Isnin, Ogos 02, 2010

Kerajaan, JPJ langgar keputusan mahkamah?


Wartawan Kita   
KOTA BHARU, 2 Ogos: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Kelantan yang telah bermesyuarat semalam mengambil keputusan mendesak kerajaan Malaysia memberhentikan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.

Pengerusinya, Hisham Fauzi berkata, ini adalah sebagaimana yang telah diputuskan oleh mahkamah di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang –vs- Director Of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang secara jelas menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh menyenarai hitam kenderaan semata-mata dengan saman ekor.

Ini kerana, tindakan menyenaraihitamkan kenderaan atas sebab saman ekor adalah bertentangan dengan seksyen 17 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan merupakan satu perlanggaran kepada Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, setelah sedemikian diputuskan oleh mahkamah, kenapakah pihak kerajaan dan JPJ masih melakukan perkara ini? Tidakkah keputusan mahkamah ini perlu dihormati dan diikuti?” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Tiada ulasan: