Jumaat, Mac 25, 2011

UM gantung pengajian anggota MPP, bekas calon. BILA MAHASISWA MULA BERSUARA...

SUMBER
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 25 Mac: Seorang anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya dan bekas calon dalam pilihan raya kampus bulan lalu dikenakan hukuman gantung pengajian satu semester oleh universiti perdana itu.

Kedua-dua pelajar tersebut adalah bekas calon Pro-Mahasiswa (ProM). Tan Tiong Yih telah memenangi kerusi umum manakala Lee Kee tewas dalam merebut kerusi fakulti.

Kedua-dua pelajar terbabit adalah penuntut tahun kedua dengan masing-masing menuntut di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sastera.
Difahamkan kedua-dua mereka dikenakan hukuman itu dalam satu perbicaraan sehingga lewat petang semalam atas alasan mengemukakan surat sakit yang tidak sahih selepas gagal menghadiri bengkel pilihan raya kampus yang diadakan.
Selain dikenakan hukuman gantung satu semester, mereka juga diberi amaran dan didenda RM200.



(Gambar: Sekumpulan pelajar UM menyatakan bantahan terhadap keputusan pihak Universiti itu pagi tadi)

“Kami difahamkan pengurusan mengambil tindakan atas alasan tindakan mereka telah memalukan universiti, kerana memalsukan dokumen,” kata Yang Dipertua MPPUM Mohd Syahid Mohd Zaini ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Mohd Syahid berkata pihaknya terkejut kerana tindakan itu hanya diambil sekarang, kira-kira sebulan selepas pemilihan kampus.

“Kami sebenarnya terkejut kerana mengapa tindakan tidak diambil semasa kempen, semasa pemilihan tetapi hanya sekarang, ada yang tidak kena... tindakan diambil kerana ada pihak yang membuat aduan,” katanya lagi.

Mohd Syahid berkata, berdasarkan maklumat yang mereka terima, kedua-dua menggunakan sijil sakit yang sah daripada klinik swasta.

“Dalam kes pelajar, wakil MPP, saya dimaklumkan doktor yang awalnya mengeluarkan sijil sakit juga mengesahkan dia sakit, tetapi kemudian mengubah pendirian,” kata Mohd Syahid.

“Memang wakil MPP itu datang masa bengkel tetapi telah balik ke rumah kerana kurang sihat, dan telah memberikan sijil sakit kepada universiti, yang diperoleh dari klinik swasta,” katanya.

“Sedangkan (bekas) calon peringkat fakulti pula telah balik ke rumah kerana ibunya sakit, dan dia pun dikatakan kurang sihat dan kemudian mengemukakan sijil sakit,” kata Mohd Syahid.

Justeru kata beliau, pihaknya akan membuat pendirian mengenai isu tersebut pada petang ini.

MPPUM adalah antara pemilihan kampus dikuasai oleh kumpulan pelajar Pro Mahasiswa pada pilihan raya kali ini.

Sementara itu, kumpulan Pro-M hari ini dijangka akan mengadakan satu himpunan bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan tersebut.

Ianya akan diadakan di perkarangan Surau Akademi Pengajian Islam selepas solat Jumaat.

Tiada ulasan: