Sabtu, Mac 26, 2011

NGO saran tentera Saudi keluar dari Bahrain

sumber
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 25 Mac: Sebuah NGO hari ini menyarankan Raja Abdullah Saudi Arabia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengeluarkan tentera mereka daripada Bahrain.

“Tiada sebarang sebab untuk mereka berada di sana,” kata S.M Mohamed Idris, Pengerusi Citizens International dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

Campurtangan pihak luar tidak perlu, kata Idris kerana Bahrain sekarang tiada mengalami sebarang kecaman luar, hanya beberapa protes dalaman oleh rakyat yang inginkan reformasi politik untuk menamatkan kerajaan kuno yang berdasarkan penguasaan keturunan.

Idris turut menyelar tindakan Raja Bahrain, Hamad bin Eisa Al Khalifa yang menggunakan kekerasan dan kekejaman sehingga ramai pendemo aman demokrasi terbunuh dan cedera.

“Beliau sepatutnya menggunakan dialog dengan pemimpin-pemimpin gerakan demokrasi untuk mewujudkan satu demokrasi berperlembagaan di Bahrain yang menjamin hak yang saksama untuk semua rakyat,” tambah Idris.

Idris turut menyifatkan kenyataan Raja Hamad yang mengaitkan demo aman menuntut demokrasi dengan satu plot peringkat antarabangsa sebagai tidak berasas apabila beliau sendiri memberikan lampu hijau kepada tentera Saudi untuk campur tangan.

Tiada ulasan: