KOTA KINABALU 16 Mac – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) perlu memantau pengaruh parti pembangkang, Pas yang menjadikan surau serta masjid sebagai gelanggang politik parti itu di sekitar Parlimen Sepanggar.
Ketua UMNO Sepanggar, Datuk Jumat Idris berkata, dia banyak menerima aduan daripada ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau mengenai kegiatan Pas yang menjadikan ‘mimbar Jumaat’ sebagai medan menghasut kebencian terhadap kerajaan.
Katanya, kesucian masjid serta surau perlu diambil kira dalam perkara tersebut, sekali gus tidak membiarkan tempat ibadat itu dijadikan alat mainan politik parti pembangkang.
“Saya ingin mengingatkan kepada mereka (Pas), jangan jadikan khutbah sebagai bahan pidato politik parti tersebut. Jika mereka masih mahu mengembangkan pengaruh politik, biarlah ia dilakukan di tempat sebenar dan bukan menjadikan masjid di Sepanggar sebagai alat mereka,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kemasukan 50 bekas ahli Pas Sepanggar ke dalam UMNO di Kampung Rampayan, Menggatal, dekat sini.
Hadir sama Wakil Rakyat Kawasan Karambunai, Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Ketua Pemuda UMNO Sepanggar, Md. Joh Wid.
Mengulas lanjut, Jumat yang juga Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Sepanggar berkata, dia mengingatkan aktivis luar agar tidak memecah belah umat Islam di Sepanggar dengan menjadikan khutbah atau ceramah mengelirukan dengan niat mempengaruhi jemaah untuk menentang kerajaan.
Sehubungan itu katanya, beliau mahu kedua-dua agensi penguatkuasa agama Islam di Sabah untuk turun padang bagi memeriksa semua masjid dan surau di Sepanggar.
Tegas beliau, tindakan perlu diambil jika terdapat bukti kukuh Pas menjadikan masjid dan surau sebagai medan politik mereka.
“Kita meminta semua ahli jawatankuasa masjid serta surau menampal garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Jakim dan JHEAINS yang melarang kegiatan seumpama itu.
‘‘Malah bertindak menyalurkan maklumat kepada badan agama itu jika perkara tersebut terus berulang,” katanya.
Jumat berkata, setiap pegawai agama perlu memantau kegiatan parti pembangkang t dan tidak membenarkan sebarang ceramah berunsur politik disampaikan di setiap masjid dan surau di daerah itu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima pada Jumaat lalu, seorang pendakwah bebas dari Pahang telah menggunakan mimbar masjid Pekan Menggatal, dekat sini untuk menyampaikan khutbah berbaur politik.
“Khutbah itu telah menghasut jemaah untuk mengubah diri serta merubah kerajaan pada pilihan raya umum akan datang,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan