak memandikan mayat paluan balu akan dilakukan sebagai pengumuman kepada orang yang hadir, apa yang sedang dilakukan.


Menurunkan jenazah

Selepas disembahyangkan, upacara menurunkan mayat akan dilakukan. Terdapat beberapa adat akan dilakukan antaranya:

Ahli keluarga dan saudara mara terdekat akan berjalan berulang-alik di bawah usungan si mati yang bertujuan supaya simati tidak mencari ahli keluarga yang ditinggalkan. Di samping itu, anak cucunya juga akan diukur dengan kayu kecil/buluh mengikut ketinggian dan diletakkan di atas kubur semati.

Jenazah yang dibawa ke perkuburan akan dibawa dengan usunan.

Bagi golongan bangsawan, Balu-Baluan akan dipalu bagi menandakan jenazah akan dikebumikan.

Bagi golongan biasa usungannya akan diusung dan dipayungi oleh orang yang berjalan kaki. Manakala golongan bangsawan pula, orang yang memayungi jenazah akan turut diusung bersama.

Payung (tanda kematian) juga akan turut sama dibawa hingga ke tanah pengkebumian



Upacara Pengkebumian

Apabila mayat hendak dikebumikan, bebarapa orang ahli keluarga simati akan turut sama menyambut jenazah untuk diturunkan ke tempat pengkebumian. Selepas jenazah diletakkan diliang lahat dengan cara mengereng, ikatan kepala akan dibuka.

Kepala mayat akan disendal dengan tanah yang telah dikepal-kepal dan selepas diazankan di telinganya, barulah keranda ditutup dan tanah ditimbus.

Selesai upacara ini, batu nisan akan diletakkan dan bacaan talkin akan dilakukan oleh tok iman.

Selesai upacara talkin, beras mentah yang dibungkus di dalam kain putih dan sebiji telur akan diberikan kepada tok imam oleh keluarga si mati.

Kemudian air setanggi akan disiram di atas kubur dan kelambu yang diperbuat daripada kain juga akan dipasang sebagai memperingati si mati.

Payung (tanda kematian) juga akan dipacakkan di penjuru kubur tersebut.


Kelambu



Sebelum meninggalkan kuburan, kelambu akan dibuat di atas kuburan tersebut.

Tujuan kelambu ini dipasang adalah sebagai tanda penghormatan dan perlindungan yang terakhir daripada keluarga simati

Warna kelembu juga berbeza mengikut keturunan. Bagi orang biasa kelambu akan dibuat daripada kain putih, golongan syarif kain berwarna kuning dan bagi datu pula berwarna hijau.




Tanda Kematian (Payung)




Payung akan dibawa ketika mengiringi jenazah ke tanah pengkebumian dan akan diletakkan dipenjuru kubur selepas upacara pengkebumian dilakukan.

Tanda payung juga memainkan peranan untuk membezakan si mati sama ada ianya orang biasa atau golongan bangsawan (Datu/Syarif) mengikut warna payung tersebut.

Jumlah pada lingkaran payung pula adalah untuk membezakan peringkat usia si mati sama ada ianya kanak-kanak, remaja ataupun dewasa (golongan tua)


Jumlah Lingkaran Payung







Bagi kedua-dua golongan ini, jumlah lingkaran payung bagi kanak-kanak lelaki adalah ganjil dengan jumlah (1&3) dan golongan remaja/dewasa (5, 7, 9 & 11).

Bagi kanak-kanak perempuan pula lingkaran payung adalah genap dengan jumlah (2, 4, 6) manakala golongan remaja/dewasa jumlahnya (8, 10 & 12) lingkaran

Bagi golongan ini kain berwarna putih digunakan untuk golongan biasa, hijau untuk Datu dan kuning untuk Syarif.


Kenduri Arwah

Selepas kematian seseorang dalam suku kaum Iranun, terdapat beberapa adat tertentuakan dilakukan. Antaranya ialah mengadakan kenduri arwah dan berkabung.

Ada 6 hari hari tertentu yang telah ditentukan untuk diadakan kenduri arwah. Antaranya ialah:-

i) Hari ketujuh: kenduri ini diadakan setelah hari ketujuh simati dikebumikan. Dalam masyarakat Iranun ia dipanggil pitu gawi. Dalam masa 7 hari tersebut, setiap pagi dan malam beberapa orang alim atau kali dipanggil ke rumah si mati untuk membaca doa arwah dan bertahlil. Kenduri ini dinamakan dalimakan.

ii) Hari ke-21: kenduri ini dikenali oleh masyarakat Iranun sebagai dua pulu agu isa ataupun tenga pat pulu.

iii) Kenduri ke-40: kenduri setelah jenazah telah dikebumikan selama 40 hari.

iv) Kenduri Gatusan: kenduri ini diadakan setelah 100 hari jenazah dikebumikan.

v) Kenduri Temegan: kenduri ini diadakan setelah setahun arwah meninggal dunia.

vi) Kenduri arwah: kenduri arwah yang diadakan setiap kali menjelang hari raya




Adat Menunggu





Masyarakat Iranun sangat menghormati orang yang baru meninggal dunia, justeru itu adat menunggu kubur dilakukan.

Beberapa orang dari ahli keluarga simati akan menunggu kubur siang dan malam selama 7 hari bagi golongan biasa dan 40 hari bagi golongan bangsawan ataupun sekurang-kurangnya 21 hari.

Tujuan menjaga kubur ini juga untuk mengelak gangguan Syaitan (balan-balan) yang dipercayai datang menganggu dan mengorek kubur orang yang baru meninggal dunia.

Apabila cukup tempoh menunggu, ahli keluarga si mati akan berkumpul di tanah perkuburan tersebut dan mengadakan majlis kenduri dan bacaan tahlil.



Berjaga Di waktu Malam

Menurut kepercayaan masyarakat suku kaum Iranun,ada berjaga akan berlangsung selama 7 malam. Keluarga simati dari jauh dan orang ramai akan datang berkumpul di rumah simati bagi menandakan mereka turut bersimpati terhadap keluarga simati. Dengan kunjungan orang ramai ini secara tidak langsung akan dapat mengurangkan kesedihan kepada keluarga simati.


Bangkai-Bangkaian



satu tempat tidur yang terdiri daripada tikar atau tilam berserta bantal akan dibentang untuk memperingati si mati dan tempat tidur ini dipanggil bangkai-bangkaian.

Bacaan tahlil dan al-Quran akan dibuat mengadap bangkai-bangkaian dan upacara ini dipanggil pangadi sa bangkai-bangkaian.

selain pakaian cermin muka juga akan diletakkan di tempat tidur tersebut secara menegak.Menurut mitos suku kaum Iranun, cermin muka tersebut bertujuan “mengelakkan gangguan syaitan (balan-balan) yang datang”

Selepas 10 hari kedudukan pakaian si mati dan cermin tidak lagi diletakkan seperti sebelumnya, kemudian barangan ini akan disedekahkan kepada orang yang memandi dan mengafankan si mati.


Berkabung

Dalam masyarakat Iranun, perkabungan keluarga simati biasa akan dirasai bersama oleh masyarakat setempat. Dalam tempoh perkabungan tersebut tiada sesiapa yang dibenarkan untuk mengadakan sebarang majlis keramaian yang dipanggil kalilang dalam masyarakat Iranun. Tempoh berkabung bagi golongan biasa adalah selama 3 bulan dan bagi golongan bangsawan adalah antara 6 hingga 12 bulan. Walau bagaimanapun, kebenaran boleh dipohon daripada keluarga simati sekiranya ada yang ingin mengadakan keramaian contohnya majlis perkahwinan.


Pantang Larang Semasa kematian

Banyak pantang larang yang harus diikuti semasa mayat masih berada dirumah antaranya :

1. Kucing hitam tidak dibenarkan berada di dalam rumah kerana dikhuatiri akan melangkah mayat dan pantang larang yang lain contohnya seperti menjahit pakaian, menonton televisyen,menyapu sampah juga sama sekali dilarang.

2. Keluarga simati juga tidak boleh memakan daging di kawasan rumah. Ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. (dipercayai bahawa mayat ikut sama makan daging).

Tiada ulasan: