Khamis, Mac 31, 2011

manifesto ‘rakyat didahulukan’??

manifesto ‘rakyat didahulukan’


Muhyiddin Yassin berganding tangan bersama empat pemimpin parti komponen Barisan Nasional, dari kiri William Mawan, Abdul Taib Mahmud, Dr. George Chan dan Dr. James Jemut Masing pada majlis perjumpaan tertutup bersama Barisan Nasional Sarawak di Ibu Pejabat PBB di Kuching, Sarawak, semalam. – Utusan/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN


KUCHING 30 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan manifesto bertemakan ‘Rakyat Didahulukan’ dengan memberi fokus kepada beberapa isu yang relevan dengan kehendak rakyat negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, manifesto yang kini berada pada peringkat akhir penyediaan itu akan dilancarkan selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 6 April ini.
“Kita harap rakyat dapat melihat bahawa semangat BN tidak pernah luntur, lebih fokus dan telah memenuhi apa yang kita janjikan. Kita mahu membuat janji baru dan sekali lagi memenuhinya.
“Ini akan diperincikan dalam manifesto selepas penamaan calon. Kita harap mereka (rakyat) menelitinya supaya ada keyakinan tentang apa yang mahu dilakukan BN untuk masa depan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini hari ini.
Hadir sama Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr. James Jemut Masing dan Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan.
Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Presiden parti komponen BN dan ahli Majlis Tertinggi (MT) BN Sarawak serta mengikuti taklimat persiapan pilihan raya negeri.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN beliau yakin parti itu akan memperbaharui mandat rakyat pada pilihan raya negeri akan datang berdasarkan rekod pencapaian kepimpinan BN negeri.
Katanya, kerajaan BN juga akan terus berusaha meletakkan rakyat negeri ini pada satu tahap yang lebih maju dengan taraf kehidupan yang baik dan sempurna.
“Sebab itu amat penting untuk kita meneruskan agenda pembangunan Sarawak di bawah BN,” tegasnya.
Mengenai calon untuk menggalas cabaran BN, Muhyiddin berkata, semua parti komponen di negeri ini telah mengambil kira keperluan untuk menampilkan muka-muka baru.
Katanya, senarai calon berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat selepas ia dikemukakan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tiada ulasan: